Isnin, 21 Disember 2020

DAP tak pernah cadang tukar Anwar ketua pembangkang kata Kit Siang

 Veteran DAP Lim Kit Siang bertemu dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim pada hari Jumaat dan memberi jaminan kepimpinan DAP tidak pernah mencadangkan pertukaran ketua pembangkang parlimen.

MP Iskandar Puteri itu juga berkata dia terkejut dengan kenyataan terbaru Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution.



"Masa tidak menunggu sesiapapun, dan masa untuk membentuk sebuah konsensus kebangsaan yang baru adalah sekarang memandangkan Malaysia mesti diselamatkan daripada nasib menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040," tambahnya.

Ini, kata Lim supaya Malaysia tidak terjerumus menjadi negara gagal seperti Zimbabwe atau Venezuela.

"Terdapat segolongan mereka yang tidak mahu wujudnya konsensus kebangsaan yang baru ini dan mereka cuba sedaya upaya untuk mensabotaj usaha ini.

"Semasa saya berjumpa dengan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim pada hari Jumaat yang lepas, saya telah memberikan jaminan kepada beliau yang pimpinan DAP tidak pernah mencadangkan penukaran ketua pembangkang, tetapi, kumpulan pembangkang perlu mara ke hadapan dan arah yang baru yang berfokuskan kepada keperluan untuk menguatkan dan merapatkan semua blok pembangkang dalam negara kita dengan sebuah konsensus kebangsaan yang baharu.

"Saya terkejut dengan kenyataan terkini Setiausaha Agung Pakatan Harapan (Saifuddin Nasution), kerana beliau perlulah bercakap bagi pihak ketiga-tiga parti dalam PH dan bukannya untuk hanya sebuah parti politik.

"Setiap hari, kita dikejutkan dengan bukti baru yang menunjukkan negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal menjelang 2040," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Ini berlaku setelah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan presiden Amanah, Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan bersama berkata kegagalan pembangkang menolak Belanjawan 2021 sekali gus menjatuhkan PN mengajar PH agar mereka tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang atau membuang masa dengan ahli parlimen oportunis.

Sejak itu, beberapa pihak daripada Amanah mengetengahkan gagasan gabungan besar untuk menyatukan kembali pembangkang Malaysia.

Sementara itu, AMK Selangor berkata walaupun terbuka untuk membincangkan kemungkinan tersebut tetapi menegaskan menolak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ke dalam gabungan besar berkenaan.

Bagaimanapun, semalam Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata dia percaya ketua pembangkang yang juga presiden partinya, Anwar  masih mampu mendapatkan nombor MP yang diperlukan bagi membentuk kerajaan baru.

Saifuddin berkata Anwar sentiasa memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara itu kepada kepimpinan tertinggi PH.

"Saya tidak bersedia berkongsi jumlahnya (SD). Saya tahu siapa yang kita jumpa, berapa yang kita dapat dan sebagainya," katanya.

Saifuddin juga berkata presiden PKR telah diberi mandat untuk mendapatkan jumlah sokongan bagi membentuk kerajaan dan tidak seharusnya dipersalahkan.

"PH telah calonkan Anwar (sebagai ketua pembangkang) untuk ambil semula mandat (kerajaan). Bukan dosa untuk seorang yang telah dicalonkan berusaha," katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/555921

Tiada ulasan:

Catat Komen

Terbaru! DAP namakan Adly calon Ketua Menteri Melaka

 Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pak...