Sabtu, 26 Januari 2019

KISAH SEDIH WARGA FELCRA ROMPIN, JEMPOL - 'NAK MAKAN PUN KAMI TIADA DUIT'

JEMPOL 25 Jan. - "Hendak makan pun, kami tidak ada duit," kata Kamaruzaman A. Latiff, 53, yang tidak dapat menahan sebak. Dia mendedahkan nasib kira-kira 500 orang dari 100 keluarga peserta Felcra Rompin dekat sini sejak elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan terhenti mulai Ogos tahun lalu.


Ketua Peserta Felcra Rompin itu berkata, mereka sepatutnya menerima bantuan tersebut kerana melaksanakan projek tanam semula getah pada Ogos 2015 hingga pokok berkenaan mencapai tahap matang dalam tempoh enam tahun.

Namun, katanya, bantuan itu terhenti sejak Ogos tahun lalu dan usaha menyelesaikan masalah tersebut dengan menemui para pegawai di ibu pejabat agensi berke­naan di Kuala Lumpur sebanyak dua kali belum berhasil.

“Kehidupan hari­an kami amat susah ketika ini. Kami tak ada sumber pendapatan lain. Ramai yang sudah habis duit simpanan. Ada yang sudah menjual motosikal dan kereta. Ada yang kena potong bekalan air dan elektrik. Beberapa peneroka menghidap penyakit seperti kanser.

“Kepada siapa lagi kami hendak mengadu. Siapa yang mahu mendengar rintihan orang se­perti kami. Kepada kerajaan, tolonglah pandang kami,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sidang akhbar itu sempena Majlis Merungkai Isu Sara Hidup Felcra Rompin bersama Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif.

Mohd. Salim mem­beritahu, tinjauan be­liau di tanah ranca­ngan berusia 37 tahun itu mendapati, kehidupan para peserta kini amat sengsara dan tidak ada sesiapa pun yang datang menghulurkan bantuan.

Katanya, elaun sara hidup sebanyak RM800 sebulan itu amat penting bagi menampung kehidupan harian mereka yang bergantung kepada hasil getah sebagai pendapatan selama ini.

“Saya menggesa isu ini dise­lesaikan segera. Saya telah melihat sendiri bagaimana penduduk terpaksa berhempas pulas hanya untuk menjalani hidup hari demi hari. Mereka tidak ada pendapatan lain.

“Ini bukan isu politik sama sekali. Ini isu kehidupan rakyat. Bukan semua peneroka di sini penyokong pembangkang tetapi kesusahan yang dialami melibatkan semua orang tanpa me­ngira bangsa dan fahaman politik masing-masing,” katanya.

Sempena lawatan itu, Mohd. Salim turut menyampaikan beras seberat 10 kilogram untuk setiap 100 keluarga peneroka di situ.

UTUSAN online

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/video-hendak-makan-pun-kami-tiada-duit-1.829576

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PKR sedang berantakan dengan dashyat, batal jemputan Azmin adalah salah satu perkara paling tragis menurut sumber

Akhirnya perbalahan ketara antara kem Azmin dan Anwar sudah tidak mampu disorokkan dengan aman, mereka sedang berpecah belah, mereka sedang ...