Selasa, 25 Jun 2019

TIADA LANGSUNG PERBINCANGAN PERALIHAN KUASA DENGAN ANWAR KATA TUN M #viralhancing


KUALA LUMPUR - Tiada perbincangan peralihan kuasa dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.

Demikian kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika diajukan mengenai pertemuannya dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu di pejabatnya hari ini.

Sebaliknya, Dr. Mahathir memaklumkan, pertemuannya dengan Anwar itu hanya membincangkan perkara yang biasa-biasa sahaja.

“Kita hanya bercakap perkara biasa-biasa sahaja. Tidak ada apa-apa,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Maju Holdings di Golden Eagle Hall, Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.
                                                                 Gambar - The Star

Majlis itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Anwar dalam akaun Facebook beliau petang ini memuat naik gambarnya bertemu dengan Dr. Mahathir.

Beliau turut memuat naik catatan memaklumkan beberapa isu mutakhir di dalam dan luar negara disentuh secara ringkas oleh kedua-dua mereka.

Anwar malah memberitahu, beliau dan Dr. Mahathir bersetuju bahawa pimpinan negara harus pantas dan wibawa dalam menumpukan kepada isu ekonomi termasuk memacu pelaburan domestik dan asing ketika pertemuan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kenyataannya pagi tadi yang merancang untuk memegang jawatan Perdana Menteri tidak lebih tiga tahun, Dr. Mahathir berkata, ia tidak bermaksud sedemikian.

Bagaimanapun, katanya, pada waktu ini beliau hanya mahu membetulkan kerja yang masih belum selesai.

“Saya tidak kata tiga tahun. Saya hanya hendak membetulkan kerja,” ujarnya.

Semalam, ketika ditemubual stesen media asing, Dr. Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri melebihi tiga tahun.

Menurut stesen berita CNBC, Dr. Mahathir dikatakan memerlukan tiga tahun untuk mengurangkan hutang Malaysia daripada 80 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar kepada 54 peratus.

Ketika ditanya pembaca berita CNBC, Tanvir Gill sama ada beliau akan terus memegang jawatan untuk melihat matlamat itu tercapai, Mahathir berkata: “Tidak, saya tidak akan melebihi tiga tahun.”

Sebaliknya, Dr. Mahathir berkata, keutamaan beliau adalah untuk membolehkan Malaysia ‘menyelesaikan masalah (hutang) ini’ sungguhpun selepas beliau berundur. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

[PKR vs PKR] Azmin sebenarnya tangan ghaib rosakkan PKR, bidas Akmal

Mereka sedang bergaduh betul-betul agaknya ni, ingatkan berlakon je, almaklumlah PKR ni bijak dalam lakonan, lakonan puak-puak memang lain m...