Selasa, 19 Mei 2020

PN tidak bawa usul tanda tidak yakin ada majoriti kata Hanipa

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak membawa apa-apa usul dalam sidang Dewan Rakyat kali ini menunjukkan mereka tidak yakin dengan majoriti yang dimiliki, kata Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin.

Bekas timbalan menteri undang-udang itu berkata, untuk selamat buat tempoh sementara, kerajaan telah mengelak sebarang agenda mesyuarat yang membawa kepada undian, termasuk usul daripada pihak mereka sendiri.



"Kenapa kerajaan yang ada suara majoriti tidak mahu teruskan apa-apa agenda mesyuarat selepas perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong?

"Kenapa PAS yang sebelum ini pernah cadang untuk bawa usul percaya kepada bekas perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad), kini tidak mahu pula bawa usul sama hari ini?" soalnya dalam kenyataan hari ini.


Katanya lagi, keputusan untuk mengehadkan agenda Dewan Rakyat kepada titah diraja sahaja membuatkan spekulasi berkenaan majoriti yang dimiliki dalam PN sukar dielakkan.

"Saya berani simpulkan bahawa PN adalah kerajaan yang ada suara majoriti tetapi tak yakin dengan majoriti tersebut," katanya lagi.

Hari ini Malaysiakini melaporkan Muhyiddin memiliki majoriti tipis sokongan anggota Parlimen untuk menjadi perdana menteri.

Ia berdasarkan susunan tempat duduk untuk persidangan yang menunjukkan bahawa terdapat 114 anggota parlimen yang menyokong kerajaan semasa, menandakan majoriti tipis tiga kerusi Parlimen.


Bagaimanapun Anggota Parlimen Sri Aman daripada Parti Bersatu Sarawak (PSB), Masir Kujat menjelaskan beliau menyokong pembangkang walaupun diberikan tempat duduk di pihak kerajaan. Ia menjadikan majoriti Muhyiddin berkurang kepada dua kerusi.

PH sebelum ini mendesak agar persidangan itu dilanjutkan, tetapi ditolak kerajaan atas dasar ia mendedahkan risiko penularan Covid-19 di kalangan anggota Parlimen.

Menurut Dewan Rakyat pula sebelum ini, kerajaan mengarahkan sidang hari ini disingkatkan kepada titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja atas dasar yang sama.


Membangkitkan perkara sama, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu A Kadir Jasin menyifatkan bilangan anggota Parlimen kerajaan tidak cukup besar untuk meyakinkan Muhyiddin beliau akan menang jika usul undi tidak percaya dibawa, atau mendapat sokongan yang cukup bagi Rang Undang-undang (RUU) kerajaan.

"Kalau kerajaan yang dipilih dan mempunyai majoriti besar macam PH pun jatuh kerana ahli yang tidak setia, apakah jaminan ahli Dewan yang mengkhianati PH tidak akan mengkhianati PN pula.

Baca seterusnya Malaysiakini

Tiada ulasan:

Catat Komen

Suhakam: Vaksin percuma perlu rangkumi banduan, warga asing

 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan memberikan vaksinasi percuma kepada golongan rentan serta mereka yang berada dala...