Rabu, 30 September 2020

Bertelingkah secara terbuka boleh hakis keyakinan rakyat – Pemuda Pas

KUALA LUMPUR – Langkah memperkukuhkan muafakat perlu menjadi agenda utama semua parti dalam kerajaan kerana ia boleh menimbulkan keyakinan rakyat kepada Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khairudin berkata, pertelingkahan secara terbuka hanya membuka pekung didada yang akhirnya menghakis keyakinan rakyat kepada kedua-dua gabungan itu.

Katanya, pertelingkahan yang berlarutan akan membuka ruang kepada musuh untuk terus melaga-lagakan dan seterusnya akan menjadi lebih buruk jika mereka dapat merampas semula tampuk pemerintahan negara.

“Suka Pemuda Pas mengingatkan bahawa rakyat Malaysia khususnya anak muda meletakkan harapan yang tinggi kepada MN dan PN untuk mengemudi Malaysia ke arah kecemerlangan terutama dalam tempoh yang serba mencabar ini.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil maklum berkenaan komunikasi media sosial yang berlaku di antara dua sahabat saya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Pemuda PAS menghormati pandangan dan perspektif yang diutarakan oleh keduanya dan melihat perkara sebagai sebahagian daripada proses kematangan dalam permuafakatan,” katanya menerusi kenyataan.

Khairil Nizam berkata, dalam usaha membentuk kesatuan yang kuat sebuah kumpulan akan melalui empat fasa utama iaitu pembentukan, pergeseran, pembiasaan dan pencapaian kecemerlangan.

Katanya, PN kini sedang melalui fasa kedua dan kedua-dua tokoh pemuda itu bukanlah insan yang biasa-biasa, sebaliknya masing-masing memiliki kekuatan dan kehebatan yang tersendiri.

Ujarnya, kehebatan itu menjadi ketakutan yang dilihat oleh musuh politik seperti DAP dan sekutunya.

“Jika tokoh-tokoh anak muda ini boleh bersama dan bermuafakat secara matang, nescaya manfaatnya adalah untuk rakyat Malaysia dan Pemuda PAS sentiasa mendokong perkara ini sebagai keutamaan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] DAP pecat Adun Malim Nawar

 DAP hari ini memecat salah seorang wakil rakyatnya di Perak. Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ch...