Rabu, 3 Jun 2020

Ahli Majlis Selayang keluar parti, PKR sudah tiada hala tuju

Ahli PKR Cabang Selayang, JC Jess Choy Pooi Yee umum keluar parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta merta selepas kecewa dengan partinya yang didakwa memeningkan ahli dan kepimpinan.

Beliau turut mengumumkan peletakan jawatan Ahli Majlis Perbandaran Selayang.


Jess Choy Pooi Yee lepaskan segala jawatan dalam PKR di cabang Selayang termasuk jawatan Ahli Majlis Selayang berkuatkuasa serta merta

“Melihat kepada perkembangan politik yang melibatkan Parti Keadilan Rakyat sememangnya memeningkan ahli dan juga pimpinan yang mana saya turut terkesan dengan penyebaran senarai nama Ahli Parti Keadilan Rakyat yang digantung, setelah diteliti nama saya turut tersenarai.


“Saya telah hilang kepercayaan kepada Presiden dan Pimpinan Parti selepas daripada pemilihan parti yang caca merba serta memalukan dan sudah sampai masanya keputusan perlu di buat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Choy Pooi, sejak mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis MPS dua tahun lalu, dia sering diserang oleh ahli dan pemimpin PKR cabang Selayang.

Malah katanya, beliau turut dicaci, dihamun dan difitnah bagi menjatuhkan maruahnya sehingga pada satu masa terpaksa membuat laporan polis terhadap pemimpin berkenaan.

Tambah Choy Pooi, beliau menyertai PKR atas dasar perjuangan ikhlas parti itu dan pergaduhan antara dua kem tercetus pada setiap pemilihan parti dan kini ia semakin parah.


“Saya mula sedar tindakan saya memilih pemimpin yang bekerja dan berkhidmat untuk rakyat dalam parti menyebabkan dicaci oleh kerana tidak memenuhi kehendak mereka yang lain di dalam PKR.

“Menyedari perjuangan sebenar parti dan pemimpin lari dari landasan asal, saya cuba meneruskan perjuangan dengan mengharungi masalah dengan terus menyertai Penggerak Komuniti Negara yang ditubuhkan tiga bulan lalu oleh Menteri Zuraida Kamaruddin bertujuan menyalurkan bantuan barang keperluan kepada fakir miskin dan memerlukan tanpa sebarang bayaran gaji atas dasar khidmat kemasyarakatan.

“Saya komited dan menerima bantuan-bantuan berupa barang dari NGO dan membantu golongan miskin semasa Covid-19 namun itupun dicaci dan difitnah juga.


“Apa yang mengejutkan, saya tersenarai dalam nama-nama ahli yang dipecat selepas pertemuan tertutup ahli dengan Menteri Besar Selangor baru-baru ini memberi peluang merayu kepada mereka yang tersenarai namun saya tercicir dari senarai peluang merayu,” ujar beliau.

Katanya, berikutan itu beliau mengambil keputusan mengundur diri secara bermaruah. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/06/03/pkr-hilang-hala-tuju-ahli-majlis-selayang-keluar-parti/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Muhyiddin sudah jadi seorang diktator dakwa Tun M

 KUALA LUMPUR Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin seorang diktator. Menur...