Isnin, 14 Disember 2020

Dr M, Ku Li mahu kembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia lagi sekali

 Dua ahli politik veteran negara hari ini mengumumkan berganding bahu untuk memberikan sumbangan kepada negara tetapi tidak memberikan penjelasan terperinci berhubung rancangan mereka.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, 95 dan Tengku Razaleigh Hamzah, 83, pada satu sidang media bersama mengatakan mereka membuat pengumuman menjelang pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 untuk bacaan kali ketiga esok yang bermaksud sekiranya gagal kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang.



Dua pemimpin yang pernah “berentap” untuk jawatan tertinggi Umno pada tahun 1987 sehingga menyebabkan parti Melayu itu berpecah mengatakan mereka mahu memberikan sumbangan kepada negara untuk menggembalikan status Malaysia sebagai “harimau Asia”.

Mahathir dan Razaleigh juga menyeru semua 220 ahli Parlimen membuat undian esok tanpa memikirkan kepentingan parti dan kedudukan masing-masing.

Sebaliknya, mereka menggesa semua ahli Parlimen membuat keputusan demi kebaikan rakyat yang menerima impak negatif selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno berkata, beliau berharap wakil rakyat dapat bekerjasama untuk membangunkan semula negara kepada zaman kegemilangannya sehingga dikenali sebagai harimau Asia.

Manakala, Mahathir menegaskan kerajaan hari ini mempunyai banyak konflik yang perlu diselesaikan segera yang menyebabkan banyak dasar-dasar kerajaan tidak boleh dijalankan dengan baik.

“Kerajaan pun ada kelebihan dua undi sahaja. Ahli Parlimen pun sibuk dengan politik sahaja.

“Menteri-menteri dapat gaji jauh lebih besar berbanding dulu, (sebab itu) masing-masing nak jadi menteri, timbalan menteri kerana gaji lebih besar. Untuk duit sahaja,” katanya dalam satu sidang media bersama di Yayasan Al Bukhary, Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Ku Li menegaskan beliau tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) belum dimuktamadkan.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Melampau tuduh Umno derhaka kepada Raja, adakah Annuar memang berniat jahat?

 Annuar Musa menuduh Umno menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu dinyatakan dalam suratnya kepada Setiausaha Agung Umno. Annua...