Khamis, 9 Mei 2019

DEKLARASI RAKYAT 2.0 : SATU JUTA TANDATANGAN MOHON PERDANA MENTERI DIPECAT #viralhancing

KUALA LUMPUR 9 Mei - Satu gerakan yang diwujudkan bagi mengumpul sejuta tandatangan untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon perkenan memecat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka dapat dicapai dalam tempoh enam bulan lagi.

Gambar - Utusan On9

Ketua Sekretariat Gerakan Rakyat Bebas, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz menjelaskan, gerakan menerusi Deklarasi Rakyat 2.0 itu dilakukan kerana Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri dilihat telah gagal memastikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenuhi janji manifesto yang dilakukan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Selain itu, Mohd. Khairul Azam malah mendakwa Dr. Mahathir telah melanggar sumpah memegang rahsia dan taat setia untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang telah diikrarkan semasa mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

“Terdapat tiga situasi di mana Dr. Mahathir telah melakukan kesalahan melanggar sumpah jawatan beliau. Kesalahan pertama dilakukan pada 29 November tahun lalu apabila Perdana Menteri telah mengelirukan Seri Paduka dengan menghantar representasi mengandungi kesilapan kenyataan untuk menubuhkan tribunal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memecat enam orang ahli SPR sedangkan faktanya mereka telah meletak jawatan.

“Kesalahan kedua pula apabila kerajaan menandatangani instrumen meratifikasi Statut Rom, 4 Mac lalu tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu di samping bertindak tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan apabila membantah proses rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor sedangkan beliau tiada kuasa langsung menentukan perkara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

270,000 PELUANG PEKERJAAN BAHARU BERJAYA DIWUJUDKAN DALAM TEMPOH LAPAN BULAN KATA MAHFUZ #viralhancing

KUALA LUMPUR - Sebanyak 270,000 peluang pekerjaan baharu berjaya diwujudkan dalam tempoh hanya lapan bulan selepas Pakatan Harapan (PH) memerintah, Dewan Negara diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah berkenaan melebihi sasaran awal kerajaan yang menganggarkan hanya dapat mewujudkan sekitar 240,000 peluang pekerjaan dalam tempoh setahun.

"Ini berdasarkan kepada data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sasaran itu dicapai bagi tempoh Julai 2018 sehingga Februari 2019," katanya pada sesi soal jawab lisan, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Sabani Mat yang mahu tahu tindakan diambil kerajaan bagi merealisasikan manifesto PH dalam mewujudkan satu juta peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, Mahfuz berkata, cabaran kerajaan hari ini bukan hanya daripada segi mencapai kuantiti yang disasarkan tetapi mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran yang boleh menawarkan gaji lebih tinggi.
"Ini yang harus kita lihat, kalau tidak nanti peluang pekerjaan itu akan diisi oleh rakyat asing. Sebab itu kerajaan sentiasa membuat galakan ke arah penghasilan 'high value job' ataupun
'knowledge workers' yang bertepatan dengan kelayakan kemahiran," katanya.
Mahfuz berkata, kerajaan juga yakin sasaran satu juta pekerjaan dalam tempoh lima tahun akan dicapai melihat kepada prestasi semasa.
Beliau berkata, kerajaan turut mengalakkan majikan menyerap perkerja latihan industri  di organisasi masing-masing. - Bernama

Rabu, 8 Mei 2019

9 MEI 19 GENAP SETAHUN PEMERINTAHAN PH, JOM KITA PAKAI BAJU HITAM #viralhancing

Untuk memperingati hari paling malang untuk rakyat Malaysia.


Esok 9 Mei 2019, iaitu genap setahun pemerintahan Kerajaan sembang kencang.

Maka apa kata kita tunjukkan protest senyap kita dengan memakai pakaian hitam.

Tidak kisah T Shirt atau kemeja asalkan ia hitam.

Kita sama-sama tunjukkan protest kita terhadap Kerajaan Haprak Sepenggal ini.

BENARKAH PH TETAP MENJADI PILIHAN RAKYAT KETIKA INI? #viralhancing

Pemahaman tentang politik sengaja mencipta masalah (tahun pertama) dan untuk diberikan segalanya macam-macam kepada rakyat bila PRU15 hampir tiba ? (tahun ke3-5).



Fasa 1

Kita ketahui bahawa setelah setahun PH memerintah, segala perkara tentang ekonomi Malaysia ibarat disengajakan menjadi teruk, hanyut serta tidak berkemampuan.

Harga barang yang melambung tinggi, peluang kerja yang tipis disamping ramai terpaksa diberhentikan kerja kerana kerajaan PH ingin berjimat.

Rakyat makin tertekan dan sangat geram dengan keadaan ini.

Dengan kerajaan sengaja membuat perkara luar norma ikut suka, sebagai contoh ingin menandatangani ICERD dan Statut Rome.

Harga sawit, getah merudum, ringgit jatuh dan saham juga jatuh, malah pelaburan semakin jauh dengan Malaysia.

Fasa 2.

Kerajaan mungkin memperbetulkan apa yang berlaku, bantuan mungkin sikit demi sedikit disalurkan untuk menjaga kembali hati rakyat, terutama orang Melayu yang kita tahu mudah lembut dengan kebaikan yang diberi.

Bantuan dikatakan akan lebih dari Kerajaan BN dahulu. Segala apa sahaja nampaknya mungkin menarik.

Malah menjaga hati orang Melayu dengan ajen-ajen kedamaian tertentu membawa perubahan positif sebenar untuk fasa menuju PRU15.

Peralihan kuasa berlaku dengan baik, Anwar akan menjadi PM ke 8.

Fasa 3 (Terakhir)

Fasa ini cukup getir, sekiranya Anwar tidak berjaya menawan hati-hati orang Melayu yang luka, tidak pasti sumbangan Mahathir ketika itu untuk membantu Anwar supaya PH kembali gah kepada rakyat.

Mungkin harga sawit getah kembali melambung, Ringgit kembali naik, pelaburan semakin menaik, rakyat sudah tidak terbeban ketika Fasa ke 3 itu dirancang dengan rapi.

Bantuan kepada rakyat digandakan, malah status Harimau Asia diakui pada ketika itu.

Maka PRU15 rakyat lembut hati menyokong PH kembali.

Target kemenangan besar diutamakan.

Kesimpulannya.

PH dalam keadaan terdesak yang strateginya salah. Sepatutnya tahun pertama pemerintahan adalah fasa menawan hati rakyat yang mengundi mereka bukan menganiaya pengundi majoriti iaitu Melayu.

Walaupun Fasa ke 2 dan 3 untuk lembutkan hati rakyat. Tidak pasti rakyat tetap akan mengundi mereka atau tidak mungkin rakyat ingin PH memerintah selepas PRU15 nanti.

Terpulang untuk majoriti rakyat. Bak kata orang buat apa percaya kalau sah menipu.

*Segala penulisan diatas adalah imiginasi penulis semata-mata ia tidak ada kena mengena dengan hidup ataupun yang mati.

Selasa, 7 Mei 2019

KDNK 2019 DIUNJUR LEBIH PERLAHAN, TETAPI PH KATA EKONOMI MALAYSIA BAK HARIMAU MENGAUM #viralhancing

Firma penyelidikan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2019 akan lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.

AmBank Research menjangkakan KDNK Malaysia antara 3.8 peratus dan 4.2 peratus pada suku pertama 2019 berban­ding 4.7 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2018.

Sumber gambar - Kapital.my

“Berdasarkan prospek data KDNK yang lemah pada suku pertama serta khabar angin bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) semasa pada 3.25 peratus, pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari bulan ini, semakin menjadi perhatian.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan bank pusat berkemungkinan akan mengekalkan kadar pada mesyuarat Mei ini, dan menurunkan kadar pada Julai,” katanya dalam nota kajian hari ini.

AmBank juga berkata, eksport dan import kekal dalam jajaran negatif untuk bulan kedua berturut-turut, dengan eksport susut 0.5 peratus tahun ke tahun pada Mac manakala import merosot 0.1 peratus, menjadikan eksport suku pertama 2019 susut 0.9 peratus.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. menjangkakan pertumbuhan KDNK terus perlahan sehingga suku kedua tahun ini pada 4.2 peratus daripada 4.4 peratus yang dianggarkan pada suku pertama 2019.

Firma itu mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2019 akan lebih perlahan pada 4.5 peratus daripada 4.7 peratus pada 2018.

“Walaupun kelembapan eko­nomi pada suku pertama 2019 sudah mula beransur-ansur surut, seperti ditunjukkan oleh kenaikan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan bagi April iaitu pada 49.4 daripada 47.2 pada Mac, walaupun kekal dalam kedudukan menguncup, ditambah dengan kenaikan Indeks Baltic Dry pada 1,011 daripada 689 pada Mac, kami mengekalkan pandangan kami bahawa prestasi perdagangan akan terus kekal suram,” kata­nya dalam nota kajian hari ini.

Menurut Kenanga IB, ini berdasarkan ketidaktentuan hasil rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan pertumbuhan ekonomi yang sederhana dalam pasaran utama global termasuk China, Kesatuan Eropah dan AS.

UtusanOnline

PENCAPAIAN TAHUN KEDUA KERAJAAN PH AKAN LEBIH HEBAT #viralhancing

Pada Khamis ini, 9 Mei, adalah ulang tahun pertama pilihan raya umum ke-14 yang bersejarah.

Umumnya, tulisan, komen, pernyataan dan analisis yang dibuat adalah terhadap prestasi kerajaan persekutuan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu berkisar pada pencapaian dan kegagalan dalam tempoh setahun ini.

Keseluruhannya ialah banyak pencapaian dibuat. Tetapi pada waktu sama ada suasana kehampaan dan kekecewaan kerana manifesto PH didakwa tidak dapat dicapai sepenuhnya.

Namun isu utama adalah ekonomi, khususnya kos hidup yang tidak menurun.



Di atas segalanya itu pula adalah usaha Barisan Nasional (BN) untuk kembali berkuasa melalui pilihan raya umum ke-15 dengan mengharapkan kerajaan PH ini hanya dapat bertahan sepenggal.

Untuk kembali berkuasa, Umno mengadakan pakatan dengan PAS atas nama bangsa Melayu dan umat Islam.

Kekuatan politik ini diperagakan melalui Himpunan Pertahan Kedaulatan Ummah yang diadakan di Jalan Tuanku Abdul Rahman 5 hari sebelum ulang tahun kerajaan PH itu.

Apa yang berlaku pada masyarakat Malaysia ini adalah polarisasi politik yang dirasakan bertambah tajam.

Lebih-lebih lagi dengan penyalahgunaan kebebasan media sosial yang gagal ditangani pihak PH.

Sedangkan ketika BN berkuasa, pihak pembangkang tidak dapat memanfaatkan media kerana ia dikawal kerajaan. Media sosial pula ketika itu belumlah seluas berkembang seperti yang ada hari ini.

Sentimen dan emosi yang berkaitan dengan kaum dan agama mudah menarik sokongan berbanding dengan idealisme dan fahaman politik moden seperti demokrasi, kedaulatan undang-undang, keadilan pilihan raya, kebebasan rakyat dan hak warga negara tanpa mengira kaum serta anutan agama.

Maknanya, adalah lebih menarik bagi banyak orang untuk bersikap populis dan mendokong kaum dan agama melebihi nilai kemanusiaan seperti keadilan dan kejujuran.

Apabila bersikap keterlaluan, seseorang boleh sanggup melanggar segala nilai idealisme moden dengan demokrasi diketepikan atas hujah kepentingan kaum dan agama adalah lebih utama.

Hinggalah seolah-olah dalam ajaran agama dan adab bangsa tidak ada nilai kebebasan, kerakyatan dan kemanusiaan.

Sebagai contoh, sikap itu boleh menganggap bahawa soal rasuah bukanlah penting berbanding dengan apa yang dilihat sebagai kedaulatan kaum.


Sedangkan kehidupan bernegara bangsa moden menuntut kedaulatan undang-undang dan masyarakat yang bebas rasuah.

Pada hari Sabtu itu, penulis menghadiri suatu sesi libat urus Jawatankuasa Pembaharian Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dengan pengamal media.

Jawatankuasa ini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi melaksanakan salah satu janji pilihan raya PH untuk melakukan pembaharuan sistem pilihan raya negara supaya adil dan demokratik.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Rashid Abdul Rahman, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mempunyai pengalaman 6 kali pilihan raya umum.

Mendengar taklimat beliau mengenai amalan pilihan raya selama ini, negara memperlihatkan dengan jelas bagaimana ia tidak mencapai tahap demokratik sewajarnya.

Dengan itu dapat disedari bahawa pada 9 Mei tahun lalu, PH yang memperoleh sokongan majoriti rakyat nyaris tidak dapat membentuk kerajaan kerana amalan pilihan raya di negara itu.

Antara apa yang berlaku pada malam itu ialah kelewatan pengumuman keputusan bagi membolehkan usaha untuk mengekalkan kuasa BN.

Walaupun usaha itu gagal tetapi amalan pilihan raya di negara itu menyediakan ruang untuk menggagalkan hak PH memerintah.

Ada negara maju yang menjadikan tindakan melambatkan pengumuman keputisan pilihan raya sebagai perbuatan jenayah.

Maka bagi menyambut ulang tahun pertama kerajaan PH, ada baiknya bagi rakyat negara ini mengetahui dan mengingati apa yang berlaku pada detik-detik selepas pilihan raya dan pembentukan pentadbiran baharu.

Dalam pada itu, perlu juga disedari bahawa sejak pilihan raya umum pertama negara ini pada tahun 1955, amalan demokrasi ini memberi kelebihan kepada parti kerajaan berbanding pembangkang.

Walaupun negara ini secara konsisten dapat mengadakan pilihan raya dan memberikan peluang pemilihan kerajaan untuk rakyat secara aman tetapi ia melalui proses cacat yang menafikan hak rakyat.

Hanya apabila wibawa kerajaan sudah begitu buruk dan muncul pula kepimpinan pembangkang yang cukup berwibawa untuk diterima oleh rakyat iaitu Dr Mahathir, proses pilihan raya yang cacat tidak dapat lagi membendung kehendak rakyat.

Para pemimpin PH terutamanya dari kalangan yang lama menentang BN tentu sedar mengenai proses cacat ini telah sentiasa menuntut reformasi pilihan raya. Maka sebab itu ia terkandung dalam manifesto PH.

Usaha reformasi pilihan raya ini pasti juga disokong oleh parti pembangkag kerana hanya dengan amalan yang bebas, adil dan licin barulah mereka berpeluang untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

Bayangkan kalau PH meneruskan amalan demokrasi cara Umno selama 61 tahun. Maka ia juga boleh berterusan memerintah untuk puluhan tahun dan tiada peluang bagi BN untuk kembali berkuasa.

Dr Mahathir sendiri yang memimpin BN selama 22 tahun tentu amat arif tentang apa dan bagaimana partinya dapat sentiasa memenangi pilihan raya umum.

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang lama seperti Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu juga tentu tahu mengenai perkara ini.

Mereka berterusan bertanding dan mengharapkan suatu keajaiban yang akan akhirnya menumbangkan BN.

Keajaiban ini muncul dengan Dr Mahathir menubuhkan PPBM dan menyertai pembangkang.

Maka Dr Mahathir memimpin PH dengan mandat untuk melakukan pembaikan, pembaharuan dan reformasi terutama terhadap institusi pemerintahan negara termasuklah amalan pilihan raya di negara ini.

Banyak langkah bagi mengukuhkan institusi negara telah dilakukan sejak hari pertama beliau menjadi ketua kerajaan.

Antaranya membanteras rasuah melalui Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Kemenangan PH pada 9 Mei 2018 adalah antaranya untuk membetulkan institusi-institusi negara, dan bukan sekadar menangani isu ekonomi.

Usaha ini adalah berbentuk jangka panjang. Bukan saja hasilnya hanya akan diperoleh pada waktu lama tetapi ia turut memerlukan komitmen keseluruhan dan berpanjangan dari ahli politik PH dengan kerjasama kakitangan awam dan sebilangan besar rakyat negara ini.

Ini bermakna usaha Dr Mahathir perlu dilanjutkan oleh penggantinya, Anwar Ibrahim dan malah juga BN dan sekutu-sekutunya jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-15.

Maknanya tidak ada patah balik bagi negara dengan perubahan ini. Jika tidak, ia menjadi hasil balik asal.

Sebab itu, ulang tahun kerajaan PH ini memerlukan penegasan semula penyokongnya untuk terus menyempurnakan apa yang telah diazamkan sebelum menang pada tahun lalu.

Dengan mengambil kira usia Dr Mahathir tahun ini – 94 tahun – dan pergolakan politik yang melibatkan sentimen kaum dan agama semakin rancak dalam 4 tahun akan datang, maka ulang tahun kedua penubuhan kerajaan PH pada 9 Mei 2020 akan lebih hebat.

Lebih-lebih lagi ia merupakan tahun yang asalnya merupakan wawasan dan sasaran Dr Mahathir untuk menjadikan Malaysia negara maju.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Sumber FMT

Isnin, 6 Mei 2019

TMJ ini 'Budak Bodoh' kata Tun M #viralhancing

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepatutnya berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai perkara-perkara di luar pengetahuannya, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Gambar sumber The Star

Walaupun Dr Mahathir tidak mengkritik Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tetapi perdana menteri tidak berselindung memberikan tegurannya kepada pewaris takhta itu.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai sultan kerana sekiranya saya mengatakan apa-apa yang tidak baik, maka ia tidak elok kerana baginda ialah seorang sultan.

"Tetapi TMJ (Tunku Ismail) ini seorang budak ... Dia ini 'budak bodoh' kerana dia tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Jadi jangan cakap, kalau kamu tidak tahu apa-apa, jangan berkata-kata," jelasnya ketika wawancara khas bersama media di Putrajaya petang ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai kenyataan Tunku Ismail bahawa perbuatan baik ayahandanya, seperti mengurniakan tanah kepada rakyat dan kerajaan, tidak ditonjolkan.


Kenyataan putera mahkota itu keluar selepas suatu laporan mengenai sebidang tanah persekutuan yang diperuntukkan untuk Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS) telah dipindah milik ke atas nama sultan.

Sultan Ibrahim sejak itu mengatakan bahawa baginda bersedia untuk menyerahkan kembali tanah itu tanpa kos.

Malaysiakini

Ahad, 5 Mei 2019

PH Penyelamat Sebenar Melayu dan Islam kata Khalid Samad #viralhancing

Pakatan Harapan (PH) muncul menjadi penyelamat kepada orang Melayu dan agama Islam sebenar selepas mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) sejak setahun yang lalu.

Gambar sumber Google

Justeru Menteri Wilayah Persekutuan, Abdul Khalid Samad tidak faham kenapa Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan di ibu negara semalam dianjurkan bagi memberi gambaran seolah-olah Melayu dan agama Islam terancam di bawah kerajaan baharu.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) mempersoalkan pihak terlibat dalam perhimpunan itu yang membisu apabila berlaku kehilangan wang daripada Tabung Haji (TH) dan FELDA yang mencecah berbilion ringgit.

“Kepentingan orang Melayu dan umat Islam yang gagal dipertahankan BN sebelum kerana kes TH dirompak tiada siapa pun bising dan sepatutnya menuntut pihak terlibat didakwa segera.

“FELDA pun milik orang Melayu juga dikhianati. Saya pun tidak faham kenapa perhimpunan itu perlu diadakan kerana selama ibadah umat Islam tidak pernah dihalang dan ceramah-ceramah di masjid dibenarkan walaupun ada yang sepatutnya tidak boleh.

“Tiba-tiba hari ini hendak selamatkan Melayu dan Islam sedangkan usaha sedang dijalankan kerajaan PH membersihkan budaya politik kotor, rasuah dan tidak amanah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas s merasmikan majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Yayasan Wilayah Persekutuan  2018 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, terpulang kepada pihak terbabit untuk berkumpul kerana kerajaan tidak akan menghalang hak mereka asalkan ia berlangsung dalam suasana aman dan dikawal oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, seramai hampir 3,500 peserta Himpunan Pertahankan Kedaulatan Islam dan Perlembagaan yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dilaporkan berhimpun di Jalan Tunku Abdul Rahman, di ibu negara, petang semalam.

Antara yang hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan peguambela yang mewakili keluarga anggota bomba yang maut akibat rusuhan ketika kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 27 November lalu, Muhammad Adib Mohd Kassim. – MalaysiaGazette

PH Tidak Akan Mungkir Janji kata Kok Wai #viralhancing

Penulis perhatikan sahaja pemimpin PH terutama DAP jadi tidak keruan bila UMNO PAS bekerjasama.

Apalah yang nak dirisaukan, kata PH tu kan kuat, hebat, tak rasuah, juara rakyat dan macam-macam pujian melambung sejak mereka berkuasa setahun yang lalu.

Gambar sumber - Malaymail

PH  Tidak Akan Mungkir Janji kata Kok Wai

SHAH ALAM: Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) akan tetap menunaikan janji manifesto meskipun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan kerana ia sebahagian daripada perjuangan pelaksanaan kata-kata.

Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, berkata segelintir pihak ketika ini memainkan persepsi, kononnya PH tidak menunaikan janji dengan memanipulasi hakikat mengenai hutang besar yang terpaksa diwarisi kerajaan.

“Perlu diakui juga bahawa janji kempen pilihan raya mudah diucapkan, kadangkala sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi mengambil kira situasi kewangan semasa negara.

“Ingin saya tegaskan, menerusi pentadbiran PH, janji tidak akan tinggal janji, ia akan tetap ditunaikan meskipun apa jua rintangan yang terpaksa dihadapi,” katanya pada ucaptama sempena Persidangan DAP 2019, di Pusat Konvensyen IDCC, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Marzuki Yahya.

Kok Wai berkata, pemimpin UMNO dan PAS terus menangguk di air yang keruh dengan mempergunakan sentimen kaum serta agama sebagai senjata, selain memainkan persepsi bahawa kerajaan PH tidak berpegang pada janji.

Bagaimanapun, katanya, pemimpin kedua-dua parti itu tidak berani untuk bercakap mengenai pembanterasan rasuah kerana ia akan dilihat seakan meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri.

“Perjuangan DAP tidak mengenal warna kulit dan agama, apatah lagi wilayah. Buktinya ialah menerusi pembentangan usul pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan status rakan kongsi Sabah serta Sarawak.

Baca Seterusnya BHonline

VIDEO MIRIP MENTERI SIRI KE 3 PULA TERSEBAR

Sudah.. Diambil dari portal MalaysiaGazzette Jadi takkan berhenti penyebaran video luar tabie mirip menteri itu?