Rabu, 4 September 2019

Tak kerana mulianya hatimu Nadia, mungkin lain jadinya

KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pertolongan kecil membawa makna yang besar dan meninggalkan kesan mendalam.



TANGKAP layar video dari akaun Twitter Nadia Dahlia yang mengekori belakang dua penunggang motosikal di Johor Bahru, Johor baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE/gambar Twitter Nadia Dahlia

Ini yang berlaku kepada seorang pemilik akaun Twitter dikenali Nadia Dahlia kerana membantu dua penunggang motosikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

Menurut status pemilik @nadiadahlia, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dia terserempak dua penunggang motosikal dengan salah seorang daripadanya sedang menunda kenderaan itu.

“Terdetik hati untuk buat sesuatu kepada mereka. Seorang penunggang menunda motosikal lain di jalan besar, bayangkan kereta laju dari arah belakang menyebabkan seorang daripadanya hampir hilang kawalan kerana ditolak dengan kaki sambil menunggang.

“Saya yang memandu dari lorong kanan, cepat-cepat ke lorong kiri lalu ikut mereka dari belakang dan membuka lampu isyarat kecemasan bagi memaklumkan kereta lain yang laju dari arah belakang,” katanya menerusi ciapan yang dimuat naik pada 2 September lalu.

Tambah Nadia, dia dapat menolong kedua-dua insan itu sehingga ke sekitar jalan Kempas ke Setia Tropika, Johor Bahru kerana tersekat di lampu isyarat.

“Lepas je lampu isyarat, saya dah tak nampak mereka menghala ke mana. Tapi yang pasti, seorang penunggang motosikal terbabit sempat angkat tangan sambil cakap ‘terima kasih’,” katanya yang menggunakan tanda pagar #kitapower dan mendapat 2,120 tanda suka serta 2,732 ulang kicau.

Nadia juga berpesan kepada pengguna jalan raya jika ternampak ada orang sedang menunda motosikal, jangan laju atau ‘cucuk belakang’, istilah yang selalu digunakan oleh pengguna jalan raya.

“Pertolongan kecil mampu memberi amaran kepada yang lain,” ujarnya.

Nadia juga turut meminta maaf kepada pengguna jalan raya lain kerana terpaksa memperlahankan kereta sehingga ada yang lewat sampai ke destinasi.

“Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang tolong kita tidak kira berlainan bangsa atau agama,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sabah akan jadi negeri terkaya di Malaysia kata PM

KOTA KINABALU: Dr Mahathir Mohamad berkata Sabah bakal mendapat manfaat besar daripada sektor minyak dan gas, dan menepis dakwaan ia negeri ...