Sabtu, 7 September 2019

[Burukkan Kerajaan] Rakyat mudah sangat dengar cakap-cakap kedai kopi kata penganalisis

PETALING JAYA: Rata-rata rakyat pada hari ini masih lagi membincangkan isu-isu perkauman dan agama serta pelbagai perkara lain yang remeh atau sempit walaupun telah 62 tahun mengecapi kemerdekaan, menurut seorang penganalisis politik.

Prof Shamsul Amri Baharuddin berkata ini disebabkan pemahaman mengenai adat dan budaya pelbagai kaum serta sensitiviti kepercayaan agama masih lagi pada tahap yang rendah khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Perkara-perkara seperti inilah yang menimbulkan masalah serta menggugat keharmonian apabila diperbesarkan. Orang kita terlalu fokus kepada yang negatif dan gemar mendengar cakap-cakap ‘kedai kopi’ sedangkan banyak sisi positif yang boleh ditonjolkan.

Gambar sumber Malaymail

“Misalnya ada yang mendakwa keadaan sekarang bahaya…tetapi bahaya yang bagaimana? Tidak lain ia hanya andaian yang menakut-nakutkan umum. Apatah lagi dengan adanya media sosial dan telefon pintar yang digunakan secara tidak bijak,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menjadi antara ahli panel forum “Malaysia Selepas 62 Tahun Merdeka” di ibu pejabat Sin Chew Daily malam tadi.

Wacana dengan tema #KitalahMalaysia bersempena kempen kemerdekaan memupuk persefahaman itu dianjurkan oleh akhbar Sin Chew Daily dan Sinar Harian yang diadakan selama 17 hari, bermula 31 Ogos sehingga 16 Sept ini.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata semua pihak harus melihat kepada perkara yang lebih luas dan realistik untuk diperkatakan, misalnya soal memperkasa ekonomi dan pendidikan agar dapat bersama melangkah maju ke hadapan.

Katanya perlu juga difahami apa yang dikecapi hari ini adalah menerusi semangat kesepaduan antara kaum yang telah terjalin sejak sekian lama dan ia perlu terus dipupuk agar tidak terhakis.

“Malaysia masih dalam proses ke arah mencapai perpaduan yang sebenar. Semangat kesepaduan kaum yang ada sekarang diterjemah apabila kita bersekali walaupun saling berbeza antara satu sama lain. Inilah istimewanya rakyat Malaysia.

“Kita masih boleh untuk tidak bersetuju dan adakala bertegang dalam pelbagai perkara, tetapi masih mampu duduk secara aman. Maka untuk mencapai perpaduan yang diimpikan, kita harus mencari titik persamaan dengan cara lebih mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.

FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah akan jadi negeri terkaya di Malaysia kata PM

KOTA KINABALU: Dr Mahathir Mohamad berkata Sabah bakal mendapat manfaat besar daripada sektor minyak dan gas, dan menepis dakwaan ia negeri ...