Isnin, 30 November 2020

TPM boleh kepada UMNO, tetapi terpulang PM

 ALOR GAJAH: Tiada masalah untuk mewujudkan semula jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan memberikan kerusi nombor dua itu kepada UMNO yang ketika ini bersama-sama membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof berkata, keputusan itu terletak di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.




Kata beliau, sekiranya langkah itu mampu mengukuhkan lagi kerajaan PN, seharusnya ia dibawa kepada perbincangan ke peringkat tertinggi termasuk bersama Muhyiddin.

“Secara peribadi saya tak nampak masalah (beri jawatan TPM kepada UMNO) kerana

kita adalah rakan untuk mentadbir urus (negara) tetapi terpulang kepada Perdana Menteri sebab beliau yang mewujudkan Kabinet dan melantik menteri.

“Saya tidak menidakkan apa yang disebut tetapi kalau itu dilihat dapat memperkasa PN maka kita harus berbincang secara lebih mendalam,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, asnaf dan warga emas Parlimen Alor Gajah di Durian Tunggal, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini berhubung kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangkitkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Dalam pada itu, ujar Mohd. Redzuan, meskipun UMNO dilihat mempunyai bilangan kerusi yang banyak dalam PN, namun peranan dan fungsi Bersatu tidak boleh dikesampingkan.

“Hari ini banyak kritikan (terhadap parti) yang kita dengar tapi kita tak mengendahkannya dan kita jalan terus sebab objektif kita sudah jelas iaitu untuk membantu rakyat terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan sebulat suara Perhimpunan Agung Tahunan parti itu semalam, kata beliau, langkah Bersatu meminda Perlembagaan untuk bukan bumiputera mencerminkan keterbukaan mereka.

“Malah, keputusan memansuhkan jawatan Pengerusi juga tepat kerana sudah lama kita berpendapat tidak wajar satu kapal ada dua nakhoda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Komen

Terbaru! DAP namakan Adly calon Ketua Menteri Melaka

 Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pak...