Khamis, 30 April 2020

Kerajaan perlu bentang pelan bendung penularan semula Covid-19

KUALA LUMPUR – Kerajaan harus membentangkan satu strategi pelan keluar yang bijak dan fleksibel di Parlimen untuk mengelakkan penularan semula wabak Covid-19, pada masa sama melonjakkan semula ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19


Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Malaysia sudah memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei dan dalam tempoh 12 ke 24 bulan yang akan datang, semua perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu untuk hidup bersama dengan virus Covid-19 ini hingga satu vaksin yang berkesan dicipta dan tersedia secara meluas.


Norma baharu ini, katanya, haruslah diasaskan kepada peningkatan kapasiti ujian saringan, penjajakan kontak rapat, kuarantin, dan pembatasan sosial secara universal oleh semua rakyat Malaysia pada setiap masa.


Bahkan perkara ini bukan sahaja terpakai di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Oleh itu, Penasihat DAP itu berkata, kerajaan harus merangka satu strategi keluar yang bijak dan fleksibel untuk mengelakkan penularan semula wabak Covid-19.

”Kita harus cuba sebaik mungkin untuk mengelakkan penutupan seluruh negara mahupun seluruh negeri pada masa hadapan.

”Rancangan keluar ini kemudiannya haruslah dibentangkan kepada Parlimen untuk diperbahaskan dan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Kit Siang berkata, walaupun Malaysia berjaya mengawal penularan gelombang kedua wabak ini, namun kita tidak boleh berasa selesa dan harus sentiasa berjaga-jaga dan mengunapakai strategi yang fleksibel, kreatif, dan lincah untuk mengelakkan sebarang gelombang penularan baharu dan juga untuk membina semula ekonomi negara yang telah dirosakkan oleh wabak ini.

”Semasa kita mula melaksanakan PKP pada 18 Mac, Malaysia berada di kedudukan ke-18 dari jumlah kes positif di dunia, dan kedudukan ke-33 dari jumlah kematian.

”Kini negara kita berada di kedudukan ke-58 dari jumlah kes positif dan kedudukan ke-48 dari jumlah kematian,” ujarnya.


Tambahnya, kita sekarang berada di dalam satu era baharu yang belum pernah diterokai dalam usaha untuk melonggarkan kawalan pergerakan dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekang penyebaran wabak ini dan melonjakkan semula ekonomi negara.

Oleh itu kita haruslah mencontohi tauladan yang baik dan juga perdebatan, dari dalam dan luar negara – untuk belajar daripada kesilapan negara lain, mencontohi kejayaan mereka dan membangunkan strategi kita sendiri dalam era ekonomi pandemik. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/04/30/kerajaan-perlu-bentang-pelan-bendung-penularan-semula-covid-19/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] Pemimpin Armada ditangkap miliki ganja dalam jumlah besar

 Seorang tokoh Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Jan lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar. Perkara i...