Isnin, 22 Jun 2020

PM ke-10 untuk Anwar selepas PH mampu tunggu 6 bulan lagi - Lim Guan Eng, Mat Sabu

DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menunggu enam bulan lagi untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa mereka konsisten menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri Malaysia sejak 1998  dan akan terus berbuat demikian.




Namun, kata mereka, senario politik semasa mendorong mereka juga untuk bersetuju dengan pilihan kedua, iaitu Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri kesembilan selama enam bulan dan selepas tempoh itu digantikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.


“Perjalanan politik ini, telah mengambil masa selama 22 tahun. Justeru, PH mampu menunggu enam bulan lagi untuk melihat Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10,” kata Guan Eng dan Mohamad.

Menurut mereka lagi, peralihan kuasa daripada Dr Mahathir kepada Anwar selepas tempoh enam bulan itu akan didokumenkan secara bertulis, ditandatangani oleh semua pemimpin parti dan diumumkan secara terbuka.

Menurut Guan Eng dan Mohamad, dengan latar senario politik semasa, satu-satunya pilihan realistik untuk PH berjaya adalah menggabungkan kekuatan semua lima parti melibatkan PKR, Amanah, DAP, parti Warisan dan kelompok penyokong Dr. Mahathir dalam Bersatu.


Mereka berkata, walaupun Dr Mahathir, Warisan dan PKR tidak dapat saling bersetuju, semua parti dalam PH (Plus) mesti mencari titik persamaan untuk menuntut kembali mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

PKR dalam kenyataannya baru-baru ini, mengumumkan menolak pilihan kedua untuk mencalonkan Dr. Mahathir Perdana Menteri dan Anwar Timbalan Perdana Menteri dengan peralihan kuasa kepada Presiden PKR itu selepas tempoh enam bulan.

PKR membuat keputusan itu berikutan Warisan dan Dr. Mahathir menolak pilihan pertama untuk mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir Timbalan Perdana Menteri.


Kedua-dua pilihan itu dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 30 Mei 2020 yang dipengerusikan Anwar.

Menurut mereka, dalam usaha menghormati mandat pilihan raya yang diberikan rakyat untuk menukar kerajaan pada PRU 2018, ada pihak mengambil peluang melabelkan PH sebagai gila kuasa.

Katanya, PH telah dikritik kerana lambat bertindak menuntut kembali mandat rakyat, tetapi apabila laluan yang realistik ditemukan, mereka dikritik pula kononnya gila kuasa.


“Ini tidak adil kerana walaupun kami tidak gentar menjadi pembangkang, rakyat telah mengundi pada tahun 2018 supaya kami mengambil alih kerajaan.

“Kedua-dua kami, DAP dan Amanah telah berusaha keras sepanjang tiga bulan lalu untuk mencari titik persamaan yang dapat diterima semua pihak.


“Malangnya, usaha itu belum berjaya, malah kita berharap PKR dan Dr. Mahathir bersama Warisan tidak akan semakin menjauh, bahkan terus merapat dan bersatu-padu,” katanya.

Baca selanjutnya https://malaysiagazette.com/2020/06/22/ph-mampu-tunggu-6-bulan-lagi-untuk-anwar-jadi-pm-10-guan-eng-mohamad-sabu/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] Pemimpin Armada ditangkap miliki ganja dalam jumlah besar

 Seorang tokoh Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap polis pada 20 Jan lalu atas dakwaan memiliki dadah dalam jumlah yang besar. Perkara i...