Selasa, 31 Mac 2020

Sidang Parlimen bukan nak tolak k'jaan PN, jaminan Anwar kepada PM

Gesaan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memanggil sidang tergempar parlimen bagi membincangkan pakej rangsangan ekonomi wabak Covid-19 tidak ada kaitan dengan percaturan politik untuk menolak majoriti PN di Dewan Rakyat, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Beliau yang bercakap pada siaran langsung di halaman Facebooknya memberi jaminan mengenai hal ini.




"Saya telah beri jaminan kepada PM kita tak akan gunakan sidang ini untuk menolak majoriti kerajaan kalau pun dia bimbang soal majoriti ahli parlimen yang mendokong kerajaan PN.

"Kita hanya akan bahaskan dan minta penjelasan dalam beberapa isu dari PM dan menteri kewangan serta menteri-menteri lain yang sebahagiannya tidur atau asyik pamer pakaian aneh-aneh, itu soal lain.

"Tapi bila kita soal di parlimen dia wajib jawab dan kerana ia melibatkan kewangan negara ia mesti dibahaskan di parlimen dan diluluskan di parlimen," katanya.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau setuju 'Kak Kiah, diberikan bantuan, malah "minta disegerakan."

"Bukan setakat itu. Kita minta anggota parlimen kita tambah dana," katanya.


Anwar merujuk nama timangan 'Mak Cik Kiah' yang digunakan perdana menteri bagi menggambarkan bantuan terhadap golongan berpendapatan rendah B40 ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion baru-baru ini.

Isi rumah berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan akan menerima RM1,600, di mana RM1,000 akan dibayar pada bulan April dan baki pada bulan Mei.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan parlimen akan bersidang seperti dijadual pada 18 Mei depan.


Menjelaskan mengapa sidang tergempar parlimen perlu diadakan, Anwar berkata Malaysia tidak boleh diperintah oleh satu dua orang yang anggap mereka serba pandai dan serba tahu.

"Negara ini tidak boleh diperintah oleh satu dua orang yang anggap mereka serba pandai dan serba tahu," tegasnya.

Baca selanjutnya.... https://www.malaysiakini.com/news/517991?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR2sTLPvLwsDcheJma35UVMHs99TZU0IoNpokczcJ6wGiCACxDcc3FDJTxI

[Genius] PH saran k'jaan guna mekanisme e-dompet salur bantuan Covid-19

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) harus guna mekanisme e-Tunai Rakyat yang diperkenalkan pentadbiran sebelum ini untuk menyalurkan bantuan tunai Covid-19, kata sekretariat Pakatan Harapan.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad dan Ahli Parlimen DAP Tony Pua, mereka berkata ini adalah kerana mekanisme itu telah disertai lapan juta rakyat Malaysia yang layak dari kategori pendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).



"Memandangkan proses pengesahan program e-Tunai Rakyat terbukti berjaya mengenal pasti mereka yang berpendapatan RM100,000 ke bawah setahun, maka amat mudah bagi kerajaan

"Langkah ini secara langsung akan memudahkan ekosistem e-pembayaran yang digalakkan Kerajaan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan sekarang, lebih-lebih lagi kerana aspek

transaksi kewangan tanpa sentuhan yang mampu dilaksana dengan baik," kata mereka dalam kenyataan media hari ini.

Mereka berkata langkah itu akan membantu menyelesaikan isu kekurangan data untuk penerima yang layak daripada kategori M40 - terutamanya daripada kalangan yang tidak layak untuk skim Bantuan Sara Hidup sebelum ini dan mereka yang masih belum membayar cukai pendapatan.


"Proses pengeluaran bantuan di atas daripada LHDN akan menyusahkan ramai pihak. Ia juga akan menjadi beban kepada pejabat LHDN seluruh negara yang memproses pengeluaran ini.

"Akibatnya, bantuan ini mungkin lewat diterima berbanding jangka masa yang sepatutnya," katanya.

Tambah mereka lagi, untuk memudahkan proses e-dompet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga perlu melantik Khazanah Nasional bagi membantu kerajaan mengagih bantuan bagi kumpulan M40 melalui aplikasi e-dompet, memandangkan kejayaan Khazanah Nasional melaksana program e-Tunai Rakyat sebelum ini.


Pakatan Harapan juga bersedia bekerjasama dengan Kerajaan untuk menawarkan idea, pengalaman dan kepakaran dari kalangan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan demi membantu memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

"PH juga bersedia bekerjasama dengan kerajaan untuk menawarkan idea, pengalaman dan kepakaran dari kalangan ahli-ahli parlimen PH demi membantu memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara," kata kenyataan itu lagi.


Jumaat lalu, Muhyiddin mengumumkan pelan rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion yang menjanjikan bantuan untuk rakyat Malaysia yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Kementerian Kewangan berkata separuh bantuan akan dikeluarkan pada akhir bulan April - selepas tamatnya perintah kawalan pergerakan pada 14 April - manakala separuh lagi akan disalurkan pada bulan Mei.


Bagaimanapun, pelbagai pemimpin termasuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak menggesa kerajaan supaya mempercepat pengagihan bantuan.

https://www.malaysiakini.com/news/517782

[Panas] SPRM buka siasatan kes tunai ‘meragukan’ bekas menteri

SPRM hari ini memaklumkan bahawa suruhanjaya itu telah membuka satu kertas siasatan berhubung seorang bekas menteri yang didakwa memiliki sejumlah wang tunai yang "meragukan”.

“SPRM telah menerima aduan berhubung pemilikan sejumlah besar wang tunai yang meragukan dipercayai milik seorang bekas menteri seperti dilaporkan oleh media semalam.



“Berdasarkan aduan itu, SPRM telah membuka satu kertas siasatan bagi menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut di bawah Akta SPRM 2009,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Apabila dihubungi Malaysiakini, pengarah siasatan SPRM Ahmad Khusairi Yahaya berkata, pihaknya menjangkakan suruhanjaya itu akan merakamkan kenyataan bekas menteri itu minggu depan.

mengenai sumber wang tunai yang besar dalam simpanan menteri itu.

"Berikutan laporan ini, kita telah membuka satu kertas siasatan dan akan merakamkan kenyataan daripada bekas menteri itu pada minggu depan.

"Pertama sekali, kita akan memintanya untuk mendedahkan sumber wang itu," katanya.


Bagaimanapun, disebabkan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19, Khusairi berkata mereka akan menghantar sebilangan kecil anggota untuk merakamkan kenyataan itu.

Walaupun SPRM tidak menyebut sebarang nama, namun adalah jelas ia merujuk kepada bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.

https://www.malaysiakini.com/news/517863

Jumaat, 27 Mac 2020

Pakej rangsangan RM250 bilion bagus, tapi mahu bahas di Parlimen kata Anwar

GEORGE TOWN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim gembira dengan pakej rangsangan ekonomi terbaru berjumlah RM250 bilion untuk memerangi Covid-19, tetapi mahu ia diperhalusi di Parlimen.

Beliau berkata, ini bagi memastikan tiada kerugian atau ketirisan dan dana untuk golongan memerlukan itu diuruskan “orang jujur” yang mempunyai rekod bersih.



Katanya, di negara maju, pakej rangsangan ekonomi dibentangkan di Parlimen supaya ia dipantau, termasuk membincangkan bagaimana dana itu akan diperolehi dan hutang dilangsaikan.

“Persoalannya adakah wang itu akan sampai (kepada rakyat yang memerlukannya)? Adakah pembaziran atau ketirisan atau rompakan kecil-kecilan akan berlaku?

“Dana itu tidak patut dikendalikan ahli politik atau mereka yang mempunyai rekod buruk,” kata bekas menteri kewangan itu dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.


Anwar memuji pakej rangsangan yang menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan sebanyak RM1 bilion dan insentif lain untuk petugas barisan depan seperti petugas kesihatan dan pasukan keselamatan.

Beliau berkata, ramai yang kecewa dengan secebis pakej rangsangan terdahulu yang disifatkannya dirangka secara tergesa-gesa dan tidak meliputi semua aspek.


Anwar berkata moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman juga dialu-alukan tetapi merasakan pembayaran kadar faedah tertangguh boleh dihapuskan.

“Bayangkan perniagaan yang mengalami kerugian. Selepas 6 bulan, mereka perlu membayar tunggakan pinjaman dengan faedah tambahan. Bank Negara mesti melakukan sesuatu untuk menghapuskan faedah dalam tempoh ini.”


Petang tadi, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat bagi mengurangkan kesan Covid-19 yang jumlahnya 10 kali ganda lebih banyak berbanding RM20 bilion yang disediakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bulan lalu.

Pakej terbaru itu terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi perniagaan dan PKS serta RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/27/anwar-puji-pakej-rangsangan-rm250-bilion-tapi-mahu-bahas-di-parlimen/

[Mulianya] Mujahid keluar simpanan RM50,000 bantu penduduk Parit Buntar

Anggota Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof memperuntukan gaji dan wang simpanannya sebanyak RM50,000 kepada penduduk miskin yang terputus bekalan makanan di kawasan parlimennya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).


Bekas menteri agama berkata, wang tersebut akan diberi kepada peniaga kecil, nelayan miskin pesisir pantai yang terputus bekalan makanan ekoran pandemik Covid-19 serta petugas barisan hadapan yang sedang berkhidmat.



“Segala peruntukan bagi membantu mereka yang memerlukan ini telah bermula sejak 23 Mac lalu dan akan diteruskan sehingga 14 April depan.


“Bekalan keperluan asas makanan seperti beras akan disalurkan melalui wakil Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan akan diagihkan ke kawasan bandar, separa bandar dan kampung-kampung.


“Kita mensasarkan 2,000 keluarga yang akan menerima bantuan keperluan asas ini. Semoga ia membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” kata Mujahid dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merayu bantuan kepada pusat khidmatnya dengan menghubungi talian 05-7166 520 (pejabat).

https://www.malaysiakini.com/news/517219

Khamis, 26 Mac 2020

[Hebat] Kerajaan kena berani guna seluruh dana bantu rakyat terlibat Covid-19

KUALA LUMPUR – Presiden PKR mahu kerajaan lebih berani menggunakan seluruh dana yang ada bagi mengenalpasti keperluan semua lingkungan yang terkesan dengan Covid-19.


Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak satu langkah tegas dan mahu kelompok berpendapatan rendah seperti nelayan, petani peniaga kecil turut diliputi.





Beliau juga menyelar langkah kerajaan membenarkan orang ramai mengeluarkan wang sendiri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan mempertaruhkan risiko masa depan mereka.

“Rangsangan ekonomi mesti, mesti, mesti dan segera tampung golongan susah miskin hari ini seperti petani nelayan dan pekebun,” ujarnya dalam rakaman di media sosialnya hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkembangan Covid-19 termasuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Bagaimanapun Anwar bersetuju dengan pelanjutan PKP dan mahu rakyat mematuhi demi kebaikan bersama.- MalaysiaGazette

KDN perlu beri kelonggaran pendatang asing jalani saringan ujian Covid-19

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri disarankan supaya memberi kelonggaran kepada pendatang asing atau pekerja asing tanpa dokumen di negara ini untuk membuar ujian saringan Covid-19.

Ahli seumur hidup DAP, Datuk Zaid Ibrahim berkata, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu memikirkan langkah itu segera



“Harap Menteri Dalam Negeri memberi amnesty dan kelonggaran kepada pendatang atau pekerja asing Tanpa Dokumen; supaya mereka keluar dan buat testing Covid19,” katanya dalam akaun Twitter.

Beliau nberkata, kerajaan akan berdepan masalah dan kesukaran untuk membuat saringan ke atas pekerja atau pendatang asing tanpa dokumen.


Katany,a ia berkemungkinan golongan itu takut untuk tampil ke hadapan memberi kerjasama untuk menjalani ujian Covid-19 untuk mencegah penularan pandemik maut itu.

“Susah kita kalau mereka (pendatang asing) takut untuk bekerjasama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Rabu, 25 Mac 2020

[Hebat] PH cadang bantuan RM2,000 untuk B40

Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya kerajaan memberikan bantuan tunai kepada penerima Bantuan Sara Hidup (B40) sebanyak RM1,000 sebulan bagi Mac dan April.

Majlis Setiausaha PH berkata, bantuan itu sebagai langkah tambahan dalam meringankan beban mereka susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).


PH berkata meskipun Bank Negara mengumumkan penangguhan enam bulan bayaran pinjaman bank, langkah tersebut tidak cukup dalam membantu segelintir rakyat seperti golongan yang menyewa rumah atau peniaga kecil.


“Ini akan menjadi relevan untuk mengekalkan mereka yang berada di sektor tidak formal atau tiada pendapatan tetap yang merupakan segmen besar tenaga kerja negara.



“Malah, mereka yang mempunyai pendapatan tetap di sektor formal turut terkesan, tetapi keadaan lebih buruk bagi mereka yang berada di sektor tidak formal.

“Nasib mereka harus segera ditangani untuk mengelakkan masalah kelaparan di kalangan orang ramai serta kegelisahan sosial,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan wakil pemimpin kanan PKR, Amanah dan DAP, iaitu Saifuddin Nasution, Hatta Ramli dan Liew Chin Tong.

Antara cadangan lain sebagai tindakan tambahan ialah kemudahan tunai buat Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan rangsangan tambahan hampir RM150 bilion.

Menurutnya, jumlah peruntukan tersebut dapat meredakan aliran tunai bagi perniagaan kecil.

“Ini akan memastikan PKS dapat mengekalkan tenaga kerja mereka dan terus hidup selagi keadaan ekonomi yang mencabar kekal,” katanya.

Pakej ransangan RM150 bilion

Katanya, memandangkan terdapat kajian yang menjangkakan anggaran jumlah kerugian pendapatan isi rumah berikutan krisis tersebut pada tahap RM95 bilion, maka dilihat beberapa langkah diumumkan dalam pakej pertama tidak dapat mencapai kerberkesanan dalam tempoh PKP.

“Kami mencadangkan pakej rangsangan tambahan yang lebih besar, supaya jumlahnya menghampiri RM 150 bilion, atau 10 peratus KDNK tahunan Malaysia.

“Di peringkat antarabangsa, negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Jerman mengamalkan anggaran yang sama, dan melaksanakan pakej rangsangan fiskal sekitar 10 peratus KDNK mereka,” katanya.

Manakala, cadangan lain merupakan moratorium bagi bil utiliti terkumpul selama enam bulan yang melibatkan perkhidmatan utiliti seperti Tenaga Nasional, Telekom Malaysia dan syarikat telekomunikasi.

“Mereka juga harus membenarkan pembayaran balik secara ansuran selepas tempoh enam bulan tersebut.

“Langkah ini akan membantu isi rumah dan perniagaan menumpukan usaha pada waktu PKP ini dan seterusnya jangkamasa pemulihan dalam tempoh enam bulan.

“Tindakan segera dan berani diperlukan untuk menangani waktu yang luar biasa ini,” katanya.

Kerajaan telah melaksanakan perintah kawalan pergerakan bermula 18 Mac hingga 30 Mac ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perintah itu antara lain mewajibkan penutupan kebanyakan premis perniagaan, sekolah dan institut pengajian tinggi, serta premis kerajaan dan swasta melainkan

perkhidmatan penting, yang secara tidak langsung menjejaskan kewangan banyak pihak.

https://www.malaysiakini.com/news/516753

[Panas] Salahuddin bimbang kesan PKP dilanjutkan pada golongan gaji harian

Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub menyuarakan kebimbangan terhadap golongan yang bersandarkan gaji harian, susulan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan hari ini.

Salahuddin berkata beliau menerima banyak aduan daripada golongan tersebut yang terjejas sepanjang fasa pertama PKP.



"Sebagai wakil rakyat, kami telah membantu dengan sebaik mungkin termasuk menggunakan baki bantuan yang ada untuk memberikan bekalan makanan kepada mereka yang sangat memerlukan semasa PKP.


"Tetapi walaupun belum sampai 31 Mac atau fasa pertama PKP, saya telah menerima banyak aduan daripada mereka yang hanya bersandarkan gaji harian atau mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau berkata golongan itu termasuklah mereka dalam bidang pertanian seperti petani, nelayan, penternak serta peniaga kecil.

Hari ini Muhyiddin mengumumkan PKP akan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Pengumuman itu selepas taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara yang menunjukkan kes positif Covid-19 yang baru masih berlaku.


Salahuddin yang merupakan timbalan presiden Amanah menggesa agar Muhyiddin meneliti keadaan golongan itu, yang disifatkan sebagai paling berisiko terjejas, dan merangka satu "pelan operasi khas" bagi membantu mereka.

"Adakah kerajaan mempunyai pangkalan data yang lengkap dengan senarai mereka yang benar-benar fakir dan miskin serta mereka yang mengharapkan gaji harian dan tidak mempunyai simpanan?

"Saya sangat bimbang golongan ini akan menghadapi ancaman kebuluran jika tidak ditangani secara tuntas," katanya lagi.

Dalam pengumuman hari ini, Muhyiddin memberi jaminan bahawa bekalan makanan sudah cukup untuk semua orang bagi mengharungi tempoh PKP ini.

Beliau juga berkata satu pakej rangsangan baru akan diumumkan bagi merancakkan ekonomi negara yang menurutnya tidak akan mengabaikan mana-mana golongan.

https://www.malaysiakini.com/news/516780

[Wabak Covid19] 1 lagi kematian Covid19 pagi ini menjadikan 17 orang meninggal dunia

PETALING JAYA: Seorang lagi warga Malaysia meninggal dunia hari ini dalam kes berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak koronavirus itu 17 orang setakat ini.

Mangsa berusia 66 tahun itu, kes jangkitan ke-1251 dengan latarbelakang beberapa penyakit kronik, menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac.




Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, keadaannya kritikal semasa tiba di jabatan kecemasan dan memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama. Dia disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari sehingga beliau disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 4.10 pagi,” katanya di Facebook.

[#Global] Warga AS individu pertama disuntik vaksin percubaan Covid-19

PETALING JAYA: Seorang wanita dari Seattle, Amerika Syarikat (AS) menawarkan diri menjadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19 dikenali sebagai RNA-1273, lapor Al Jazeera.

Jennifer Haller dilaporkan menawarkan diri selepas saintis mencari sukarelawan untuk menjalani ujian klinikal bagi memastikan keberkesanan vaksin itu.




“Semua pihak rasa tidak berdaya sekarang.

“Saya menyedari saya boleh lakukan sesuatu untuk membantu, dan saya teruja berada di sini,” katanya yang menjadi sukarelawan untuk percubaan fasa 1 yang bermula Isnin lalu di pusat kajian Kaiser Permanente di Seattle.


Suntikan yang diterima Haller dibangunkan syarikat bio teknologi berpangkalan di Boston, Moderna Inc.

Vaksin itu tidak menggunakan sebarang bentuk virus yang hidup atau lemah. Berikutan itu, Heller mungkin tidak akan dijangkiti COvid-19 namun, tidak bermakna ia tidak memberi sebarang risiko.

Seramai 4 pesakit disuntik dengan vaksin terbabit.

Heller berkata, suntikan itu menyebabkan lengannya sakit, namun tiada sebarang kesan sampingan.


Sukarelawan akan menerima 2 dos vaksin dalam tempoh 28 hari dan akan dipantau selama 14 bulan dengan ujian darah berkala untuk mengetahui sama ada vaksin itu mengaktifkan sistem imunisasi.

Menurut laporan, vaksin biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan sebelum dipasarkan kepada umum. Saintis biasanya menjalankan pelbagai ujian ke atas haiwan bagi memastikan vaksin terbabit bukan sahaja berkesan tetapi selamat.

Namun peningkatan mendadak jumlah kematian sebanyak 16,558 di seluruh dunia setakat ini, saintis merasakan mereka perlu segera menghasilkan vaksin bagi menghentikan penularan Covid-19.


Ketika China dan AS berlumba-lumba untuk menjadi pengeluar vaksin pertama Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan sekurang-kurangnya vaksin 20 Covid-19 dibangunkan di seluruh dunia bagi menghentikan penularan wabak itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/24/warga-as-individu-pertama-disuntik-vaksin-percubaan-covid-19/

Selasa, 24 Mac 2020

'Bukan masa untuk kedekut, beri setiap keluarga RM1,500 sebulan'

Pemuda Amanah mencadangkan supaya kerajaan memberikan bantuan RM1,500 sebulan kepada setiap isi keluarga, memandangkan terdapat ramai yang pendapatan mereka terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.




Menurut timbalan ketuanya Shazni Munir Mohd Ithin, RM1,500 tersebut adalah jumlah minimum yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan jarak dekat dan bil utiliti.


“Seperti yang ditegaskan oleh pakar ekonomi, ini bukan masa untuk kedekut kerana kos kemelesetan dan ketiadaan punca pendapatan adalah lebih besar lagi.

“Kerajaan boleh pertimbang untuk dibuat agihan semula Belanjawan 2020 dan meletakkan prioriti belanja di sektor kritikal ketika ini.


“Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan keluar belanja kementerian yang tidak utama kepada kementerian paling kritikal iaitu kementerian kesihatan dan juga kepada sektor-sektor penting yang dapat membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Shazni juga mengingatkan supaya kerajaan tidak melupakan mereka yang berada dalam kumpulan ekonomi gig seperti pemandu e-hailing, pekerja sendiri (freelancer) dan mereka yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan di kaki lima.

Menurutnya, fokus kerajaan juga perlu diberikan kepada mereka tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tidak layak memohon Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).


“Kumpulan ‘gig economy’ seperti pemandu e-hailing misalnya, adakah berbaloi risiko yang perlu ditanggung penunggang Food Panda walaupun penghantaran makanan masih dibenarkan ketika ini?


“Itu tidak termasuk peniaga kecil-kecilan di kaki lima jalan serta di pasar-pasar malam. Ibarat telah jatuh ditimpa tangga, sekiranya tiada suntikan langsung daripada kerajaan dalam beberapa minggu ke depan, keadaan yang telah sedia buruk pastinya akan lebih menyukarkan kehidupan sehari-hari,” katanya.

Malaysiakini

Isnin, 23 Mac 2020

Usah salah guna alasan agama, nanti imej Islam tercalar kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak menggunakan agama sebagai alasan untuk tidak takut kepada virus Covid-19.



Hal itu kerana, katanya, kenyataan sedemikian rupa secara tidak langsung memberikan imej negatif kepada Islam.

Justeru, menurut Anwar, adalah lebih baik sekiranya orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa supaya mereka berada di dalam rumah saja.

“Negara China dapat mengawal (penularan wabak Covid-19) kerana hampir menutup seluruh pergerakan beberapa wilayah yang melibatkan beberapa juta manusia.


“Kita tidak sampai ke situ, tetapi harus patuh kerana apa yang diajar dalam Islam, apa yang diajar dalam solat, itu disiplin asas.
“Kita akur, jangan kita gunakan alasan-alasan agama yang cetek, yang mengatakan memadai doa sebagai seorang Muslim dan tidak perlu - umpamanya - takut kepada virus.


“Kita tak persoal takut kepada Allah, Allah minta kita ikhtiar dan antara ikhtiar ialah menyelamatkan diri, keluarga dan jangan bebankan orang lain,” katanya dalam tazkirah sempena Israk Mikraj melalui siaran langsung di Facebook beliau malam ini.

Beliau turut menceritakan sejarah mengenai taun yang pernah berlaku pada zaman silam dan Islam melarang berkunjung di kawasan yang dilanda wabak itu bagi membendung penularannya.

Dua kematian diumum hari ini

“Tapi tanpa maqasid syariah dan pengalaman, masing-masing (warganet) keluarkan fatwa mereka (sehingga) jadi porak-peranda masyarakat.


“Dan sekarang ni terpalit (menjejaskan) dengan banyak orang dan imej agama itu juga mungkin menjadi negatif.

“Padahal dakwah, tabligh, itu istilah-istilah yang positif tapi menjadi negatif kerana tindakan segolongan kecil,” katanya.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 123 kes baru yang dilaporkan hari ini, sebanyak 74 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh yang berlangsung di Masjid Jamek Seri Petaling, di Kulala Lumpur pada hujung bulan lalu.


Beliau juga berkata kementerian terbabit mengesan 11,000 daripada 14,500 peserta tempatan perhimpunan tabligh itu dan hampir 6,700 daripadanya sudah mengambil ujian saringan.

Pada masa sama, Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson turut menceritakan terdapat tazkirah yang pernah dihadirinya sebelum ini menyatakan supaya tidak perlu takut kepada koronavirus, sebaliknya hanya perlu membaca potongan ayat al-Quran dan sapu ke muka.

Anwar bagaimanapun berkata memang doa menjadi antara senjata umat Islam dan menggalakkan supaya orang ramai menggunakan ruang yang ada bersama keluarga di rumah ketika ini untuk memohon doa supaya terhindar daripada wabak tersebut tanpa mengabaikan langkah pencegahan.


KKM hari ini mengumumkan dua kematian terbaru akibat Covid-19, membawa jumlah kematian di Malaysia kepada 10 orang.
Sebanyak 123 kes disahkan positif direkodkan setakat 12 tengah hari tadi.

https://m.malaysiakini.com/news/516140?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook

Sabtu, 21 Mac 2020

Tiada ruang kepada menteri jadi bahan jenaka, (PH) sedia meminjamkan bekas Menteri Kesihatan kata Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Semua rakyat perlu bersatu dalam mengatasi wabak Covid-19 dan seharusnya tidak ada ruang diberikan kepada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan dan dijadikan sebagai bahan jenaka.

Itu kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Adham Baba bahawa meminum air suam dapat menghalang seseorang daripada dijangkiti Covid-19.


“Usaha Dr. Amalina Bakri yang kini berada di UK membongkar nasihat tidak berasas diberikan menteri kesihatan untuk meminum air suam bagi melawan penularan wabak ini haruslah dipuji.

“Tambahan lagi, mitos ini telahpun dibongkarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Kit Siang percaya Pakatan Harapan (PH) sedia meminjamkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad kepada kerajaan sekarang bagi membantu menangani pandemik merbahaya itu.


Beliau percaya Majlis Presiden PH sedia menimbangkan permintaan ini sebaik mungkin, bagi memastikan Dzulkefly dapat berkhidmat demi negara dalam memimpin usaha mengatasi wabak Covid-19.

“Ini adalah masanya untuk bersikap profesional dan serius bagi menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sementara itu, Kit Siang jugamelihat pihak tentera tidak diperlukan dalam usaha rakyat Malaysia mengatasi wabak Covid-19.


Baginya, perkhidmatan tentera dalam aspek perubatan dan kesihatan merupakan satu keperluan, namun bukannya untuk tujuan rondaan.

“Angkatan tentera kita mempunyai pelbagai kebolehan, dengan Kor Perubatan, Kejuruteraan, Unit CBRNe (bahan letupan kimia, biologikal radioaktif, dan nuklear) yang boleh digembleng dalam usaha memerangi wabak ini.


“Perkhidmatan profesional seperti menyediakan katil dan wad tambahan di hospital tentera untuk membantu hospital tempatan, pergerakan untuk membina struktur sementara untuk kegunaan kecemasan dan kerja-kerja pembasmian adalah bertepatan, tetapi tidak ada keperluan untuk tujuan rondaan,” katanya.- MalaysiaGazette

Sah Anwar sudah pasang 'signal' ajak bertelagah dengan Mahathir, siapa bakal menang?

“MAHATHIR PENIPU, SAYA SEKARANG TIDAK LAGI PERCAYA MAHATHIR”: DATUK SERI ANWAR

Mengejutkan sekali bila Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Presiden PKR, secara terbuka menghentam teruk Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam wawancara beliau dengan wartawan CNBC, Martin Soong, semalam.



Paling besar implikasinya ialah bila Datuk Seri Anwar kini mendakwa Tun Dr Mahathir memungkiri janji dan mengaku beliau sekarang sudah tidak lagi percaya kepada Tun Dr Mahathir.


Soalnya ialah bagaimanakah Pakatan Harapan akan masih boleh bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir bila Datuk Seri Anwar, yang merupakan Presiden Pakatan Harapan, sudah tidak lagi percaya kepada Tun Dr Mahathir?

INI ADALAH HENTAMAN BALAS DATUK SERI ANWAR IBRAHIM TERHADAP TUN DR MAHATHIR MOHAMAD DALAM WAWANCARA BELIAU DENGAN CNBC



(1) “Mahathir akan terus menyanggah diri sendiri” (“Mahathir would continue to contradict himself”).

(2) “Mahathir buat janji dan memungkirinya” (“Mahathir makes promises and reneges on them”).

(3) “Saya sekarang tidak lagi percaya Mahathir” (“I now no longer believe Mahathir”).

(4) “Saya ingat Mahathir jujur” (“I thought Mahathir was sincere”).

(5) “Saya terima Mahathir berdasar gambaran luaran” (“I took Mahathir at face value”).

(6) “Saya ingat Mahathir berubah dengan usia, dengan kebijaksanaan” (“I thought Mahathir changes with age, with wisdom”).


(7) “Saya mohon maaf (kepada para penyokong saya)” (“I apologise (to my supporters)”).

(8) “Saya silap (dalam menilai Mahathir)” (“I was wrong (in assessing Mahathir)”).

INI ADALAH TRANSKRIPSI WAWANCARA DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DENGAN CNBC YANG MENGANDUNGI HENTAMAN BALAS BELIAU TERHADAP TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Martin Soong: “Tun Mahathir Mohamad, nobody rules him out yet, he came out just recently with a statement, and this is not the first time he said it, saying that the problem in his mind was that yourself, Datuk Seri Anwar, you were too impatient to take over as the Prime Minister of Malaysia. Is that true? Is that fair?” 

Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Never mind. Mahathir would continue to contradict himself, and makes promises and reneges on them, so I don’t think it is fair for me to say more. But what is important is everybody knows that I have waited for 21 years, I mean, an impatient man wouldn’t have waited that much. Number two, I have given him the opportunity the latitude to govern without interference, right. Number three, he questioned my role in trying to get all the races together. I am a Malaysian, I am a Malay Muslim, the majority is of course Malay Muslims, but my Chinese, Indian, Iban and Dayak friends are part of my family in Malaysia. And you don’t tell me after 62 years of independence that I don’t need a multiracial party.”


Martin Soong: “One of these questions that I always wondering myself over these years is whether or not you actually believed Tun Mahathir Mohamad’s promise to hand over power to you to allow you to become a Prime Minister eventually? Do you still believe him?”

Datuk Seri Anwar Ibrahim: “Well, not now. But then I thought when he came, he was, he seemed to be quite sincere, came to see me when I was in prison, in the courthouse, and appealed for my support and said, “Look, Anwar, we have to work together” and made promises in private, in public, signed documents. What else? I mean I am just a human and I take people at face value and I think people do change with age, with wisdom, but I am not necessarily right always and in this particular case I apologise. I was wrong. No regrets.”


INI ADALAH RAKAMAN PENUH WAWANCARA DATUK SERI ANWAR IBRAHIM DENGAN CNBC YANG MENGANDUNGI HENTAMAN BALAS BELIAU TERHADAP TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

https://www.youtube.com/watch?v=HaDswaoBT7A

Facebook @Kamarul Yusoff

Jumaat, 20 Mac 2020

'Raja Bomoh' kembali, dakwa pagar dunia dari Covid-19

Setelah sekian lama menyepi, Ibrahim Mat Zin atau gelarannya "Raja Bomoh" membuat kemunculan semula di saat dunia menghadapi penularan wabak Covid-19.

Menerusi perkongsian video yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Melaka semalam, dia mendakwa telah memagar seluruh dunia, khususnya Malaysia, daripada wabak tersebut selepas diminta berbuat demikian, selain rasa tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.




"Rakan-rakan bomoh dari seluruh dunia telah meminta saya untuk memulihkan wabak Koronavirus yang bermula di China dan kini telah masuk ke Malaysia.


"Kita akan cuba daya usaha kita dengan menggunakan globe atau peta dunia ini, kita akan tepung tawar dan renjiskan...Tujuan kita memagar seluruh Malaysia adalah untuk menyelamatkan 32 juta rakyat Malaysia yang berbilang kaum," katanya dalam rakaman itu.


Ibrahim memang dikenali dengan pelbagai aksi aneh, dan untuk upacara "memagar" kali ini, dia antara lain menggunakan teleskop milik moyangnya - yang didakwa sebagai seorang bomoh - beras kunyit serta daun pandan.

Setakat ini video itu telah ditonton sebanyak 118 ribu kali dengan lebih 1000 kongsian.

Menerusi rakaman itu, Ibrahim turut menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kawalan pergerakan serta mengamalkan langkah pencegahan sepatutnya seperti membasuh tangan.


"Saya berasa sedih sekali melihat Muhyiddin Yassin yang baru saja beberapa minggu menjadi perdana menteri telah dilanggar gelora masalah sakit yang terkena kepada rakyat Malaysia.

"Jadi, saya berharap semua kita jangan keluar dari rumah kerana sakit ini belum ada penawarnya. Ini penawar (jampi) sahaja," katanya sebelum memulakan upacara "memagar" tersebut.



Dia turut mendoakan, serta menggesa orang ramai untuk turut berdoa, agar wabak Covid-19 dapat ditangani secepat mungkin.

Ibrahim mula menjadi perhatian umum di saat kehilangan kapal terbang MH730 pada 2014, dengan melakukan ritual di KLIA Sepang untuk membantu mengesan kapal terbang itu dengan menggunakan buah kelapa dan buluh yang dijadikan "teropong".


Pada 2017 pula, ketika hangat isu pembunuhan abang pemimpin Korea Utara iaitu Kim Jong Nam, dia sekali lagi membuat kejutan dengan membuat ritual di beberapa lokasi menggunakan buah kelapa, buluh, dan lima meriam buluh, untuk melindungi negara daripada dakwaan serangan nuklear oleh Korea Utara. https://www.malaysiakini.com/news/515788

[Wabak Covid19] Tak masuk akal' kerah tentera mulai Ahad - Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengerahkan tentera mulai Ahad ini sebagai 'tidak masuk akal' (absurd).

"Bagi saya, ini sebenarnya tidak masuk akal untuk mengerahkan tentera pada waktu polis masih boleh mengawal keadaan," kata Anwar kepada CNBC hari ini.



Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau keadaan susulan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Awal hari ini, polis menyuraikan kehadiran ramai pelanggan di pasar basah di Seksyen 17, Petaling Jaya.


Jabatan Pengangkutan Jalan juga menutup kaunternya selepas dikerumuni orang ramai.

Anwar berkata PH akan menyokong kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

"Kami bersama dengan kerajaan dalam semua usaha untuk menangani isu ini," jelasnya.

Bagaimanapun, kata Anwar kerajaan kekurangan perancangan yang jelas dan koheren dalam mengendalikan wabak Covid-19.


Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk menjaga kebajikan golongan miskin dan memastikan nasib mereka terbela sepanjang tempoh dua minggu perintah kawalan pergerakan dua.

Anwar juga mengkritik kerajaan kerana tidak melarang perhimpunan agama lebih awal, berkata usaha Perikatan Nasional yang mahu dilihat sebagai pentadbiran Islam telah mengakibatkan keputusan lambat dibuat.


Setakat tengahari tadi terdapat 1,030 kes jangkitan Covid-19, manakala terdapat 26 pesakit yang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).

Covid-19 telah meragut tiga korban di Malaysia.

https://www.malaysiakini.com/news/515807

Teresa Kok negatif Covid-19 selepas diuji

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok diuji negatif untuk Covid-19.


Dalam hantara di media sosial, beliau berkata beliau memutuskan untuk menjalani ujian itu kerana beliau ada berjumpa dengan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii dan Andrew Wong Ling Biu (Sarikei) yang telah diuji positif Covid-19.



"Saya melakukan ujian Covid-19 di Pusat Perubatan Taman Desa kerana saya telah mengadakan pertemuan dengan dua ahli parlimen DAP yang telah didiagnosis positif dan dimasukkan ke hospital.

"Keputusan ujian menunjukkan bahawa saya selamat dan sihat," katanya.

Kok juga berharap ujian bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, negatif.

"Memandangkan ramai ahli parlimen yang berjumpa dua ahli parlimen berkenaan diuji negatif, Dr Mahathir juga akan baik (diuji negatif)," katanya dalam kiriman berasingan.


Dr Mahathir kini melakukan kuarantin sendiri berikutan kontak rapat dengan kes Covid-19 yang disahkan. Beliau telah membuat pemeriksaan untuk virus itu pada hari Selasa.

Setakat semalam, Malaysia mencatat 900 kes Covid-19 dengan dua kematian.


Hari ini merupakan hari ketiga pelaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk menangani peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Malaysiakini

Khamis, 19 Mac 2020

Tentera akan digunakan jika masyarakat masih degil – Ismail Sabri

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat agar lebih patuh terhadap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Tegas Naib Presiden UMNO itu, apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak lain dari semata-mata untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat.




“Hari ini hari kedua selepas pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan, keadaan sedikit tenang.

“Namun masih ramai yang tidak patuh. Masih berkeliaran di mana-mana seolah-olah tiada apa yang berlaku di mana hari ini sebanyak 975 didapati positif #Covid-19,” kesalnya dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.

Untuk rekod, semasa sidang medianya siang tadi, Ismail berkata kadar pematuhan rakyat terhadap perintah tersebut sehingga hari ini hanya 60 peratus sahaja.

Justeru itu tambahnya, besar kemungkinan jika kadar pematuhan di peringkat rendah, tentera akan digunakan untuk membantu pihak polis mengawal keadaan.


Kerana itulah juga Ismail menyeru rakyat agar hanya tinggal di rumah sahaja sepanjang perintah tersebut.

Manakala bagi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran di Facebooknya berkata kes COVID-19 telah menular di semua negeri di Malaysia dan dijangkakan akan semakin meningkat.

“Sila bantu KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bersama memutuskan rangkaian jangkitan ini dengan duduk di rumah dan jangan keluar,” gesanya.

https://suaramerdeka.com.my/tentera-akan-digunakan-jika-masyarakat-masih-degil-ismail-sabri/

[Panas] Pemuda Amanah cadang bantuan bulanan RM1,500 setiap keluarga

Pemuda Amanah mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian wang tunai RM1,500 secara bulanan kepada setiap keluarga sepanjang krisis Covid-19.

Timbalan ketuanya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, ia bagi membantu rakyat membeli barangan keperluan sepanjang tempoh krisis, selain memberi kebaikan kepada ekonomi negara dalam jangka masa panjang.


Gambar sumber FB Shazni Munir


“Benar, ia (pakej ransangan RM1,500 sebulan kepada keluarga) akan mengakibatkan perbelanjaan negara defisit.

“Namun dalam keadaan sekarang, langkah suntikan dana terus ke tangan rakyat adalah baik untuk ekonomi jangka panjang dan juga dapat menampung cabaran kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Feb lalu, Dr Mahathir Mohamad ketika berkhidmat sebagai perdana menteri interim mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion untuk membantu negara berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat penularan Covid-19.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan empat langkah tambahan terhadap pakej itu, ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19.


Ia melibatkan bantuan tunai bulanan kepada pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang terpaksa bercuti tanpa gaji, diskaun caj elektrik, pembayaran awal Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pelaksanaan projek-projek kecil PRE2020.

Bacaan selanjutnya https://www.malaysiakini.com/news/515512

Selasa, 17 Mac 2020

Jangkaan gelombang kedua/ketiga Convid19, 10 kali ganda lebih kuat dari luar China sudah terbukti ketika ini menurut sumber

Memahami situasi kritikal untuk warga bumi kerana tersebarnya virus bahaya yang membawa maut ini.

Tertanya juga, saintis diseluruh dunia masih binggung dengan keadaan sebaran ganas wabak yang tidak disangka-sangka ini.

Pada awalnya di negara China keadaan agak havok dengan jangkitan dan kematian yang nampaknya tidak terhenti, namun ketegasan dan strategi pemerintah China dalam mengawal wabak ini sudah nampak hasilnya, jangkitan tidak ketara macam dua bulan dahulu.


Penulis juga merasakan virus ini muncul atas sebab yang disengajakan atau memang muncul kerana kesilapan manusia atau muncul kerana ia sudah bermutasi.



Agak merisaukan cara jangkitan itu kerana sebarannya sampai orang yang dijangkiti nampak sintom sehingga 25 hari atau lebih cepat 14 hari.

Ada yang dilaporkan tidak mengalami sintom tetapi dia pembawa virus itu, lagilah bahaya, jumlah kematian dikatakan ramai dikalangan umur 50 tahun keatas, virus ini menyerang paru-paru.

Moga kita dilindungi oleh Allah dengan ujian ini, moga rakyat Malaysia tabah dan berusaha membendung virus bahaya ini.

Saintis Jangka Gelombang Kedua Coronavirus 10 Kali Ganda Lebih Kuat Di Luar China

Kes melibatkan jangkitan coronavirus di kawasan luar China dijangkakan akan terus meningkat kepada sepuluh kali ganda bagi setiap 19 hari, lapor saintis. Situasi ini akan bertambah buruk jika negara tidak menangani krisis ini dengan betul.

Hasil kajian daripada seorang pakar genetik, Jin Li dari Universiti Fudan Shanghai mendapati bahawa wabak ini akan mencetuskan penyebaran lebih meluas di luar tanah besar China.

Berdasarkan data yang diperoleh pada akhir bulan Februari ini, para penyelidik telah membina satu model bagi mengkaji trend wabak ini tersebar di luar China.

Kata Jin Li, mereka mendapati kebanyakkan pesakit yang dijangkiti dengan wabak ini akan mengalami gejala ringan dan mereka memilih untuk tidak pergi ke hospital bagi mendapatkan ujian saringan dengan doktor pakar.


“Keadaan ini merbahaya,” kata kajian tersebut sebelum para saintis menekankan betapa pentingnya campur tangan yang meluas dan lebih kuat. “Tindakan yang lebih kuat perlu diambil terhadap kesihatan awam bagi memerangi wabak ini di seluruh dunia,” tulis para penyelidik.

Kertas kajian ini telah dimuat naik di medrxiv.org, sebuah portal yang banyak membincangkan sains kesihatan. Namun para penyelidik melaporkan bahawa perlu kajian yang lebih meluas untuk membuktikan kajian ini tepat.

Terdahulu, seorang wanita yang mengembara dari Wuhan ke Thailand adalah pembawa wabak pertama di luar China. Dia diuji positif Covid-19 pada 13 Januari lalu.


Sejak itu, lebih 100,000 orang telah direkodkan sebagai pembawa wabak coronavirus. Dengan Itali, Iran, Jerman, Perancis dan Korea Selatan masing-masing mencatatkan angka lebih 1,000 orang rakyat mereka dijangkiti wabak ini.

https://www.thevocket.com/saintis-jangka-gelombang-kedua-coronavirus-10-kali-ganda-lebih-kuat-di-luar-china/

China tuduh AS punca tersebarnya virus berbahaya Convid 19, AS membantah kuat tuduhan itu

WASHINGTON – Perang mulut antara China dan Amerika Syarikat tidak menunjukkan tanda-tanda reda selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo dalam panggilan telefon dengan seorang diplomat China menyatakan “bantahan kuat” terhadap tuduhan Beijing yang mendakwa koronavirus disebarkan oleh Washington.




Hubungan tegang antara dua negara utama dunia semakin rumit disebabkan oleh isu-isu termasuk perdagangan, hak harta intelektual serta kebebasan akhbar, telah diuji lagi dengan wabak koronavirus.

“Setiausaha Pompeo menyampaikan bantahan kuat AS terhadap tindakan China yang menyalahkan penularan Covid-19 kepada Amerika Syarikat,” kata Morgan Ortagus, jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan mengenai panggilan yang dibuat Pompeo ke atas Yang Jiechi, Pengarah Pejabat Luar Negeri Parti Komunis China.

Setiausaha AS itu menegaskan sekarang ini bukan masa untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan desas-desus aneh, melainkan semua negara bekerjasama memerangi ancaman ini,” kata Ortagus.

Amerika Syarikat pada hari Jumaat lalu memanggil Duta Besar China untuk melahirkan protes terhadap kenyataan Beijing yang mencadangkan tentera AS mungkin membawa koronavirus ke Wuhan.

Protes itu disampaikan oleh David Stilwell, diplomat AS untuk Asia Timur kepada Duta Besar China, Cui Tiankai.


CCTV melaporkan, Yang telah memaklumkan kepada Pompeo bahawa sebarang usaha untuk memburuk-burukkan usaha China untuk mengawal koronavirus “tidak akan berjaya” dan sebarang tindakan yang merugikan kepentingan China akan dibantah.

Koronavirus dikesan di China hujung tahun lalu dan kini merebak di kebanyakan negara, menjejaskan pasaran kewangan, mengakibatkan penerbangan dihentikan, sekolah-sekolah ditutup dan semua perhimpunan termasuk acara sukan dan seni ditangguhkan.


Seramai 174,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti wabak ini dengan 6.700 kes kematian termasuk 71 kes maut dan 4.100 kes jangkitan di AS. – MalaysiaGazette

Ezam ingin kembali sertai PKR

TAPAH - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor bersedia untuk kembali menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Perkara itu diumumkan sendiri dalam ceramah Siri Jelajah Reformasi di Kampung Perak, Temoh Stesen, di sini.


Menurut Mohamad Ezam, keputusan untuk kembali ke pangkuan PKR dibuat selepas mendapat permintaan daripada akar umbi yang mahukan beliau membantu parti.


"Saya masuk bukan dalam keadaan ada kilauan emas, ada permaidani merah di Putrajaya atau ada kawan-kawan menteri yang nak tawarkan sesuatu kepada saya. Saya masuk dalam keadaan PKR dikhianati, dibelot keadaan paling teruk.

"Saya mahu bersusah payah untuk angkat perjuangan parti. Saya bersedia pada bila-bila masa bersama parti," katanya dalam ceramah yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live itu.

Mohamad Ezam berkata, sukar untuk menolak kemahuan akar umbi yang memintanya kembali menyertai PKR.

Katanya, tindakan keluar daripada parti itu sebelum ini bukan disebabkan bergaduh dengan ahli parti tetapi masalah yang dihadapi dengan pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamad Ezam dalam pada itu menjelaskan tarikh semalam merupakan sesuatu yang sangat signifikan buatnya kerana pada 15 Mac 1999 beliau bertemu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara untuk menubuhkan parti itu.

Sementara itu, beliau melontarkan kritikan terbuka terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mahu terus bergantung kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


"Saya minta pimpinan PH kena bangkit dan tegas sebagai pakatan yang ada maruah. Saya terbuka PH boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir tetapi kali ini bukan dia pimpin kita tapi kita pimpin dia. Kita dah angkat dia jadi perdana menteri sampai kali kedua.

"Kita minta Dr Mahathir untuk kesekian kalinya sokong Anwar sebagai perdana menteri. Kenapa kita kena bergayut lagi dengan Dr Mahathir. Kalau masih tidak ada ketegasan, saya bimbang pejuang-pejuang reformasi dan rakyat tidak mempunyai kekuatan menyokong," katanya.


Mohamad Ezam berkata, selama 22 bulan teguran dibuat terhadap PH tetapi diambil sambil lewa sehingga kerajaan runtuh.

Pada tahun 2008, Mohamad Ezam keluar daripada PKR menyertai UMNO selepas tidak lagi sefahaman dengan Anwar dan Mohamed Azmin.

https://www.sinarharian.com.my/article/73978/BERITA/Politik/Ezam-umum-mahu-kembali-sertai-PKR

Malu! Sekali video Timbalan Menteri tertidur masuk berita Turki tu...

 Rakaman video yang menunjukkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika di satu majlis konvokesyen baru-ba...