Rabu, 11 Mac 2020

AMK Perlis mohon Rafizi kembalilah bantu PKR, bantu Anwar Ibrahim

KANGAR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis memohon Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli kembali bersama-sama parti bagi membantu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


AMK Perlis dalam satu kenyataan hari ini berkata, Rafizi merupakan arkitek Pakatan Harapan (PH) yang telah menyumbang kepada kejayaan pakatan itu melawan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwa kleptokrat sehingga berjaya menawan Putrajaya pada PRU lalu.


"Kami memohon jasa baik saudara Rafizi Ramli untuk kembali bersama saf pimpinan parti dalam masa terdekat.

"Kami amat menyambut baik kepimpinan dan kebijaksanaan Rafizi bersama-sama dengan Yang Berhormat Nurul Izzah Anwar untuk kembali bersama-sama dengan pimpinan parti dan menerajui PRU yang akan datang," katanya.

Sebelum ini pada 10 Disember 2019, media melaporkan Rafizi mengumumkan keputusan meninggalkan dunia politik dan mahu menumpukan kepada kehidupan baharu.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pandan itu, beliau juga ingin memberi tumpuan kepada soal pembelajaran di samping lebih tertarik untuk menceburi bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IOT).

Sementara itu, dalam perkembangan sama, AMK Perlis juga menzahirkan taat setia dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha meneruskan agenda reformasi dan membela nasib rakyat.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pengkhianatan yang dilakukan oleh segelintir ahli politik elit yang melaungkan slogan menyelamatkan negara tetapi sebenarnya lebih mengutamakan kepentingan dan nafsu diri sendiri.


"Rampasan kuasa ini untuk membentuk kerajaan pintu belakang diibaratkan suatu perkosaan terhadap prinsip demokrasi yang diamalkan selama ini dalam negara kita.

"Rakyat dengan jelasnya telah menolak kerajaan kleptokrat Barisan Nasional dalam PRU14," katanya.

Walaupun tindakan pengkhianatan segelintir pemimpin telah mengakibatkan keruntuhan kerajaan PH, AMK Perlis terus komited mempertahankan mandat yang diberi oleh rakyat pada PRU14 dengan memperkukuhkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

"Susulan daripada pengkhianatan ini, kami mengalu-alukan tindakan pembersihan dan pemutihan dalam parti untuk memastikan parti ini bertambah kuat pada masa yang akan datang.

"Kami telahpun mengenal pasti nama-nama anggota parti yang bersekongkol dengan kumpulan pengkhianat dan tidak lagi selari dengan prinsip perjuangan parti untuk dihantar kepada Lembaga Disiplin," katanya.


Katanya, AMK Perlis turut menyarankan pimpinan dan anggota parti yang masih bersekongkol dengan kumpulan pengkhianat tetapi masih kekal di dalam parti agar menjelaskan pendirian masing-masing sama ada mereka masih memperjuangkan agenda parti atau tidak.

"Jika tidak, sila keluar parti dan usahlah cuba untuk merosakkan parti ini dari dalaman," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] Muhyiddin Bakal Gugurkan Semua Menteri UMNO?

 CYBERJAYA – Biro Politik Majlis Tertinggi (MT) Bersatu dijangka akan membuat keputusan meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin me...