Khamis, 26 November 2020

Ku Li cadang tukar kerajaan, tapi itu tak berlaku - Tun Mahathir

 KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini mendedahkan bahawa beliau pernah diberitahu Tengku Razaleigh Tengku Hamzah bahawa Ahli Parlimen Gua Musang itu boleh mencari bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk menukar Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, jelas Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, apa yang berlaku adalah sebaliknya, dan ketika ini Putera dari Kerabat Kelantan itu dilihat sedang berusaha untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai legitimasi (keabsahan).



“Dia (Tengku Razaleigh) adalah di sebelah kerajaan. Dia mempunyai cadangan kononnya untuk kita tukar kerajaan.

“Dia berpendapat bahawa dia boleh cari cukup orang daripada pihak kerajaan untuk keluar daripada kerajaan. Tetapi benda itu tak berlaku,” katanya dalam program khas Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terbitan Astro AWANI, pada Rabu malam.

Pada 16 Oktober lepas, sumber memaklumkan kepada Astro AWANI bahawa Tengku Razaleigh, lebih dikenali sebagai Ku Li, secara terbuka telah menyatakan kepada Dr Mahathir bahawa beliau telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin.

Menurut sumber, perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh ahli kerabat Kelantan itu kepada Dr Mahathir, dalam satu pertemuan makan malam antara kedua-dua pemimpin politik veteran berkenaan di kediaman Ku Li, kira-kira sebulan yang lepas.

Pada 23 November lepas, Ku Li telah menulis sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bahawa tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan masa kini tidak dapat ditentukan.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu menjelaskan, mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan, akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

https://www.astroawani.com/berita-politik/ku-li-cadang-tukar-kerajaan-tapi-itu-tak-berlaku-tun-mahathir-270140?fbclid=IwAR1qEXRrAGRjREmCaVL0cSMwWZZbekLuASMgj2VNcrmKcy7XjOBwt-OfGck

Tiada ulasan:

Catat Komen

Pemimpin Umno ada kes mahkamah jangan ugut keluar PN - Bersatu Kepong

Pemimpin Umno yang sedang melalui perbicaraan di mahkamah dinasihatkan supaya jangan melakukan ugutan politik mahu keluar daripada kerajaan ...