Khamis, 10 September 2020

[PKR kena pedajal] Langgar kerusi PKR, semangat kesatuan Shafie dipersoal

PETALING JAYA: Seorang pimpinan PKR Sabah mempersoalkan semangat kesatuan Presiden Warisan Shafie Apdal selepas mengumumkan bertanding di 5 kawasan sepatutnya ditandingi parti itu.


Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah Razeef Rakimin berkata, semalam PKR sudah mengumumkan bertanding di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).



“Kerusi itu adalah Matunggong, Pintasan, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Petagas, Limbahau, Membakut, Klias, Kemabong, Sook, Sungai Manila dan Segama.

“Namun, hari ini Warisan mengumumkan bertanding di Pintasan, Petagas, Limbahau, Membakut, Sungai Manila dan Segama manakala kerusi Kemabong diserahkan kepada Upko,” katanya.


Jumlah kerusi akan ditandingi PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi tanda tanya walaupun parti itu sudah mengumumkan bertanding di 14 kerusi.

Ini kerana Warisan Plus kecuali PKR dalam majlis hari ini mengumumkan akan bertanding di 66 kerusi, ini bermakna jumlah kerusi masih tinggal hanya 7.

Dalam pada itu, Razeef juga terkilan apabila rakan komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP tidak mendapat tempat selayaknya walaupun mereka banyak mengorbankan beberapa perkara untuk mendapat perhatian Shafie.

Katanya, antara perkara yang sanggup mereka lakukan adalah menolak calon perdana menteri PH sebaliknya menyokong calon lain dicadangkan Dr Mahathir Mohamad iaitu Shafie.



“Dan terbaru, DAP dan Amanah sanggup dengan rendah diri memilih untuk menggunakan logo Warisan sekali gus mengenepikan logo mereka dan logo PH walaupun Upko menggunakan logo sendiri atas dasar prinsip dan hormat kepada organisasi.

“Namun apa berlaku akhirnya Amanah cuma diberi ruang untuk bertanding hanya 1 kerusi iaitu Tanjung Keramat serta terlepas beberapa kerusi berpotensi antaranya Pitas dan Sekong manakala beberapa kerusi potensi DAP dirampas Warisan antaranya DUN Tulid serta beberapa DUN berpotensi buat DAP,” katanya.

Razeef berkata, PKR tidak terlalu risau berkenaan isu agihan kerusi walaupun jumlahnya kecil namun biarlah dilakukan secara adil atas semangat muafakat dan kesatuan dalam Warisan Plus.


Katanya, ini kerana rakyat sedang memerhati dan tidak mustahil jika bukan sahaja rakyat malah penyokong parti dalam Warisan Plus akan melakukan undi protes apabila mereka melihat Warisan seolah-olah parti yang tamakkan kerusi.

Terdahulu, pada majlis berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu Shafie mengumumkan partinya, DAP dan Amanah akan bertanding di 54 kerusi.

Wilfred Madius Tangau selepas itu mengumumkan Upko akan bertanding di 12 kerusi menjadikan jumlah keseluruhan ditandingi Warisan Plus tidak termasuk PKR adalah 66.


Shafie dalam sidang medianya hari ini berkata, beliau menyerahkan kepada PKR untuk membuat pengumuman sendiri namun berharap ia dilakukan secepat mungkin kerana penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sabah Christina Liew turut hadir pada majlis pengumuman calon Warisan Plus hari ini, namun beliau tidak menyertai sidang media yang diadakan selepas itu.


FMT

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Setelah tular] Tok Mat nafi jadi calon PM Muafakat Nasional

 TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan dirinya telah dipilih sebulat suara sebagai calon perdana menteri bagi  Muafakat ...