Ahad, 15 November 2020

Kenyataan Menteri Kewangan hambar, berbau ugutan kata Anwar

Kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa Kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan disifatkan sebagai hambar dan berbaur ugutan.

Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyifatkan kenyataan Tengku Zafrul itu sebagai sebahagian dari perancangan untuk mengenepikan suara majoriti Ahli Parlimen.




“Menteri Kewangan membayangkan sekiranya Belanjawan 2021 yang dibentang kerajaan Perikatan Nasional tidak diluluskan, maka ia tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan akan mengesankan para petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi COVID-19.

“Saya fikir ini satu kenyataan yang bersifat hambar dan berbaur ugutan serta sebahagian dari rencana untuk mengenepikan suara majoriti ahli Parlimen,” kata Anwar.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau yakin ahli Parlimen mampu mengemukakan belanjawan atau pindaan yang lebih baik untuk kepentingan rakyat.

“Seperti mana yang saya tegaskan tatkala membahaskan belanjawan di Parlimen, soal emolumen penjawat awam, perbelanjaan mengurus dan utamanya perbelanjaan untuk barisan hadapan serta kelengkapan perubatan dan kesihatan tetap dipertahankan.

“Saya ulangi gesaan untuk kerajaan teliti semula Belanjawan 2021. Pembangkang hanya mendukung sekiranya ia benar-benar belanjawan untuk memerangi COVID-19,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul semalam berkata, Kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi COVID-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan.

“Bagi saya, kalau belanjawan ini dapat menolong negara kita, jadi tiada sebab untuk belanjawan ini tidak diluluskan dan ditolak (Dewan Rakyat).

“Kalau ditolak, dari segi ekonominya kita tidak dapat bayar komitmen kerajaan termasuk untuk membayar bantuan kepada rakyat,” katanya.

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul pada 6 November lalu merupakan belanjawan terbesar dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM322.5 bilion.-SM

https://suaramerdeka.com.my/kenyataan-menteri-kewangan-hambar-berbau-uguan-anwar/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Najib balun lagi dan lagi kerajaan PN, Sektor perkilangan, pembinaan dibenar beroperasi punca kes Covid-19 naik

 KERAJAAN sepatutnya menjangka lebih awal untuk menyekat operasi sektor perkilangan dan pembinaan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Perge...