Selasa, 10 November 2020

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 mula menurun, kata Noor Hisham

 PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, nilai kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro mula menurun berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Ro (R naught) digunakan untuk mengira kepantasan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, Ro berada di tahap 2.2 pada permulaan gelombang ketiga Covid-19, iaitu pada September, namun kini nilai kebolehjangkitan adalah sekitar 0.95.



Katanya, walaupun berlaku lonjakan besar dalam kes yang dilaporkan pada 24, 26 Oktober dan Sabtu lalu, kes pada hari-hari berikutnya berada di bawah unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) berdasarkan pengiraan Ro.

“Namun, kami masih harus mengambil semua langkah berjaga-jaga. Kami berharap dapat menurunkan Ro ke paras 0.5 hingga 0.6.

“Ketika PKPB pertama kali dilaksanakan di Selangor, ada banyak bantahan. Tetapi ia adalah langkah awal kerana Ro yang tinggi dan kepadatan dan mobiliti penduduk,” katanya pada sidang media hari ini.

Noor Hisham berkatam mengehadkan pergerakan orang ramai sangat penting kerana virus itu sudah ada dalam kalangan masyarakat dan boleh menular tanpa disedari.

Beliau berkata trend kes Covid-19 di Selangor baru-baru ini nampaknya menyebabkan Negeri Sembilan mencatat lonjakan 260 kes hari ini.

“Lebih cepat keluk kes Covid-19 dapat diratakan, semakin cepat negeri-negeri di bawah PKPB dapat kembali ke perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP),” katanya.

Dalam pada itu Noor Hisham berkata, buat masa ini belum ada vaksin untuk Covid-19.

“Kami hanya melakukan intervensi kesihatan masyarakat.

“Kementerian Kesihatan dan kerajaan tidak dapat menghalang jangkitan tanpa kerjasama orang ramai,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/09/kadar-kebolehjangkitan-covid-19-mula-menurun-kata-noor-hisham/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Terbaru! DAP namakan Adly calon Ketua Menteri Melaka

 Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pak...