Jumaat, 18 Disember 2020

Hubungan Dr M-Anwar sukar diperbaiki, kata penganalisis

 PETALING JAYA: Berikutan setahun kemelut dan sengketa, seorang penganalisis politik berkata, hubungan antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim sukar diperbaiki.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania menolak kemungkinan kerjasama politik antara dua pemimpin itu kerana Mahathir secara jelas tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri, iaitu matlamat yang kekal sebagai cita-cita PKR.



“Jelas, biar apa pun mereka ucapkan secara terbuka, Mahathir tidak akan membenarkan Anwar menjadi perdana menteri.

“Selagi Mahathir masih hidup, beliau akan sedaya upaya menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

“Jadi, saya rasa Anwar sedar bahawa mustahil bagi mereka untuk bekerjasama semula,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata, Anwar membina kedudukannya dalam PKR tanpa calon pengganti, dan akan kekal di kerusi itu untuk beberapa lama lagi.

Katanya, keadaan yang sama boleh dilihat dalam kalangan pembangkang secara umum, tanpa calon pemimpin yang sedia akan menggantikan pemimpin sedia ada, seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Terlalu awal untuk meramalkan siapakah yang mampu mengetuai pembangkang untuk memenangi pilihan raya umum ke-15.

“Presiden Warisan Shafie Apdal merupakan calon yang menarik, tetapi kuasa politik di Malaysia Barat, terutamanya orang Melayu tidak bersedia menerima seorang perdana menteri dari Malaysia Timur.

“Saya fikir, umumnya beliau boleh diterima sebagai timbalan perdana menteri, tetapi beliau masih perlu berusaha menyakinkan masyarakat Melayu di Malaysia Barat bahawa beliau mampu mengetuai negara.”

Semalam, Lim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen “oportunis” daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperalatkan mereka.

Sebaliknya kata mereka, blok pembangkang perlu melakukan “reset”, yang boleh dilihat sebagai satu lagi halangan kepada cita-cita Anwar.

Mereka berkata, lebih banyak masa dan sumber perlu digunakan untuk sekutu yang bergelut untuk perjuangan bersama.

Baca selanjutnya https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/18/hubungan-dr-m-anwar-sukar-diperbaiki-kata-penganalisis/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Melampau tuduh Umno derhaka kepada Raja, adakah Annuar memang berniat jahat?

 Annuar Musa menuduh Umno menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu dinyatakan dalam suratnya kepada Setiausaha Agung Umno. Annua...