Jumaat, 3 Mei 2019

STATUT ROME - EMPAT PENSYARAH PERLU BERTANGGUNGJAWAB KATA MASZLEE #viralhancing

KUALA LUMPUR 2 Mei - Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, empat pensyarah yang terlibat dalam rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja pada 2 April lalu perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang ingin mereka ketengahkan.

Gambar sumber Google

Beliau berkata, ia selari dengan janji kerajaan untuk mengangkat kebebasan akademik seperti yang telah diputuskan kabinet sebelum ini.

“Dalam masa yang sama kita berharap isu ini perlu diperdebat secara ilmiah dan berfakta tanpa mempunyai niat tertentu sama ada bersifat politik atau tidak.

“Oleh yang demikian, mereka yang terlibat perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang mahu diperdebatkan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Maszlee berkata demikian bagi mengulas surat terbuka yang ditujukan kepadanya daripada anggota kumpulan bekas penjawat awam G25 Tan Sri Alwi Jantan yang dilaporkan di laman sebuah portal berita hari ini, merujuk kepada tindakan empat pensyarah terbabit yang dilihatnya melakukan kesalahan sebagai penjawat awam.

Rumusan eksekutif bagi meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu dilakukan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad, pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab Aziz serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr. Fareed Mohd. Hassan dan Hisham Hanapi.
Alwi mempersoalkan sama ada tindakan keempat-empat ahli akademik itu telah mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada naib canselor masing-masing sebelum membentangkan rumusan kertas kerja masing-masing kepada Majlis Raja-Raja. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah akan jadi negeri terkaya di Malaysia kata PM

KOTA KINABALU: Dr Mahathir Mohamad berkata Sabah bakal mendapat manfaat besar daripada sektor minyak dan gas, dan menepis dakwaan ia negeri ...