Jumaat, 9 Ogos 2019

PH SELANGOR TIDAK BERGOLAK, SEMUANYA BAIK SAHAJA KATA MB

SHAH ALAM 8 Ogos - Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menafikan wujudnya pergolakan dalam pentadbiran kerajaan negeri seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita semalam.

Beliau berkata laporan berita yang mengatakan pergolakan tersebut disebabkan cadangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur adalah tidak tepat kerana pemimpin dalam kerajaan Selangor masih bekerja secara muafakat sebagai satu pasukan.

Gambar sumber Google

"Laporan tidak tepat malah ia tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana sehingga hari ini, pentadbiran Selangor kekal bermuafakat. (Malah) Saya sendiri masih mempengerusikan mesyuarat exco dan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).


"(Walaupun) ada beberapa perkara yang kita (pentadbiran Selangor) tidak sependapat tetapi ada banyak isu lain yang kita bersama-sama mencapai sepakat. Ia tidak menghalang kita daripada terus bersatu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MTES, di sini hari ini.

Turut dilihat meninggalkan mesyuarat berkenaan adalah kesemua empat exco bukan Islam kerajaan Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim, V. Ganabatirau, Ng Sze Han dan Hee Loy Sian.

Terdahulu, keempat-empat exco berkenaan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini kira-kira dua jam sejak pukul 11 pagi.

Difahamkan, keempat-empat exco itu menghadap Sultan Sharafuddin susulan membuat permohonan tersebut pada 25 Julai lepas bagi membincangkan beberapa perkara dan dipercayai turut melibatkan cadangan pindaan enakmen berkenaan.

Semalam, sebuah portal berit melaporkan bahawa Amirudin dijadual berjumpa dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini kerana pentadbirannya dikatakan bergolak gara-gara cadangan pindaan enakmen negeri yang akan membuka jalan kepada penukaran agama kepada Islam secara sepihak.

Mengulas mengenai cadangan pindaan enakmen berkenaan, Amirudin berkata terdapat banyak lagi proses yang perlu dilakukan dan pihaknya akan berbincang dengan lebih lanjut serta meneliti usul tersebut sebelum dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Portal berita itu turut melaporkan mengenai dakwaan penyingkiran Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim daripada jawatannya selain cubaan pihak tertentu mahu melucutkan Amirudin sebagai Menteri Besar.

Mengulas mengenai dakwaan penyingkiran Ng dikatakan kerana enggan 'memberi laluan' kepada pembentangan usul pindaan enakmen itu dengan menangguhkan sidang DUN sesi kedua tahun ini lebih awal daripada jadual, Amirudin berkata ia hanyalah khabar angin.

"Nama pun khabar angin. Saya ada banyak kerja dan perlu fokus kepada kerja saya. Biarlah khabar angin itu 'mati' seperti mana terkorbannya haiwan pada hari raya korban (Aidiladha)," katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Elizabeth Wong Kiat Ping dalam satu kenyataan menyifatkan desas-desus bahawa Amirudin sedang berhadapan undi tidak percaya hanyalah untuk mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran negeri.

Katanya, ia dilihat disebarkan oleh 'tangan-tangan ghaib' seperti mana dakwaan mengenai pemecatan Speaker DUN yang sebenarnya juga adalah satu khabar angin.

"Khabar angin tersebut hanya direka bagi tujuan mewujudkan ketegangan antara Menteri Besar dengan Speaker DUN sekali gus memecahbelahkan kesatuan Pakatan Harapan (PH) Selangor," katanya yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Selangor. - BERNAMA

ADUN ISLAM DI SELANGOR PERLU BERSATU KERANA SPEAKER DUN GUNA PINTU BELAKANG UNTUK HALANG USUL BERKAITAN PENUKARAN AGAMA BAWAH UMUR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dituduh telah menggunakan jalan belakang untuk menghalang pembentangan rang undang-undang pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama anak di bawah umur.

Gambar sumber The Sun

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ini berdasarkan tindakannya memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari.

Katanya, ini jelas menunjukkan Suee Lim menggunakan jalan belakang untuk memastikan usul itu tidak dibentang.

"Sehubungan itu saya meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang beragama Islam supaya bersatu memastikan perkara yang berkaitan dengan Islam tidak diperkotak-katikkan.

"Usul pindaan ini telah dipersetujui oleh Tuanku Sultan Selangor, Suee Lim tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa untuk menghalang usul ini daripada dibentangkan," katanya.

Usul pembentangan pindaan RUU penukaran agama kanak-kanak di bawah umur pada sidang DUN bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila Suee Lim menyingkatkan tempoh sesi persidangan itu kepada dua hari.

Suee Lim berpendapat keputusannya adalah selaras Aturan Mesyuarat, secara tidak langsung menafikan spekulasi bahawa tindakan itu sengaja dilakukan bagi mengelakkan pembentangan pindaan

Melalui pindaan itu, Selangor mencadangkan untuk membenarkan penukaran agama kanak-kanak bawah umur secara sepihak oleh salah seorang daripada ibu atau bapa mereka. - UTUSAN ONLINE

ISU REHAL YANG BAKAL DIROBOHKAN OLEH DBP, MENGAPA PENJELASAN PEROBOHAN NAMPAK TIDAK KUAT!

10 SEBAB MENGAPA PEROBOHAN STRUKTUR REHAL DBP JADI VIRAL

1. Pihak yang menjadikan perobohan struktur rehal DBP sebagai isu adalah pihak-pihak yang dikira berwibawa seperti Ku Seman Ku Hussain selaku bekas wartawan Utusan Malaysia dan Dr Ibrahim Ghaffar dari Persatuan Penulis Nasional.


2. Rehal adalah simbol Islam di mana ia ditakrifkan oleh Kamus DBP sebagai “tempat meletakkan Qur’an ketika membacanya” menyebabkan kerja merobohnya dianggap mempunyai ciri-ciri Islamofobia oleh “pihak yang fobia dengan Islam”.

3. Pemakluman perobohan struktur rehal oleh DBP pada 11 Julai 2019 sekadar menyatakan kerja perobohan telah diluluskan oleh Lembaga Pengelola DBP dan akan dibuat dari 12 Julai 2019 sehingga 17 November 2019.

4. Kenyataan media Bahagian Komunikasi Korporat DBP semalam sekadar menyatakan kerja merobohnya dibuat setelah mendapat nasihat daripada pakar JKR yang mengesahkan bahawa ia tidak lagi berada dalam keadaan yang selamat.

5. Kenyataan Facebook Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, bahawa pihak JKR mendapati bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” dibuat lewat.

6. Hujah bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” sukar diterima kerana tidak disertakan bukti kukuh dengan gambaran mata kasar menunjukkan struktur rehal itu masih kelihatan baru.

7. Hujah bahawa struktur rehal itu “sudah tidak kukuh lagi disebabkan hakisan dan karatan yang teruk” boleh ditepis dengan menanyakan kembali soalan “kenapa tidak baiki” di mana “kos (membaikinya) lebih kecil dari merobohkan semuanya”.

8. Sentimen keagamaan senang dimainkan bila arahan merobohnya dibuat oleh JKR yang berada di bawah kawalan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, yang beragama Kristian, yang ditanya mengenainya oleh Dr Ibrahim Ghaffar semalam.

9. Perasaan curiga juga timbul bila ia dikaitkan dengan kenyataan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang, pada 15 Januari 2019 dengan tajuk “DBP bukan untuk Melayu sahaja” bahawa DBP akan dijadikan inklusif kepada semua kaum.

10. Mungkin juga ini adalah serangan ke atas IKRAM kerana Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom, merupakan pengasas dan pencipta lagu IKRAM dan bekas Timbalan Presiden IKRAM yang pertama.

Facebook Kamarul Yusoff

Khamis, 8 Ogos 2019

[SELANGOR BERGOLAK] DESAS DESUS ADUN IJOK SEBAGAI MB SELANGOR YANG BAHARU BAKAL JADI KENYATAAN?

BILA BILA MASA MB SELANGOR BAKAL TERSINGKIR

Pihak yang merancang untuk menggulingkan Amirudin Shari daripada jawatan Menteri Besar Selangor mendakwa mereka sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pelan undi tidak percaya.


Menurut salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat, Amirudin ketika ini hanya memiliki sokongan sejumlah 13 ADUN PKR dan enam daripada pembangkang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbelah bahagi.

Pada masa yang sama, Dr. Idris Ahmad menjadi pilihan kumpulan berkenaan untuk menggantikan Amirudin kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu dianggap berpengalaman serta direstui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Memang benar Amirudin sedang berkrisis dengan DAP dan beliau cuba untuk menyingkirkan Speaker (Ng Suee Lim) tetapi kami melihat isunya di sini adalah Amirudin itu sendiri yang tidak berkemampuan untuk terus memimpin Selangor.

"Apa yang boleh saya beritahu, kami ada bilangan mencukupi dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga 37 ADUN, dalam PKR Amirudin hanya ada 13 sahaja," kata wakil rakyat bukan daripada PKR tersebut.

Sumber Facebook Rakyat Negaraku

TULISAN JAWI : SAYA TIDAK KATA SAYA SOKONG TULISAN JAWI UNTUK MENJADI RAKYAT MALAYSIA KATA KIT SIANG #viralhancing

KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai seseorang perlu belajar tulisan Jawi untuk menjadi rakyat Malaysia.

Gambar sumber Says.com

Katanya, beliau memberitahu pernah mempelajari tulisan Jawi sewaktu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1969, namun perkara itu tidak pernah mengurangkan identiti Cina dalam dirinya dan perkara tersebut telah disalahtafsirkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Sama seperti orang Melayu yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Cina, ia tidak menjadikan identiti keMelayuan mereka kurang di negara ini.

“Begitu juga dengan orang Cina yang tahu tulisan Jawi tidak menjadikan identiti mereka sebagai kaum Cina berkurangan. Mungkin pengambilalihan tambahan bahasa lain akan menjadikan mereka sebagai rakyat Malaysia yang lebih baik,” katanya menerusi catatan dalam laman blog beliau blog.limkitsiang.com. di sini hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang menerusi laman blognya juga memberitahu beliau sendiri pernah mempelajari Jawi namun perkara itu tidak mengurangkan identiti Cina dalam dirinya.

Dalam pada itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum, budaya, agama serta pelbagai bahasa.

“Jadi kita perlu memanfaatkan keunikan tersebut untuk membina bangsa Malaysia yang lebih baik.

“Kita juga perlu berhati-hati agar tidak masuk ke perangkap pihak-pihak yang cuba untuk membangkitkan rasa curiga antara agama, ketidakpercayaan dan kebencian dalam masyarakat untuk mendapatkan semula kuasa politik,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE

[SELANGOR PARAH] KUMPULAN MAHU GULING AMIRUDIN SUDAH CUKUP SOKONGAN KUAT MENURUT SUMBER #viralhancing

SHAH ALAM 8 Ogos - Pihak yang merancang untuk menggulingkan Amirudin Shari daripada jawatan Menteri Besar Selangor mendakwa mereka sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pelan undi tidak percaya.

Menurut salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat, Amirudin ketika ini hanya memiliki sokongan sejumlah 13 ADUN PKR dan enam daripada pembangkang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbelah bahagi.


Pada masa yang sama, Dr. Idris Ahmad menjadi pilihan kumpulan berkenaan untuk menggantikan Amirudin kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu dianggap berpengalaman serta direstui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, dua nama lain turut tersenarai sebagai calon Menteri Besar dan ia sebagai alternatif jika pihak Istana Selangor menolak Idris memandangkan ada khabar angin ADUN Ijok tersebut kurang mesra dengan Sultan Selangor.

"Memang benar Amirudin sedang berkrisis dengan DAP dan beliau cuba untuk menyingkirkan Speaker (Ng Suee Lim) tetapi kami melihat isunya di sini adalah Amirudin itu sendiri yang tidak berkemampuan untuk terus memimpin Selangor.

Gambar-UtaraNews

"Apa yang boleh saya beritahu, kami ada bilangan mencukupi dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga 37 ADUN, dalam PKR Amirudin hanya ada 13 sahaja," kata wakil rakyat bukan daripada PKR tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Politik Selangor bergolak apabila DAP melalui Suee Lim menunjukan kuasanya dengan 'mengenakan' Amirudin dalam isu usul berkaitan pemerkasaan agama Islam yang sepatutnya dibawa kerajaan negeri ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memendekkan sidang kepada cuma dua hari.

Tindak-tanduk DAP tersebut selain kerana tidak selesa dengan usul berkaitan agama Islam, ia juga dipercayai ada kaitannya dengan perancangan PKR sendiri untuk menyingkirkan Amirudin selepas Menteri Besar itu secara terbuka

mengkritik Anwar dan memilih untuk berpihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebagai rekod, PKR mempunyai 21 kerusi, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) serta Pas (1) daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor.

Dalam pada itu, ADUN yang sama memaklumkan, usaha Amirudin untuk menggagalkan undi tidak percaya terhadapnya juga sukar membuahkan hasil kerana sudah tiada lagi kepercayaan dalam kalangan majoriti wakil rakyat.

"Dia cuba berunding khususnya dengan Amanah dan Bersatu tetapi saya tidak lihat ia akan berjaya," katanya.-UTUSAN ONLINE

Rabu, 7 Ogos 2019

RAFIDAH BANTAH SECARA LANTANG KAEDAH PENGENALAN TULISAN JAWI DI SEKOLAH RENDAH MENURUT LAPORAN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Bekas ahli Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan tidak setuju dengan kaedah pelaksanaan pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah rendah yang dijadualkan bermula tahun depan.

Ketika berucap di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini, beliau dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.


"Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

"Seperti hal lain, artisitk ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah," katanya yang dipetik daripada laporan portal Malaysiakini.

Rafidah yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi juga dilaporkan berkata, beliau telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagi menyuarakan pandangannya terhadap perkara itu.

Utusan Online sedang menghubungi Rafidah bagi mendapatkan respons untuk mengesahkan laporan tersebut.

Isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidiakan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Namun pada minggu lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP. - UTUSAN ONLINE

DESAKAN KERAS MAHU MAHATHIR LETAK JAWATAN SELEPAS 9 MEI 2021 - 3 NGO

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepakat menggesa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021, genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat.

Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Mereka menerusi surat terbuka bersama kepada Dr. Mahathir menggesa Perdana Menteri dan kepemimpinan PH mengambil langkah jelas untuk membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam gabungan PH sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik negara ini dalam keadaan kucar-kacir.


"Kebimbangan kami adalah agenda pembaikan kerajaan PH yang akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.

"Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang kecenderungan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," kata ketiga-tiga NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.

Mengenai penyerahan kuasa tersebut, tiga NGO itu berkata, walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr. Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.

"Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.

"Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH," gesa kenyataan bersama itu.

Bersih 2.0, ABIM dan GBM turut mencadangkan beberapa langkah lain bagi mengembalikan kestabilan politik.

Antaranya menetapkan had penggal Perdana Menteri agar tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa Eksekutif yang dimiliki Perdana Menteri.

Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.

"Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr. Mahathir, Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.

"Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan parti," menurut mereka bersama.

Tiga NGO itu turut menasihat PH bahawa parti itu hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran. - UTUSAN ONLINE

Selasa, 6 Ogos 2019

RAMASAMY BALUN MASZLEE DAN TUN M KERANA TULISAN JAWI #viralhancing

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menjadi sasaran Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Prof. Dr. P. Ramasamy berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks di sekolah jenis kebangsaan.


Menurut Ramasamy, beliau sukar untuk mempercayai bahawa Dr. Mahathir mahu memaksa pelaksanaan pembelajaran khat tanpa memahami akibatnya dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.


Mengenai Maszlee pula, Ramasamy yang menulis di Facebook beliau hari ini berkata, tidak ada gunanya bercakap mengenai Menteri Pendidikan itu.

"Saya sukar untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri yang begitu moden dan mempunyai matlamat menjadikan Malaysia sebagai negara maju mahu memaksa penguatkuasaan pelaksanaan khat tanpa memahami akibatnya dalam masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.

"Tak ada gunanya bercakap tentang Menteri Pendidikan yang bukan sahaja merosakkan kemasukan matrikulasi tetapi telah menegur bukan Melayu kerana tidak memberikan peluang yang sama kepada orang Melayu dalam sektor swasta," tulis Ramasamy.

Ramasamy turut menyindir Maszlee yang dianggap telah hilang kredibiliti namun mempunyai keberanian untuk menyatakan bahawa khat tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan agama Islam.

Dalam hantaran tersebut Ramasamy juga berkata, cadangan memperkenalkan kaligrafi khat di sekolah tanpa sebarang perundingan dengan pihak yang berkepentingan boleh diibaratkan sebagai 'meletakkan pedati di hadapan kuda'.

https://web.facebook.com/proframasamy/posts/2401028713268707

"Isu di hadapan kita adalah kenapa kerajaan begitu bersemangat untuk melaksanakan khat tanpa konsultasi yang betul.

"Sekiranya langkah ini disepadukan dalam sukatan pelajaran sekolah rendah semasa pentabiran Barisan Nasional kenapa secara membuta tuli kini dilaksanakan. Mengapakah dasar BN yang tidak betul telah diterima secara tidak kritikal?" tanya Ramasamy.-UTUSAN ONLINE

MUNGKIN 20 TAHUN AKAN DATANG, DIJANGKA PUPUSLAH NASIB BANGSA KITA DI BUMI BERTUAH INI

Anak-anak Melayu semua dah tak kisah masa hadapan mereka kena pelangkung.

Asalkan dapat merendek dengan awek, guna duit mak bapak, duit ptptn, malah sanggup berhutang demi kepuasan hidup alam muda.

Bila isu-isu berbangkit terlihat, contoh isu kelangsungan bangsa, alasan, alah muda lagi, biarlah orang tua-tua settlekan, biarlah ayah-ayah kita settlekan.

Janji kita kena enjoy.

Sedangkan musuh sedang rancak merosakkan nasib anak muda bangsaku, mereka galak menekan hak-hak kamu sebagai pewaris tanah pusaka ini.



Malah pemimpin bernama Melayu hanya sibuk fikirkan kita nak makan sedap apa pada malam ni?

Orang miskin catu makanan kerana ekonomi tidak menentu.

Sampai bila nak sedar? Sampai bila nak buat bodoh? Bangsatlah nanti nasib anak cucu kamu bila sampai satu masa, kamu termenung, kenapa ya jadi macam ni?

Bangkitlah, bangkitlah..

SPL

Isnin, 5 Ogos 2019

TULISAN KHAT/JAWI : KERANA KERESAHAN ORANG CINA, WAN AZIZAH AKAN BERBINCANG DENGAN TUN M #viralhancing

PUTRAJAYA 5 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau akan berbincang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keresahan masyarakat Tionghua menghubung pelaksanaan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.


Menurut Wan Azizah, walaupun Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, beliau ambil maklum keresahan masyarakat Tionghua berkenaan perkara terbabit.


"Memang saya ambil maklum dan saya akan bincang dengan Perdana Menteri. Walaupun Perdana Menteri telah keluarkan kenyataan, kita akan bincang lebih mendalam. Kita memang ambil maklum keresahan orang Tionghua dalam isu ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan pertandingan video kreatif 'Hentikan! Stop it!' dan soal selidik mengenai gangguan seksual anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Pembangunan Wanita di kementerian itu di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas keresahan masyarakat Tionghua berhubung keputusan kerajaan yang tetap akan melaksanakan pengenalan tulisan khat dan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun depan.

Pendirian kerajaan itu ditegaskan oleh Perdana Menteri di sebalik bantahan pihak tertentu berhubung perkara itu.

Pada masa yang sama, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik memberitahu, kementeriannya bersedia mempertimbangkan keperluan memperkenalkan kaligrafi lain selain seni dan tulisan khat dalam kurikulum sekolah di negara ini.

Menurut Maszlee, perkara itu boleh dibincangkan secara terperinci memangdangkan negara terdiri daripada pelbagai kaum yang memiliki identiti kesenian masing-masing. - UTUSAN ONLINE

AGONG TURUN DARI KENDERAAN RASMINYA UNTUK BERTANYA KHABAR MANGSA KEMALANGAN

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sekali lagi turun dari kenderaan rasminya untuk bertanya khabar mangsa kemalangan di ibu negara.


Menerusi video Instagram Istana Negara, kelihatan Sultan Abdullah diiringi beberapa pegawainya mendekati seorang wanita, mangsa kemalangan melibatkan beberapa buah kenderaan di susur berdekatan Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim.

Selepas bertanya khabar mangsa, baginda yang dalam perjalanan ke program istana, meneruskan perjalanannya ke majlis tersebut.

“Dalam perjalanan ke Program Pameran Raja Kita di Muzium Diraja, Yang di-Pertuan Agong menuruni kenderaan rasmi gaginda untuk memeriksa keadaan dan bertanya khabar kepada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di jalan susur dari pintu utama Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul Halim.

“Baginda kemudian meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja untuk merasmikan Pameran Raja Kita. Daulat Tuanku,” menurut kiriman Instagram Istana Negara.

Setakat artikel ini ditulis, video tersebut ditonton lebih 20,000 dan menerima pelbagai komen.

Terdahulu, Sultan Abdullah pernah menghulurkan bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya.

Mangsa kemalangan yang juga dikenali sebagai Jasliza Jamil bagaimanapun tidak mengalami kecederaan yang serius.

Dalam komen menerusi Instagram, ramai yang memuji baginda dengan menyatakan “Sultan berjiwa rakyat”.

Sebelum ini, tular di media Baginda beratur membeli makanan di sebuah restoran makanan segera selepas solat jumaat di Kuantan.

FMT

BOY IMAN SERTAI PPBM, BANGGA BERSAMA TUN M #viralhancing

KUALA LUMPUR — Pelakon Boy Iman yang pernah ditahan kerana kes penipuan skim projek perumahan RM6.2 juta mendakwa dianiaya oleh seorang bekas menteri dari Barisan Nasional (BN).


Boy, atau nama sebenar Datuk Dr Norul Iman Abd Rahman, 38, berkata dirinya pernah menjadi mangsa ‘permainan jahat’ kerajaan terdahulu dan mahu membongkarkan perkara sebenar.

“Saya akan bersama dalam membongkar setiap permainan jahat yang dibuat oleh kerajaan terdahulu, kerana saya juga salah seorang “mangsa” yang dianiaya oleh salah seorang “menteri” mereka.

“Masanya akan tiba satu hari nanti,” tulisnya dalam Instagram dengan memuat naik gambar kad keahliannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Menjadi ahli sejak Mei 2017, pelakon Rumah Sewa RM50 itu berbangga menyertai parti Melayu itu kerana ketokohan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahad, 4 Ogos 2019

TULISAN JAWI : UMNO DAN PAS USAHLAH CARI MODAL POLITIK UNTUK KEPENTINGAN POLITIK PARTI MASING-MASING KATA MENTERI #viralhancing

Pemimpin UMNO dan Pas dinasihat tidak memainkan isu bantahan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah hanya untuk kepentingan politik parti masing-masing.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kerajaan lebih mengetahui apa yang ingin dilaksanakan.

"Sepatutnya isu itu dilihat secara positif dan diberikan idea bukan untuk membantah atau membangkang semata-mata," katanya pada sidang media selepas Program Dialog Rahmatan Lil Alamin Bersama NGO-NGO (Badan Bukan Kerajaan) Islam dan Komuniti di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak, di sini malam tadi.

Mujahid berkata, malangnya, pembangkang menjadikan isu itu sebagai 'modal' menghentam kerajaan PH.

"Mereka (pembangkang) ambil sahaja isu ini kemudian dikaitkan dengan Melayu dan Islam," katanya.

Malah tegas beliau, isu tulisan jawi di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan itu pernah cuba dihapuskan semasa pemerintahan UMNO.

"Bagaimanapun ia dikembalikan semula dengan pelbagai program dan inisiatif," katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan PH berusaha menghidupkan semula tulisan jawi sebagai satu warisan budaya memandangkan kemungkinan ramai generasi muda tidak pandai menulis dan mengenali huruf jawi.

"Saya melihat dalam perspektif sejarah. Saya difahamkan di sekolah pun tulisan jawi bukan wajib kerana subjek pilihan yang diambil waktu tambahan," katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan pada minggu lalu menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah bagi memupuk gaya penulisan yang indah dan menegaskan perkara itu tidak berkaitan dengan tulisan jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) membantah keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah dengan alasan langkah itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai hubungan secara langsung.

Dalam pada itu, penggunaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Merujuk bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, ia hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada dasar kemakmuran bersama dan tidak pernah menghalang penggunaan tulisan bahasa lain. SINAR ONLINE

DAP DAN MB SELANGOR DALAM KRISIS? #viralhancing

SHAH ALAM 3 Ogos - Selepas UMNO dan Pas, Dewan Pemuda Ikatan Negeri Selangor pula tampil bersuara mengenai pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) negeri yang menyaksikan wujudnya pertembungan antara Menteri Besar, Amirudin Shari dengan DAP.



Ketuanya, Aifaa Zaffan Bagauddin Abdul Aziz berkata, jika pergolakan berlaku, ia hanya mendatangkan kerugian kepada rakyat Selangor dan hukuman perlu dijatuhkan kepada kerajaan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Jelasnya, buktinya sudah berlaku apabila usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam yang sepatutnya dikemukakan Amirudin tidak dapat dilaksanakan apabila Yang Dipertua, Ng Suee Lim, yang juga wakil rakyat DAP bertindak memendekkan persidangan kepada dua hari sahaja.

“Ahli Dewan Negeri daripada PH Selangor di dalam Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Ke-14 menunjukkan ketidakbersamaan mereka dalam membawa usul pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam apabila tidak dapat diusulkan pada sidang Dewan Negeri Selangor kali ini.

“Usul tersebut sepatutnya dibawa oleh Menteri Besar Selangor. Ia tidak mendapat persetujuan daripada Speakar untuk diusulkan di dalam Dewan, sekaligus membuat undian untuk meluluskan pindaan undang-undang agama Islam berkaitan pemelukan agama Islam.

“Persoalannya kenapa usul ini tidak dapat persetujuan daripada tuan Speaker,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Selangor sedang dilanda ribut politik melibatkan Amirudin dan DAP dengan Menteri Besar itu dilaporkan kecewa dengan tindakan Suee Lim dan beliau dilihat sudah mengambil beberapa langkah susulan.

Insiden terbaharu itu, yang terjadi ketika hubungan Amirudin dengan pucuk pimpinan PKR sendiri sedang bermasalah, dipercayai memungkinkan sesuatu krisis lebih besar bakal terjadi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Aifaa Zaffan Bagauddin berkata, orang Melayu serta pengundi Selangor secara keseluruhannya harus mengambil ikhtibar dengan apa yang berlaku sekarang agar membuat keputusan secara tepat pada masa depan.

“Bayangkan hari ini seramai 50 orang Yang Berhormat daripada PH tetapi mereka masih tidak mampu untuk bersepakat dalam membawa usul penting yang sepatutnya dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

[Panas] 'Yan Ke lebih teruk tahap biadabnya lebih tinggi dari pedajal'

Isunya kurang ajar, biadab dan tiada etika, ibarat bertandang ke rumah orang, kita menari bogel pula di hadapan ruang tamu, sehingga tetamu ...