Sabtu, 30 Mac 2019

PENYAKIT BUAH PINGGANG BEBAN KEPADA NEGARA KATA MENTERI #viralhancing

IPOH 30 Mac - Penyakit buah pinggang merupakan satu beban besar kepada negara apabila terdapat sekurang-kurangnya 39,000 pesakit yang memerlukan dialisis dengan kos rawatan dianggarkan bernilai RM1.6 bilion pada setiap tahun.


Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, angka tersebut dijangka meningkat sehingga 50,000 pesakit pada tahun depan dengan kesedaran orang ramai mendapatkan rawatan, hasil jaringan komprehensif perkhidmatan dialisis di Malaysia setanding kebanyakan negara maju.

“Kebanyakan penyakit buah pinggang ini berasal dari kencing manis dan darah tinggi, jadi saya menyeru kepada masyarakat supaya mempraktikkan gaya hidup sihat supaya kita boleh mengelakkan penyakit ini.

“Kita juga tahu bahawa mereka yang menghidap pada peringkat awal, jika mengamalkan pemakanan sesuai dan menerima rawatan bertepatan, boleh menangguhkan kemerosotan penyakit buah pinggang sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, menerusi program Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) yang bakal dilancarkan pada bulan depan, mereka yang layak mendaftar perlu mengambil kesempatan dengan melakukan saringan kesihatan di klinik-klinik berdaftar.

Menurut beliau, saringan kesihatan secara percuma itu bukan sahaja meliputi fungsi buah pinggang, tetapi juga pemeriksaan fizikal, darah tinggi, kencing manis, kolesterol serta penilaian kesihatan mental.

“Di bawah program ini, individu yang layak ialah mereka yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 50 tahun dan ke atas.

“Dalam senarai, yang layak (terdapat) lebih daripada tiga juta (orang) tetapi pada peringkat awal, kita peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk 800,000 peserta,” katanya. - UTUSAN ONLINE

KERAJAAN YANG PRIHATIN KESUSAHAN RAKYAT - BSH RM100 DISALURKAN MINGGU INI KATA MENTERI #viralhancing

PUTRAJAYA 29 Mac - Kerajaan telah mengotakan komitmennya dengan membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM100 untuk bujang golongan berpendapatan rendah (B40) pada minggu ini yang disalurkan kepada tiga juta penerima dengan melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM300 juta.


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan pada Februari lalu mengumumkan bantuan itu akan dibuat pada hujung bulan ini sejajar keprihatinan terhadap tekanan kos sara hidup rakyat masa kini.

“Malah pada 28 Januari lalu, kerajaan turut membuat bayaran BSH fasa pertama sebanyak RM300 kepada 4.1 juta isi rumah dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion iaitu sebagai satu langkah memenuhi janji kerajaan.

“Kementerian Kewangan di samping itu juga memperuntukkan sebanyak RM120 juta untuk Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) kepada 1.2 juta pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan daripada setiap mereka menerima RM100 dan disalurkan melalui Kad Diskaun Siswa Bank Rakyat. Bayaran ini disalurkan secara berperingkat bermula semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng lagi, pihak kerajaan akan terus memberi perhatian kepada isu kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan bantuan disalurkan untuk rakyat yang benar-benar memerlukannya.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1800882747 serta e-mel ke [email protected],” katanya.-UTUSAN ONLINE

Malu! Sekali video Timbalan Menteri tertidur masuk berita Turki tu...

 Rakaman video yang menunjukkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika di satu majlis konvokesyen baru-ba...