Selasa, 19 Februari 2019

ADAKAH PH MAMPU YAKINKAN RAKYAT LAGI? HANYA 4 TAHUN, 2 BULAN SAHAJA TINGGAL UNTUK MEREKA BERKUASA #viralhancing

4 TAHUN, 2 BULAN LAGI UNTUK PH YAKINKAN RAKYAT YANG MEREKA TIPU


Mencapai kemenangan bukannya mudah, tetapi mengisi kemenangan ternyata lebih susah daripada kemenangan itu. Apatah lagi sesuatu yang hendak diisi itu bererti memenuhi janji dan idealisme perjuangan.

Inilah agaknya hakikat yang sedang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang. Mudah berjanji, mengungkap manifesto, memberi semangat dan harapan kepada pengundi dan penyokong. Mudah beretorik!

Tetapi, apabila kuasa berada di tangan, semua tak menjadi, semua jadi buntu! Apatah lagi mewarisi hutang berbilion ringgit dan pegawai kerajaan tidak menyokong kerajaan sedia ada, malah ada pula yang mensabotaj.

Janji kehidupan lebih baik tidak kunjung tiba, tekanan kos sara hidup yang disebabkan kerajaan terdahulu terus menghambat hidup rakyat. Rakyat jadi cemas dan tidak mustahil akan lemas jika keadaan tidak berubah.

Setelah hampir 1 tahun di tampuk kuasa, rakyat tidak menikmati apa yang dijanjikan. Mungkin ada, tetapi kerajaan seolah-olah membisu, kurang memberitahu rakyat apa yang telah berubah, apa yang telah dicapai dan apa yang sedang dilaksanakan. Di mana peranan media arus perdana?

Yang dilihat adalah keluhan dan aduan terhadap kebobrokan kerajaan terdahulu, yang dicanangkan adalah kesalahan dan jenayah yang dilakukan pemimpin kerajaan dulu.

Malah, untuk mengadili si “penjenayah” di mahkamah juga dilihat sebagai gagal, meleret dan melelahkan. Dan yang anehnya, si “penjenayah” itu pula yang mendapat perhatian dan liputan utama media arus perdana.

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dijanjikan belum mendatangkan manfaat kepada rakyat, malah menjadi beban lebih besar kepada peniaga, pengilang, pembuat dan akhirnya kos keseluruhan melumpuhkan rakyat.

SST yang didakwa lebih baik dan lebih adil, kini dilabelkan gagal. Malah, kerana pengiraan begitu kompleks, SST dilihat sebagai tidak telus dan menyusahkan peniaga.

Apakah tempoh 6 bulan pelaksanaan tidak cukup untuk menilai kelemahannya? Apakah kerana ego dan malu menjilat ludah menyebabkan kerajaan tidak mahu mengakui kesilapan serta mencari jalan penyelesaian pencukaian drastik yang tidak membebankan rakyat dan mengurangkan kos keseluruhan rantaian bekalan?

Rakyat telah muak dengan segala retorik. Kerajaan PH harus sedar rakyat telah berubah.

Rakyat juga berani menukar kerajaan secara demokratik dan amat mudah rakyat menolak kerajaan sedia ada, jika kebuntuan ini berterusan.

PH mempunyai 4 tahun 2 bulan lagi untuk meyakinkan dan memenangi hati serta fikiran rakyat. Bukan lagi dengan retorik, tetapi hasil yang dapat mensejahterakan hidup rakyat.

Sedarlah, 4 tahun itu tidak lama.

Yunus Tasim ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KIT SIANG TIDAK JADI BERDEBAT DENGAN NAJIB, NAFI DIRINYA TAKUT DAN GENTAR #viralhancing

Gambar sumber Malaysiakini Veteran DAP Lim Kit Siang memutuskan tidak akan meneruskan debatnya dengan bekas perdana menteri Najib Razak...