Selasa, 21 Januari 2020

Tiada sebab untuk PAS diterima masuk PH sebagai sekutu baharu kata Saifuddin

KAJANG – Tidak perlu untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa masuk Pas sebagai sekutu yang baharu.

Demikian pandangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung desas desus bahawa wujud gerakan seumpana itu, bagi membawa membawa masuk Pas dalam kerajaan, baru-baru ini.

Foto - Malay Mail

Menurut Setiausaha Agung PKR itu, tidak ada sebab dan alasan yang kukuh untuk gabungan lima parti, PKR-Bersatu-Amanah-DAP dan Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima Pas kerana PH merupakan satu gabungan yang kukuh.

“Walaupun ada idea dan percubaan untuk memasukkan Pas dalam gabungan ini, ianya mesti berasaskan kepada prinsip konsensus dan bukannya majoriti.

“Saya tengok buat masa sekarang ia kekal sebagai khabar angin politik biasa dan tidak nampak sebab dan alasan untuk PH menerima keanggotaan Pas,” katanya selepas pra pelancaran Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Program Food Bank Malaysia di Pusat Pengagihan Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang, hari ini.

Saifuddin berkata demikan ketika ditanya media mengenai dakwaan wujudnya gerakan atau rancangan untuk membawa Pas menyertai kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tiada faktor besar yang memerlukan kerajaan membuat keputusan sedemikian biarpun negara menyaksikan beberapa siri kekalahan PH pada pilihan raya kecil (PRK) lepas.

Menurutnya, kemenangan BN itu tidak dianggap pelik kerana menyifatkan kawasan dimenangi parti lawan itu sebagai kawasan kubu kuat BN.

Saifuddin turut percaya gabungan PH yang dibina atas dasar hormat dan percaya itu tidak akan mengkhianati persetujuan yang telah dicapai sebelum PH menguasai Putrajaya, dua tahun lalu.

“PH adalah gabungan yang bersandarkan kepada rasa hormat dan percaya. Ia adalah gabungan politik berdasarkan kepada pegangan itu. Sekarang PH masih bersatu dan tidak mahu menerima Pas sebagai rakan sekutu,” jelas beliau lagi.

Laporan media semalam mendakwa Pas mungkin diberi peranan dalam Putrajaya untuk menarik sokongan rakyat kepada kerajaan diterajui PH ketika ini.

Ia berdasarkan menularan sekeping gambar yang menyaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dua minggu lalu.

Dr Mahathir semalam di Langkawi menjelaskan beberapa siri pertemuan antara beliau dengan Abdul Hadi merupakan perkara biasa.

Malah beliau berkata, dirinya sentiasa terbuka dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Pas jika perkara itu memberi banyak manfaat kepada negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Komen

Berdentum!! Musa Hitam bongkar yang Anwar Ibrahim sepatutnya sudah jadi Perdana Menteri...

 Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berpendapat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya sudah menjadi Perdana Men...