Selasa, 30 Julai 2019

JANGAN LACURKAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG KATA MP PASIR GUDANG KEPADA KERAJAAN MALAYSIA #viralhancing

SETAHUN yang lalu pada 16 Julai 2018 ketika mengangkat sumpah sebagai seorang ahli Dewan Rakyat bagi Parlimen Malaysia, sebaik sahaja selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya telah berikrar untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu undang-undang utama negara ini yang asas pentingnya ialah bahawa sesungguhnya negara ini hendaklah bergerak atas landasan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Sumber Gambar MalaysianInsight

Justeru itu saya menuntut Perdana Malaysia sekarang Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menjalankan tugasnya yang diamanahkan oleh rakyat berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.


Sebagai seorang Ahli Parlimen saya juga menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas yang berperanan juga sebagai pendakwa raya supaya menunaikan tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan Persekutuan dengan adil dan saksama, tanpa takut dan pilih kasih untuk melakukan pendakwaan bagi setiap kesalahan jenayah berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sebagai seorang Ahli Parlimen yang telah dipilih oleh rakyat dan sebagai seorang pengamal undang-undang selaku peguam bela dan peguam cara, saya juga menuntut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hamid Bador supaya menjalankan tugas kepolisannya secara profesional berdasarkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan tanpa memilih bulu.

Sehari sebelum hari raya Aidilfitri yang lalu, negara kita telah dikejutkan dengan isu video seks semburit yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan dalam Kabinet. Beberapa tangkapan untuk tujuan siasatan di bawah Kanun Acara Jenayah telah dilakukan oleh pihak Polis.

Dari segi fakta yang ada setakat ini di hadapan mata rakyat Malaysia dan dunia, bahawa sesungguhnya ada seorang saksi yang material dan teramat penting yang telah mengaku tanpa paksa dan membuat pengakuan secara sukarela bahawa dialah yang menjadi salah seorang pelaku dalam kes hubungan seks yang di dalam statut Kanun Keseksaan Malaysia adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum penjara dan sebat.

Masa telah lebih dari cukup untuk pihak polis menyelesaikan kertas siasatannya dan menyerahkan kepada pendakwa raya untuk memulakan tindakan pendakwaan. Tidak perlu seseorang untuk menjadi peguam atau pakar undang-undang terlebih dahulu untuk memahami bahawa bola sekarang berada di gelanggang Ketua Polis Negara dan juga Peguam Negara merangkap pendakwa raya. Kedua-dua ketua agensi kerajaan tersebut yang diamanahkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi pihak rakyat dan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugasnya di bawah undang-undang bagi pelaksanaan sistem keadilan di Malaysia menurut asas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Jika pihak Ketua Polis Negara dan Peguam Negara serta pendakwa raya gagal dalam menjalankan tugasnya berhubung isu video seks semburit itu maka mereka berdua telah melakukan satu kesalahan besar di bawah undang-undang.

Dalam hal ini, akhir sekali saya menuntut Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Gabungan Pakatan Harapan di mana saya salah seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang telah berjaya bersama-sama membentuk kerajaan baharu PH dengan janji kepada rakyat untuk mengembalikan the rule of law atau kedaulatan undang-undang di Malaysia ini supaya tanpa bertangguh-tangguh melaksanakan proses keadilan seperti yang telah dijanjikan itu dengan jujur dan adil, tanpa sebarang campur tangan dan gangguan terhadap proses pentadbiran sistem keadilan dan undang-undang di negara ini bersabit episod video seks semburit yang telah memalukan lebih 32 juta rakyat Malaysia di mata masyarakat dunia.

Kesimpulannya, masa telah sampai untuk Perdana Menteri, Peguam Negara, Pendakwa Raya dan Ketua Polis Negara membuktikan kepada kami semua rakyat Malaysia dan dunia antarabangsa bahawa sesungguhnya anda semua telah menjalankan tugas dan amanah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan kerana berani menegakkan kedaulatan undang-undang.

Penulis ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada PKR

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TANAH INI NAMANYA TANAH MELAYU, KEPUNYAAN ORANG MELAYU KATA NGO UMMAH

KUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan menolak dakwaan Malaysia milik orang India kerana pelbagai fakta sejarah membuktikan ia adalah Tan...