Rabu, 9 Disember 2020

Hubungan BN, PN 'carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua' – Takiyuddin

 Hubungan parti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional diibaratkan sebagai ‘carik bulu ayam akhirnya bercantum jua’.

Perumpamaan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan yang berkongsi gambar pertemuan beliau bersama Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Tan Sri Annuar Musa di media sosial hari ini.

Carik bulu ayam akhirnya bercantum jua merupakan peribahasa Melayu bermaksud perselisihan sesama ahli keluarga adalah merupakan perkara biasa kerana akhirnya hubungan tersebut akan kembali pulih.

Takiyuddin dalam hantarannya itu meminta Barisan Nasional dan Perikatan Nasional terus berpadu demi kebaikan rakyat. Jelas beliau tidak ada sebarang masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Semua agama dan ketamadunan menganjurkan konsultasi atau musyawarah. Tiada kusut yang tak boleh dirungkai.

“Carik bulu ayam akhirnya bercantum jua. Pemimpin adalah cerminan rakyatnya. Bersatulah BN/PN demi rakyat,” minta Takiyuddin.

Ketika ini hubungan UMNO yang merupakan komponen dalam Barisan Nasional dengan Pas dan Bersatu agak tegang berikutan kemelut politik yang berlaku di Perak.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu hilang sokongan sebagai menteri besar Perak selepas Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO mengusulkan undi percaya kepada beliau Jumaat lalu.

Usul tersebut menyaksikan 48 ahli Parlimen termasuk dari UMNO mengundi tidak menyokong usul tersebut sekaligus menyebabkan Ahmad Faizal hilang kepercayaan majoriti ADUN sebagai menteri besar.



Kemelut kedudukan calon menteri besar masih belum lagi selesai sehingga hari ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telahpun menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan mempersembah nama calon menteri besar dari parti itu semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dikatakan antara individu yang akan menduduki kerusi Menteri Besar Perak Ke-14.

Dijangkakan ADUN Pas dan Bersatu juga akan menghadap Sultan Nazrin Shah hari ini bagi menyatakan pandangan dan sokongan mereka dalam isu tersebut.

Beberapa pemimpin DAP, PKR dan Amanah mengeluarkan kenyataan mereka sanggup memberi sokongan kepada calon UMNO dan bekerjasama dengan parti itu untuk mentadbir Perak

Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada Barisan Nasional 25, Bersatu 5, Pas 3, DAP 16, PKR 3, Amanah 5, Gerakan 1 dan Bebas 1.-SM

https://suaramerdeka.com.my/hubungan-bn-pn-carik-carik-bulu-ayam-takiyuddin/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Suhakam: Vaksin percuma perlu rangkumi banduan, warga asing

 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan memberikan vaksinasi percuma kepada golongan rentan serta mereka yang berada dala...