Selasa, 25 Ogos 2020

Guan Eng akui lulus projek rundingan terus

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui ada memberi kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Beliau bagaimanapun, menjelaskan ia hanya mewakili enam peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.




"Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka, selaras Janji 23, manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), iaitu 'kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya bagi projek besar'.

"Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat berkata kerajaan terdahulu meluluskan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus.


Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang turut berada dalam dewan bangun mencelah dan menjelaskan bahawa Kabinet PH tidak pernah dimaklumkan mengenai projek secara rundingan terus berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng hari ini meminta Tengku Zafrul untuk mendedahkan keseluruhan 101 projek rundingan terus yang diluluskan pentadbiran PH.

"Saya cabar dia (Tengku Zafrul) dedahkan semuanya supaya rakyat boleh menilai dan membandingkan syarikat mana dan kroni siapa dapat tender serta menteri mana yang mohon kelulusan rundingan terus.


"Tengku Zafrul harus mendedahkan segera senarai penuh projek rundingan terus oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN), PH dan Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Mengenai dakwaan Azmin, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan, menyifatkan Ahli Parlimen Gombak itu sebagai 'lupa daratan' dan 'pakar kelentong'.


"Dia (Azmin) ini sekarang sudah lupa daratan. Dulu dia buat macam itu, sekarang dia buat macam lain. Takkan dia boleh lupa apa dibentangkan dalam Kabinet? Dia ini memang sudah jadi pakar kelentong," katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/724482/guan-eng-akui-lulus-projek-rundingan-terus

Tiada ulasan:

Catat Komen

MB Perak selamba 'sound' Bersatu, jangan curi ahli dan bertanding tempat UMNO

 UMNO Perak akan mempertahankan kerusi-kerusi tradisi miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sambil mengharapkan gandingan d...