Selasa, 8 Disember 2020

Kemelut kerajaan baharu Perak berterusan? PAS arah ADUNnya batal menghadap Sultan Perak

IPOH: PAS Pusat mengarahkan ketiga-tiga ADUNnya membatalkan menghadap Sultan Perak, yang pagi tadi mengarahkan mereka datang menghadapnya hari ini berhubung hal calon menteri besar baharu.

Pembatalan itu sekaligus mencetuskan spekulasi kemelut penubuhan kerajaan baharu melibatkan UMNO, PAS, dan PPBM masih berterusan.

Perkembangan terbaru ini juga menimbulkan kemungkinan sidang Dewan Negeri Perak yang dijadualkan esok terpaksa ditangguhkan, kerana menteri besar masih belum diputuskan.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, sebelum ini berkata parti itu tidak akan menyertai pembentukan kerajaan baharu di Perak susulan penyingkiran Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, sebagai menteri besar menerusi usul percaya yang dibawa UMNO.



Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengarahkan semua tiga ADUN PAS menghadap baginda hari ini bagi membuktikan sokongan mereka untuk membentuk pentadbiran baharu, selepas pertemuan dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pagi tadi.

Selepas pertemuan itu, Zahid mengumumkan kepada pemberita calon partinya sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk diangkat sebagai menteri besar Perak baharu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, ketika ditanya mengenai sokongan kepada calon pilihan Umno bagaimanapun berkata mereka masih menunggu keputusan daripada PAS Pusat.

Sementara itu, tiga pemimpin Pakatan Harapan Perak tiba di Istana Kinta petang tadi bagi memenuhi titah menghadap.

Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, dan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, tiba pada 2.55 petang tadi, diikuti Pengerusi Amanah, Asmuni Awi pada 3.05 petang.

Turut dipanggil menghadap hari ini adalah lima ADUN PPBM.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/08/pucuk-pimpinan-pas-arah-adun-batal-menghadap-sultan-nazrin/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Suhakam: Vaksin percuma perlu rangkumi banduan, warga asing

 Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan memberikan vaksinasi percuma kepada golongan rentan serta mereka yang berada dala...