Isnin, 1 Jun 2020

Presiden-presiden parti yang datang jumpa Tun M

PUTRAJAYA – Gambar yang tular melibatkan pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad bersama presiden parti lain termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Mohamad Ali adalah di luar perancangan bekas Perdana Menteri itu.



Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertemuan itu berlangsung selepas Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu mengadakan mesyuarat pada pagi 23 Februari lalu.


Jelas bekas menteri Kabinet itu, Dr. Mahathir terkejut apabila dimaklumkan presiden parti seperti UMNO, Pas, Warisan dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selain Azmin sedang menunggu beliau secara tiba-tiba.

“Pertemuan itu untuk mengajak Tun pergi ke Istana Negara untuk memberi sokongan kepada parti Perikatan Nasional dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“Bagaimanapun pun Tun tidak mengikut kumpulan presiden itu ke Istana Negara malah mesyuarat di Hotel Sheraton pada malamnya pun Tun tidak dimaklumkan.

“Padahal semua Ahli Parlimen Bersatu mendapat jemputan ke sana atas arahan Hamzah (Zainuddin) dan Zahid Mat Arip,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Armada Bersatu di sini hari ini.

Syed Saddiq menambah, pada malam tersebut, beliau dan Ketua Serikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun pergi berjumpa Dr. Mahathir untuk mendapat penjelasan.

Menurut beliau, Dr. Mahathir memberitahu tidak tahu apa yang berlaku dan merayu jangan buat perubahan kerajaan kepada Perikatan Nasional kerana negara sedang berdepan wabak Covid-19 dan ekonomi berada dalam keadaan tidak baik.

“Sebenarnya nama Tun telah digunakan dan beliau menyuruh saya pergi untuk berhujah.


“Namun difahamkan mesyuarat tersebut dibatalkan dan terdapat perjumpaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Syed Saddiq turut mendakwa bekas Setiausaha Politik Mahathir, Zahid sering menggunakan nama bekas Pengerusi Bersatu itu sebelum dipecat pada 24 Februari lalu.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, perancangan untuk menjatuhkan kerajaan PH bukan secara tiba-tiba namun dilakukan secara rapi sejak sekian lama.


“Saya akui kerajaan PH tidak sempurna dan rakyat boleh hukum selepas lima tahun nanti.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin banyak kali berkata Bersatu akan kalah tersungkur jika kekal berada dalam PH.

“Namun saya kata biar jatuh tersungkur kerana rakyat daripada bersekongkol dengan perasuah dan ditikam minit-minit terakhir,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/05/31/presiden-presiden-parti-yang-datang-jumpa-tun-m/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] DAP pecat Adun Malim Nawar

 DAP hari ini memecat salah seorang wakil rakyatnya di Perak. Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ch...