Khamis, 21 Mac 2019

INDEKS KEBAHAGIAAN JATUH SEBAB NAJIB BUKAN SEBAB KERAJAAN PAKATAN HARAPAN KATA KHALID SAMAD #viralhancing

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang berkata kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebahagiaan Dunia 2019 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merosot teruk kerana rakyat ditipu kerajaan PH.



Pemimpin Amanah itu mengucapkan terima kasih kepada Najib yang sedang berhadapan pertuduhan di mahkamah berkaitan skandal 1MDB kerana berminat dengan isu tersebut, berkata bekas perdana menteri mungkin menjadi penyumbang utama terhadap kemerosotoan indeks kebahagaian.

"Saya yakin indeks kebahagiaan peribadinya telah menjunam," katanya kepada Malaysiakini.

Pada hantaran Facebook hari ini, Najib menyindir Khalid atas ucapannya semalam yang memuji kedudukan Malaysia di tangga ke-35 Indeks Kebahagiaan 2018.

MP Pekan berkata beberapa jam selepas ucapan menteri itu, Indeks 2019 mendedahkan Malaysia menjunam jatuh ke tangga ke-80.

Hal ini, kata bekas presiden Umno berpunca daripada penipuan PH mengenai keadaan ekonomi yang teruk.

Tinjauan tiga tahun

Menurut laporan PBB, dapatan pada tahun 2019 itu berdasarkan tinjauan selama tiga tahun dari 2016 hingga 2018, ketika Najib masih lagi menjadi perdana menteri.

Khalid juga berkata "skandal Najib mula difahami" ketika laporan 2018 yang mengambil kira tinjauan dari 2015, 2016 dan 2017 diterbitkan.

Sementara itu, beliau memaklumkan laporan 2019 turut melibatkan tinjauan dari 2018.

"Pada tempoh separuh pertama tahun 2018, rakyat memang tidak gembira. Itu sebabnya mereka membuang Najib (pada PRU14).

"Tempoh separuh kedua 2018 juga sukar. Sebahagian orang gembira kerana Najib tidak lagi menjadi perdana menteri, manakala sebahagian lain susah hati atas sebab yang sama.

"Orang ramai merasakan Malaysia masih belum pasti arah tujuannya. Banyak projek yang dihentikan kerana disemak semula pentadbiran baru," katanya lagi.

Menurut Khalid orang ramai umumnya merasa sedih kerana kesan pentadbiran terdahulu mula disedari.


Menteri menjelaskan ketika berucap semalam beliau tidak mengumumkan hasil bagi tahun 2019, lantaran itu beliau tidak menyentuh masalah yang dihadapi ketika tempoh peralihan.

"Bagaimanapun saya yakin ia akan diselesaikan dan kedudukan kami akan bertambah baik apabila kami dapat membetulkan keadaan," jelasnya.

Malaysiakini

ADUN BERSATU MOHON KERAJAAN SELANGOR JADI PENGELUAR TANAMAN GANJA #viralhancing

Seorang wakil rakyat Bersatu hari ini memohon kerajaan Selangor mempertimbangkan cadangan bagi melaksanakan penanaman ganja.



Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata negeri itu berpotensi menjadi pengeluar terbesar ganja di seluruh dunia, lapor Malay Mail.

"Izinkan saya memberi contoh. Anda boleh mendapat RM3,000 seekar dalam setahun untuk minyak sawit.

“Tetapi ganja boleh membawa hasil pulangan sehingga RM9 juta setahun ... satu ekar dengan tiga kali ganda jumlah hasil akan dikeluarkan setahun.

"Dan sekiranya Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 100 ekar, kita akan jadi pengeluar terbesar di negara ini yang turut memberi pulangan lumayan, " Mohd Shaid dipetik sebagai berkata.


Kenyataannya itu disambut gelak tawa daripada Adun yang lain.

Beliau berkata penanaman untuk tujuan penyelidikan dan eksport perubatan sesuai dibuat di Kuala Selangor yang dirancang sebagai kawasan pertanian.

Mohd Shaid Rosli berkata, Akta Dadah Merbahaya 1952 telah menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Bagaimanapun, cadangan Adun Jeram itu disanggah Adun Ijok, Dr Idris Ahmad dengan menyatakan apa yang dikemukakan Mohd Shaid akan menyukarkan soal penguatkuasaan dalam isu tersebut.


"Mengikut sejarah, ganja digunakan sebagai ubat tetapi ia telah disalahgunakan, seperti candu dan morfin. Ini adalah ubat berbahaya yang mesti dikawal.

"Dan saya juga seorang doktor yang mana saya tahu masalah mengenai ubat terkawal ini yang memerlukan penguatkuasaan yang sangat baik," kata pakar perubatan itu.

Mengakui perkara itu, Mohd Shaid berkata lokasi bagi penanaman dan pemprosesan juga dicadangkan dilaksanakan di satu kawasan dan hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja.

"Jangan risau mengenai pasaran gelap dan sebagainya kerana kita perlu ketatkan sistem agar tidak berlaku ketirisan serta penagihan di kalangan masyarakat," katanya.

PENGURUSAN MASJID UM LAPOR POLIS PROGRAM 'BOSSKU'

Pihak pengurusan Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya membuat laporan polis berhubung penganjuran program melibatkan bekas pengerusi BN Najib Razak di masjid itu yang direncanakan esok.



Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, laporan itu berkata pihak pengurusan masjid tidak dimaklumkan lebih awal berhubung program berkenaan.

"Tujuan laporan polis ini dibuat adalah sebagai perlindungan diri bimbang perkara yang tidak diingini berlaku kerana program tersebut tidak dimaklumkan terlebih awal kepada pihak masjid," kata laporan polis itu.

Dalam perkembangan sama, Ketua Amanah Lembah Pantai Mohd Hishamuddin A Hamid menyifatkan program itu sebagai memperalat masjid.

"Amanah Lembah Pantai mengecam tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan institusi mulia seperti masjid bagi meraih sokongan dan simpati kepada mereka.

"Program seperti yang disebarkan mungkin suatu propaganda murahan berikutan kekalahan golongan pro rejim lama dalam pilihan raya kampus UM baru-baru ini,” katanya seperti dipetik Malaysia Dateline.


Laporan portal itu turut memuat naik grafik poster bertajuk Sembang Santai Mahasiswa Universiti Malaya (UM) Bersama #Bossku, yang dipercayai merujuk kepada program yang dimaksudkan.

Sehubungan itu, Hishamuddin turut menggesa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil tindakan.

"Kami berpendapat pihak Jawi semestinya perlu bertindak supaya institusi masjid tidak tercemar dari kepentingan pihak tertentu," katanya.

Malaysiakini

Pelik! Muhyiddin kata kerajaan sudah dah tak banyak duit, tetapi timbalan menteri pelancongan baru tetap akan dilantik hari ini

 Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Dee Koh Hoi dilapor akan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri pelancongan, ke...