Sabtu, 20 April 2019

PH TIDAK AKAN JADI KERAJAAN SEPENGGAL, MALAH SEKARANG LEBIH BAIK DARI BN KATA MENTERI #viralhancing

WAWANCARA | Dengan pelbagai kritikan ditujukan kepada kerajaan PH yang sudah memerintah selama 11 bulan namun gagal memenuhi janji manifesto, selain beberapa keputusan 'pusingan-U', serta kekalahan dalam tiga siri pilihan raya kecil (PRK), terdapat pandangan yang melihat gabungan itu hanya akan berkuasa selama sepenggal.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini dan Kini TV, Menteri Industri Utama Teresa Kok maklum dengan ketidakpuasan hati rakyat terhadap PH namun percaya gabungan itu mampu meyakinkan rakyat selepas menunjukkan perbezaan dalam pentadbiran.

Jelas Teresa, sesetengah penyokong PH tidak senang kerana mereka menjangkakan perubahan dalam waktu yang singkat.

"Mereka tidak faham bahawa kita mewarisi syarikat (kerajaan) yang mempunyai hutang besar dan banyak masalah, termasuk masalah struktur.


"Jika rakyat salahkan (kerajaan) kerana ekonomi tidak baik, kita tidak boleh lupa bahawa ekonomi dunia sedang dalam situasi buruk susulan perang dagangan AS-China yang menyebabkan negara lain turut terjejas," katanya.

"Saya bagaimanapun tak percaya kita akan menjadi kerajaan sepenggal," katanya, dengan memetik pengalaman Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Selangor pada 2008 dan terus mempertahankannya dalam pilihan raya umum selepas itu.

Baca seterusnya/sumber- Malaysiakini

Jumaat, 19 April 2019

PH SUDAH JAGA MELAYU DENGAN BAIK, TETAPI ADA PIHAK MENAKUT-NAKUTKAN SUPAYA MELAYU BENCI PH #viralhancing

ARAU 19 April - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan menyifatkan sokongan orang Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) masih ada meskipun gabungan itu tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam pilihan raya kecil (PRK), termasuk di Rantau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


Beliau mengakui, PH kehilangan sedikit undi orang Melayu kerana mereka dihimpit rasa gusar selepas terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba memainkan sentimen menakut-nakutkan mereka.

"Ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menangguk di air yang keruh iaitu apabila orang Melayu ditakutkan, mereka mendapat faedah.

"Mereka ini akan terus berusaha menakutkan lagi orang Melayu. Saya harap pendekatan politik yang digunakan mestilah matang supaya dapat mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Bimbingan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Perlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, di sini hari ini.

Wan Saiful berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kekalahan ketiga berturut-turut PH dalam PRK iaitu di Parlimen Cameron Highlands, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan terbaru di Rantau.

Malah di dalam ketiga-tiga PRK tersebut, sokongan orang Melayu termasuk golongan muda dilihat mula beralih arah kembali kepada Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata, PH mengambil iktibar kekalahan dalam PRK sebelum ini.

Katanya, PH mendengar suara rakyat dan akan berusaha untuk memastikan tuntutan serta kehendak mereka itu dapat dipenuhi.

"Saya yakin, pihak kepimpinan atasan PH sudah bersedia dengan strategi untuk menghadapi PRK akan datang dan kembali mendapat sokongan," katanya.- UTUSAN ONLINE

SAH PERDANA MENTERI DAN SELURUH KERAJAAN MELETAK JAWATAN #global #viralhancing

Perdana Menteri Mali, Soumeylou Boubeye Maiga dan seluruh kerajaan meletak jawatan semalam, empat minggu selepas pembunuhan beramai-ramai membabitkan 160 penternak puak Fulani oleh kumpulan pelampau etnik mengejutkan negara itu.


“Presiden menerima peletakan jawatan perdana menteri dan seluruh anggota kerajaan,” menurut satu kenyataan dari pejabat Presiden Ibrahim Boubacar Keita.

Keganasan tercetus berikutan dakwaan bahawa lembu ternakan puak Fulani menceroboh tanah pertanian milik puak Dogon selain pertikaian mengenai akses tanah dan air.

Perdana Menteri Mali, Soumeylou Boubeye

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mencatatkan lebih daripada 500 kematian awam di kawasan terbabit pada 2018. - Reuters

Khamis, 18 April 2019

RINGGIT MAKIN MENYUSUT, PALING TERENDAH DALAM TEMPOH TIGA BULAN #viralhancing

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup pada paras hampir terendah dalam tempoh tiga bulan berbanding dolar AS hari ini, dijejaskan oleh sentimen lemah terhadap unit tempatan itu susulan kebimbangan mengenai kemungkinan penyedia indeks global, FTSE Russell menurunkan penarafan bon Malaysia.


Pada 6 petang ini, ringgit susut ke paras 4.1330/1360 berbanding dolar AS daripada 4.1310/1350 yang dicatatkan sewaktu penutupan pada Selasa.

Unit tempatan itu diniagakan pada paras 4.1410/1450 berbanding dolar US pada 24 Jan, 2019.

Mengulas perkembangan itu, Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata kebimbangan mengenai kemungkinan penurunan penarafan itu telah mempengaruhi selera risiko pelabur selain menjejaskan sentimen kelemahan dolar AS tersebut.


Walaupun impak itu disifatkan sebagai berkemungkinan sementara, beliau sebaliknya menjangkakan aliran penyusutan ringgit itu akan berlanjutan sehingga akhir minggu ini.

Baca selanjutnya di BH online

Rabu, 17 April 2019

BURSA SAHAM SUSUT RM157 BILLON SEJAK PRU14, SALAH SIAPA AGAKNYA? #viralhancing

PETALING JAYA: Permodalan pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak pilihan raya umum ke-14 lalu, dengan penanda aras pasaran FBM KLCI mencatatkan 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.


Ketua penyelidik di Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew memberitahu FMT, satu daripada punca utama penurunan prestasi secara drastik ialah langkah penjimatan kerajaan.

Katanya, ini diburukkan lagi dengan langkah bank mengawal penciptaan kredit.

“Tindakan ketat bank menyebabkan kecairan dan penawaran wang menyusut. Ini ketara daripada pengeluaran besar dana asing daripada pasaran Malaysia.”

Satu-satunya tanda positif untuk pertumbuhan mudah tunai ialah angka lebihan dagangan berkembang yang menyumbang kepada kecairan dagangan.

Pong berkata, antara cabaran besar bagi kerajaan ketika ini ialah tahap hutang yang perlu ditanganinya.

Beliau berkata, pembiayaan luar kunci kira-kira dilaksanakan kerajaan tidak muncul dalam angka hutang rasmi.

Katanya, kerajaan tidak salah dalam meletakkan hutang negara pada paras RM1 trilion kerana ia mengambil kira pembiayaan akaun luar kunci kira-kira, termasuk inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

PFI ialah pinjaman diambil sektor swasta bagi pihak kerajaan, di mana kerajaan membayar keuntungan dan kosnya. Ia boleh diklasifikasikan sebagai hutang tertunda kerana kerajaan tidak dikehendaki membayarnya serta-merta.

Ketua strategi Phillip Capital Bhd, Phua Lee Kerk memberitahu FMT impak paling besar ke atas penyusutan nilai pasaran ialah kehilangan kekayaan bagi pelabur.

Katanya, ini akan menjejaskan kadar penggunaan kerana kekayaan mereka berkurangan secara ketara.

“Agak biasa untuk negara membangun menyaksikan kemerosotan dalam pasaran mereka apabila berlaku pertukaran kerajaan. Ini disebabkan pelabur akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menilai dasar kerajaan baru. Mereka tidak memasuki pasaran.”

Katanya, kerajaan baru perlu diberi masa 2 tahun sebelum penilaian “bermakna” boleh dilakukan mengenai dasar ekonomi mereka.

Semalam, Bloomberg melaporkan prestasi pasaran Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia.

KAWAN KEPADA SYED SADDIQ, AKTIVIS KONTROVERSI DIPANGGIL POLIS #viralhancing

KUALA LUMPUR 16 April - Aktivis kontroversi, Numan Afifi dipanggil oleh pihak polis susulan ucapannya sewaktu Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu.


Menurut Numan dalam akaun Facebook miliknya, pihak polis memanggilnya untuk hadir ke Ibu pejabat Polis Bukit Aman, 26 April depan memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung ucapan itu.

Walaupun akan disiasat polis, namun aktivis yang mendakwa memperjuangkan hak lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) itu tetap dengan pendiriannya meneruskan usaha sedemikian.

“Saya tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan untuk mengganggu atau menakut-nakutkan saya sebagai pembela hak asasi manusia di Malaysia. Saya berjuang demi hak asasi untuk semua dan akan tetap meneruskan usaha ini.

“Marilah bersolidariti dengan kami dalam rangka mengembangkan ruang sivik di Malaysia dan mengecam mereka yang cuba menyempitkannya,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, memetik laporan The Star Online hari ini, Numan mendakwa kenyataan yang dibacakannya dalam majlis di Geneva itu merupakan hasil usaha 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang memperjuangkan identiti jantina dan orientasi seksual.

Numan malah berkata, kenyataan yang disampaikan itu juga sebagai tanda persetujuan kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa isu LGBT bukanlah isu yang dianggap tabu.

“Kami memuji langkah kerajaan yang telah menerima satu cadangan iaitu kempen anti buli di sekolah tetapi apa yang menimbulkan kebimbangan apabila Malaysia telah menolak cadangan lain berkaitan identiti jantina dan orientasi seksual.

“Kita juga menyebut tentang bagaimana penyertaan LGBT sewaktu perarakan Women’s March, 9 Mac lalu telah disensasikan sehingga membuatkan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan supaya hak golongan LGBT untuk berhimpun ada batasnya,” ujarnya lagi. - UTUSAN ONLINE

Selasa, 16 April 2019

BURSA SAHAM MALAYSIA DINOBAT PALING TERUK DI DUNIA! SIAPA NAK JAWAB? #viralhancing

Semalam, Bloomberg telah menaikkan pangkat bursa Malaysia dari “sole loser” di Asia menjadi bursa paling teruk dalam dunia untuk tahun 2019 ini.


Bukan senang untuk menjadi nombor satu di dunia. Tahniah kepada Menteri Kewayangan kita!

Bloomberg juga berpendapat bahawa harapan untuk kerajaan PH menarik balik pelabur asing bagi memulihkan ekonomi semakin pudar setiap hari.

Manakala Bloomberg mengesahkan bahawa bursa Malaysia mencapai rekod tertinggi di bawah BN sebelum PRU14 tetapi kini sudah jatuh 14%.


Pasaran-pasaran saham di dunia sedang dalam keadaan “rally” ataupun dalam trend menaik.

Malangnya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengalami kejatuhan.

Sebelum PRU14, Malaysia merupakan pasaran saham dengan tempoh lonjakan saham paling lama di dunia iaitu “world’s longest running bull market” sehingga kita capai tahap tertinggi pada awal bulan Mei sebelum PRU14.

Tapi Raykat tak suka “world’s longest running bull market” ataupun pasaran saham yang sering mencipta rekod tahap tertinggi.

Raykat lebih suka “World’s worst share market” pulak.

Di mana kata-kata pemimpin PH kata ekonomi kita semakin baik?

Benda boleh menipu, buat apa cakap benar?

RAKYAT BERGAJI TINGGI HANYA AKAN TINGKATKAN HARGA BARANG KATA PM #viralhancing

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan rakyat bahawa gaji yang tinggi tanpa peningkatan produktiviti adalah sia-sia selain hanya meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.


Katanya, cabaran utama ahli-ahli perniagaan di negara ini pada waktu ini adalah meningkatkan produktiviti merentasi ekonomi negara.

“Standard kehidupan nasional dan keupayaan dalam mengubah Malaysia sepenuhnya kepada status negara maju akan dipengaruhi kuat oleh keupayaan kita untuk meningkatkan kadar produktiviti.

“Saya dilatih untuk menjadi doktor perubatan. Tetapi ahli-ahli ekonomi dan pemimpin-pemimpin perniagaan sentiasa mengingatkan saya mengenai kepentingan produktiviti sebagai intipati utama untuk perkembangan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Konvokesyen Asia School of Business di Hotel Mandarin Oriental di sini semalam.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Bersama Lembaga Pengelola Asia School of Business, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz serta Presiden dan Dekan pusat pengajian itu, Prof. Charles Fine.

Sumber: Utusan Online

PUTRAJAYA DALAM MASALAH BESAR SEKIRANYA RAKYAT MENYESAL UNDI PH KATA GUAN ENG #viralhancing

Pakatan Harapan (PH) akan ditimpa masalah jika rakyat merasakan mereka sudah tersilap membuat keputusan menukar kerajaan pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, kata Lim Guan Eng.


Menteri Kewangan itu berkata demikian dalam program pertemuan dengan rakyat Malaysia di Washington DC, Amerika Syarikat pada Sabtu.

“Warga Malaysia mestilah merasakan bahawa mereka telah mengambil tindakan yang tepat dalam mengubah kerajaan.

“Dan pilihan itu hanya tepat apabila mereka merasakan bahawa bukan sahaja hidup lebih baik di bawah kerajaan PH berbanding BN, tetapi anak-anak mereka mempunyai masa hadapan yang lebih cerah.

“Jika kita tidak dapat membuat rakyat berfikir sedemikian rupa, kita akan menghadapi masalah,” katanya ketika berucap.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau yang diadakan Sabtu lepas, PH kalah kepada Barisan Nasional. Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut PH selepas PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih.

Kerajaan PH yang genap setahun memerintah bulan depan, mendapat kritikan ekoran gagal menyelesaikan isu kos sara hidup, gagal memenuhi janji pilihan raya serta memperkenalkan beberapa dasar yang tidak popular.

MalaysianInsight

Isnin, 15 April 2019

PIKOM SAMBUT BAIK CUKAI DIGITAL 6% YANG DIBUAT KERAJAAN PH #viralhancing

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menyokong pendirian kerajaan untuk mengenakan cukai digital sebanyak 6% ke atas penyedia perkhidmatan asing bermula 1 Jan, 2020.

Ganesh Kumar Bangah

Cukai 6% itu akan dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian diimport, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Pengerusi PIKOM, Ganesh Kumar Bangah berkata, cukai digital mewujudkan padang sama rata untuk pemain tempatan.

“Di bawah rejim cukai semasa, jualan perniagaan dikenakan cukai, bagaimanapun jualan perniagaan asing kepada pengguna tempatan, khususnya untuk barangan dan perkhidmatan digital, tidak dikenakan cukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Negara lain seperti Singapura, New Zealand, Australia, Taiwan, Norway, Afrika Selatan dan Jepun mempunyai cukai seumpama itu atau peraturan mengenai transaksi berkaitan digital yang diimport.

New Zealand, Rusia dan Norway ketika ini mengenakan cukai lebih tinggi, iaitu masing-masing 15%, 18% dan 25%.

“Sebagai perbandingan, cukai digital Malaysia sebanyak 6% boleh dianggap rendah,” kata Ganesh.

PIKOM mewakili industri ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) di Malaysia dan keahliannya terdiri lebih 1,000 syarikat yang terlibat dalam produk dan perkhidmatan ICT yang merangkumi kira-kira 80% daripada jumlah perdagangan ICT Malaysia.

FMT

PH KALAH TERUK DI RANTAU BUKAN BERMAKNA RAKYAT AKAN TOLAK PH PADA PRU AKAN DATANG KATA MENTERI #viralhancing

PULAU PINANG 14 April – Kekalahan calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam tidak bermakna majoriti rakyat menolak kepemimpinan PH.


Sambil menerima keputusan itu dengan hati terbuka, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) tersebut juga bukan satu kejutan.

Malah, beliau yang juga Timbalan Menteri Luar menambah, kekalahan itu bukan kali pertama buat PH dalam beberapa PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dalam masa sama, tegasnya, kekalahan itu tidak akan menghalang PH untuk terus menabur bakti kepada rakyat termasuk di kawasan yang tidak berpihak kepada PH.

“PH mengamalkan politik yang sihat dan sentiasa memberi pembelaan terhadap rakyat, sebab itu sama ada menang atau kalah dalam mana-mana PRK, membela nasib rakyat akan diteruskan.

“Bagaimanapun, sokongan yang diterima oleh calon BN tersebut tetap dihormati oleh PH,” katanya seperti dipetik laporan portal berita di sini hari ini.

Keputusan PRK DUN Rantau semalam menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi selepas memperoleh 10,397 undi berbanding calon PH, Dr. S. Stream (5,887 undi).

Sementara itu, dua calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin masing-masing mendapat 83 dan 79 undi. – UTUSAN ONLINE

Ahad, 14 April 2019

BERI PH 6 BULAN LAGI, NEGARA AKAN PULIH DAN RAKYAT AKAN GEMBIRA KATA DAIM #viralhancing

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran Mei tahun lalu, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.


Beliau berkata dalam tempoh itu PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

Katanya kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan semalam juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.

“Saya rasa kerajaan perlu tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan bukan sahaja tumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu. Ini rakyat perlu faham,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Darul Iman yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.

Daim berkata walaupun memahami rakyat mahu melihat perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin sesuatu isu termasuk berhubung kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan banyak masalah… fikir tentang keselamatan, hubungan luar dan pertahanan… esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat marah kerajaan juga. Nak turunkan harga barang tu memang boleh… kita buat kajian macam mana nak turunkan harga. Insyaallah tak lama lagi akan turun, saya ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil,” katanya.

Beliau turut mengaitkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam mungkin sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.

Ditanya sama ada persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan akan bertambah baik pada masa akan datang, beliau berkata ia akan berlaku sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke14 yang lalu.

“Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat. Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

BAKAL PM KE-8 IMEJNYA TERCEMAR AKIBAT KEKALAHAN PKR DI RANTAU #viralhancing

Rantau: Kekalahan yang memalukan bakal PM

Anwar hilang peluang untuk muncul sebagai pemimpin PH yang mampu mengalahkan gabungan Umno-PAS selepas DAP dan PPBM gagal di Cameron Highlands dan Semenyih.


Sebelum pilihan raya kecil (PRK) Rantau bermula, Presiden PKR Anwar Ibrahim menyeru orang ramai supaya menggunakan kemenangannya di Port Dickson sebagai ukuran untuk menentukan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) di Rantau selepas gabungan politik yang menerajui Putrajaya itu tewas dalam PRK Cameron Highlands dan Semenyih berturut-turut.

Sedihnya, bukan sahaja hasrat Anwar tidak kesampaian, malah PKR tewas di Rantau di tangan BN dengan majoriti lebih besar berbanding PPBM di Semenyih dan tanpa kehadiran Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad membantu kempen calonnya di situ.

Majoriti BN di Rantau sebanyak 4,510 undi atau 27.4% daripada jumlah pengundi yang mengundi adalah jauh lebih besar berbanding majoriti yang diperolehi olehnya di Semenyih, iaitu sekitar 1,914 undi atau 4% daripada jumlah pengundi yang mengundi.

BN melalui calonnya Mohamad Hasan mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti selesa 4,510 undi. Beliau mendapat 10,397 undi untuk menewaskan pencabar terdekat daripada PH Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi.

Lebih menyedihkan ialah prestasi yang hambar ini berlaku di DUN Rantau yang merupakan kawasan campuran yang mempunyai hampir 45% pengundi bukan Islam berbanding Semenyih yang mempunyai kira-kira 31% pengundi bukan Islam.

Di DUN Rantau, 55.5% pengundi adalah orang Melayu, 18.5% pengundi Cina dan 26% pengundi India. Manakala di DUN Semenyih pula pengundi Melayu adalah sebanyak 67%, pengundi Cina 17% dan India 14%.
Perlu diingat bahawa Anwar berkempen di Rantau seolah-olah beliau yang bertanding, bukan Streram.

Bahkan ketika berkempen, Anwar turut berjanji bahawa beliau tidak akan melupakan rakyat DUN Rantau apabila diangkat sebagai perdana menteri ke-lapan nanti.

Mengapakah janji Anwar ini gagal menarik undi kepada PH? Sudah tentu ramai pengundi yang tidak melupakan rekod PH dalam menunaikan janjinya.

Kekalahan PKR di Rantau bermakna Anwar kehilangan peluang untuk muncul dan memposisikan dirinya sebagai pemimpin PH yang mempunyai kapasiti untuk mengalahkan gabungan Umno-PAS selepas DAP dan PPBM gagal di Cameron Highlands dan Semenyih.

Kekalahan lebih buruk PKR di Rantau berbanding PPBM di Semenyih juga secara tidak langsung membawa mesej kepada para pendokong PH bahawa mereka masih memerlukan Dr Mahathir Mohamad untuk terus memimpin.

Ini kerana tiada pimpinan PH yang lebih berupaya daripadanya untuk menghadapi gabungan politik Umno-PAS.

Kekalahan PKR juga akan menyebabkan moral pendokong PH terus berada dalam keadaan negatif.

Bahkan ada yang terus terbayang betapa kedudukan Anwar menjadi goyah dengan kekalahan ini.

Sebagai contoh, sejurus selepas habisnya PRK Rantau, pengarah pilihan raya PH Aminuddin Harun terus membuat deklarasi bahawa kekalahan itu tidak akan memakan diri Anwar atau menjejaskan masa depan politik mahupun kepimpinannya.

Apakah perlunya kenyataan ini sekiranya masa depan Anwar sebagai PM sudah terjamin?

Apakah mereka risau tentang persepsi yang bakal timbul dalam PH bahawa Anwar bukan solusi untuk menghadapi gabungan Umno-PAS dalam pilihan raya umum akan datang dan mereka memerlukan orang lain?

Kemenangan hatrik BN di Rantau selepas Cameron Highlands dan Semenyih mengesahkan bahawa kerjasama antara PAS dan Umno sangat berbisa dan boleh membawa padah kepada PH.

Oleh itu, tidak perlu hairan jika _PAS terus diserang, diejek, disindir dan ditekan supaya meninggalkan kerjasama dengan Umno.

Timmy Say
Seorang jurutera semikonduktor yang membenci sikap hipokrit yang melanda masyrakat hari ini.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

KAYU KAYAN MALAYSIA BOLEH BUAT LANDASAN ECRL KATA TERESA #viralhancing

KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama berharap Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang diumumkan disambung semula, akan mengutamakan penggunaan bahan mentah tempatan dalam pelbagai aspek pembangunannya.


Menterinya, Teresa Kok Suh Sim dalam satu kenyataan hari ini berkata, terdapat banyak bahan mentah termasuk hasil getah Malaysia yang boleh dimanfaatkan bagi pembinaan landasan serta penghasilan bering seismik.

“Pada masa sama, kayu-kayan Malaysia juga sesuai untuk dijadikan sebagai rangka asas landasan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Pejabat Perdana Menteri awal hari ini bahawa projek ECRL itu akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan permeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) di Beijing.

Mengulas selanjutnya, Kok berkata menerusi perkembangan terbaru itu, kementerian berharap China akan turut membuat lebih banyak kotmimen bagi membeli komoditi Malaysia, terutamanya minyak sawit dan getah.

Ini berikutan kedudukan China yang sentiasa menjadi rakan dagang penting untuk Malaysia serta berperanan sebagai pasaran eksport ketiga terbesar bagi komoditi minyak sawit negara ini.

“Kita juga mengharapkan rundingan dua hala kedua-dua negara dapat terus diperkukuh menerusi pemeteraian perjanjian tambahan membabitkan ECRL itu,” katanya. – Bernama

Saya tidak bimbang beri keterangan kepada Polis, saya berhak bersuara kata Ramasamy

KUALA LUMPUR – Profesor Dr. P. Ramasamy hari ini hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung dua artikel yang masing-masing disia...