Jumaat, 14 Ogos 2020

Bersatu keluar PH punca kerajaan jatuh, itu pun tak faham lagi, kata Tun M

Isu perletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih belum reda.

Ketika sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang Pebekalan (penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman membangkitkan bahawa Perikatan Nasional (PN) bukan punca kepada kejatuhan kerajaan PH.




Bingkas bangun, Dr Mahathir berkata Ahli-ahli Parlimen kerajaan seperti tidak memahami situasi ketika itu.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, bekas partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dahulu meninggalkan PH membuatkan gabungan itu hilang kuasa memerintah.

“Saya tidak letak jawatan tapi ahli-ahli daripada kerajaan ini (Perikatan Nasional) mungkin tak faham cara-cara Perlembagaan Persekutuan, apabila parti Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan maka gabungan pun jatuh, tidak jadi kerajaan lagi.

“Kalau dia (PH) tak jadi kerajaan macam mana saya nak jadi Perdana Menteri kita sudah tidak jadi kerajaan menteri termasuk kepada menteri, jadi macam mana saya nak letak jawatan lagi saya sudah tidak ada jawatan.


“Saya fikir payah nak difahamkan, ini berkali-kali macam tak boleh dengar,” katanya ketika mencelah ucapan Hasbullah.

Pada 24 Februari lalu, Kabinet PH secara automatiknya terbubar selepas Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin.

Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu tertakluk dalam peruntukan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri.


Kemelut politik negara ketika itu selesai apabila Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sebagai Perdana Menteri kelapan.

Tindakan itu dimulakan dengan ‘Langkah Sheraton’ yang merujuk kepada keluarnya Bersatu dan sejumlah anggota parlimen PKR, diketuai Muhyiddin dan Azmin Ali, daripada PH untuk menubuhkan gabungan Perikatan Nasional bersama-sama UMNO, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil lain mengambil tempat.

Mengulas mengenai itu, Dr Mahathir berkata langkah itu dibuat oleh individu yang melakukan pengkhianatan kepada kerajaan ketika itu semata-mata untuk mendapatkan kuasa.


“Saya cuma memberitahu kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu saya letak jawatan, ini bukan bermakna saya buat keputusan sendiri nak letak jawatan. Apabila parti saya keluar daripada pakatan harapan Pakatan Harapan tidak jadi kerajaan lagi dan semua anggota Pakatan Harapan tentulah tergugur kerana tindakan itu dan tindakan itu adalah satu pengkhianatan kepada janji kita

“Kita dipilih oleh rakyat, rakyat percaya bahawa perjuangan kita ialah untuk melawan kleptokrasi tetapi apabila kita berada dalam kerajaan kita sabotaj kerajaan kita sendiri kerana nak jadi Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/08/13/bersatu-keluar-ph-punca-kerajaan-jatuh-itu-pun-tak-faham-lagi-kata-tun-m/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Agong berkenan Parlimen bersidang semula, tapi kenapa Putrajaya senyap, soal Najib

  PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyuarakan kehairanan beliau apabila kerajaan kerana tidak memberi sebarang maklum balas...