Isnin, 18 Mei 2020

Bersatu, BN, PAS, GPS dan 2 parti Sabah sokong penubuhan PN

Bersatu, BN, PAS, GPS dan dua parti berasaskan Sabah menyatakan sokongan terhadap penubuhan Perikatan Nasional (PN) melalui kerjasama gabungan parti-parti politik.

Dalam satu kenyataan bersama, enam pemimpin gabungan dan parti berkenaan menggariskan kandungan memorandum persefahaman yang telah dirangka.

Kenyataan tersebut ditandatangani Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi GPS, Abang Johari Openg, Presiden PBS, Maximus Johnity Ongkili dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan.


Dua parti berasaskan Sabah yang menyokong penubuhan gabungan tersebut ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).


Berikut merupakan kandungan memorandum persefahaman yang telah dirangka:

Memperkasa dan memartabatkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, prinsip-prinsip Rukunegara dan menjamin kebajikan dan kepentingan seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa;


Memastikan suatu bentuk pentadbiran dan pengurusan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri yang baik, inklusif serta bertaraf dunia yang menjurus ke arah menjaga dan memastikan kebajikan, kepentingan, kemakmuran dan keharmonian rakyat dipelihara dan dipertingkatkan serta menjamin kemajuan serta pemulihan ekonomi dan pembangunan negara;

Memperkukuhkan semangat perkongsian dan kekitaan Malaysia di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung demi untuk merealisasikan aspirasi dan matlamat MA63;


Memperkukuh dan memperkasa agenda perpaduan kaum, keharmonian agama dan budaya di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan sebagai paksi kepada kestabilan politik dan kesejahteraan negara; dan

Memperkukuh Perikatan Nasional melalui amalan musyawarah dan konsultansi berlandaskan kepada sikap dan sifat saling hormat-menghormati atas kepelbagaian agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara

https://cin-ca.blogspot.com/2020/05/bersatu-bn-pas-gps-dan-2-parti-sabah.html

Tiada ulasan:

Catat Komen

Melampau tuduh Umno derhaka kepada Raja, adakah Annuar memang berniat jahat?

 Annuar Musa menuduh Umno menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu dinyatakan dalam suratnya kepada Setiausaha Agung Umno. Annua...