Khamis, 15 Oktober 2020

Kerjasama dengan Najib, Bagaimana saya boleh kerja dengannya? Soal Kit Siang

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini mengaku boleh bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak namun bersyarat.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Putri serta bapa kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sememangnya beliau bersedia bekerja dengan Najib untuk menyelamatkan Malaysia tetapi kenyataannya telah disalah tafsir.

“Bagaimana untuk bekerjasama dengan Najib jika beliau tidak bersedia untuk mengakui skandal 1MDB?” katanya.

Kit Siang mengulas laporan The Coverage bertajuk DAP Lim Kit Siang : To Save Malaysia, I Am Prepared To Work With Najib To Restore Democracy & Implement Key Reforms bertarikh 15 Oktober 2020.

Mengulas lanjut, katanya, pagi ini beliau telah menerima pertanyaan berhubung laporan tersebut.

“Ia adalah kenyataan yang selayaknya di mana prinsip dan kepentingan negara menjadi keutamaan. Ya saya bersedia bekerjasama dengan Najib – tetapi bagamana ia hendak dilaksanakan apabila dia (Najib) tidak bersedia mengakui tentang skandal 1MDB,” katanya. 

Kit Siang juga mendakwa laporan The Coverage yang tular di media sosial itu adalah gerak kerja tentera siber yang mahu memberi gambaran bahawa DAP bekerjasama dengan Najib dan UMNO untuk membentuk sebuah kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Muhyiddin.

Sambil menyifatkan laporan tersebut juga bertujuan mewujudkan tanggapan yang salah dan palsu, Kit Siang berkata, berita tersebut sebenarnya daripada akhbar Malay Mail  bertarikh 12 Mac 2016, semasa Najib masih lagi Perdana Menteri iaitu sejurus selepas beliau menandatangani Deklarasi Rakyat pada Mac 2016 untuk Menyelamatkan Malaysia,” tegasnya.

Kata Kit Siang, sejak itu banyak perkembangan politik selama empat tahun termasuklah kejatuhan kerajaan Najib, kes pendakwaan Najib di mahkamah sehinggalah sabitan bersalah.

“Juga kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang disebabkan oleh konspirasi “Langkah Sheraton” selepas 22 bulan, dan negara kita berhadapan dengan pemerintahan tidak sah dan kakistokratik yang membawa bersamanya gelombang kedua dan ketiga wabak Covid-19.

“Matlamat “Selamatkan Malaysia” daripada sebuah trajektori kleptokratik, kakistokratik, dan sebuah negara gagal ini kekal relevan dan mendesak.

“Cabarannya adalah sama ada kita mampu untuk memberikan inspirasi kepada semua rakyat Malaysia untuk bersama ‘Selamatkan Malaysia’ selepas kegagalan usaha menyelamatkan Malaysia sebelum ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Catat Komen

Shahril Hamdan tegur Bersatu, usahlah pusing cerita dakwa Umno pula yang cetus masalah

 PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan meminta Bersatu tidak menuduh Umno mencetuskan masalah, sebaliknya beliau mempersoalka...