Isnin, 7 Disember 2020

Malaysia perlu segera miliki kerajaan stabil - Mat Hasan

 Drama politik dan wabak Covid-19 yang melanda pada tahun 2020 bukan saja mengakibatkan ekonomi negara suram, malah meletakkannya di tahap paling parah dalam sejarah negara, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.

"Malaysia, pada tahun 2020, menyaksikan pelbagai drama politik yang terus menyuramkan lagi iklim pelaburan. Pandemik Corona terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.

"Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan.

"Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Cambodia terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh kebelakang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata negara membuang banyak masa dan peluang pada tahun 2020 dan oleh itu negara ini mesti segera memulakan pemulihan dengan agenda ekonomi berani, mantap dan inklusif.

"Agenda 'reset' ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan inovasi serta membuka pasaran dengan lebih agresif.

"Untuk itu, Malaysia mesti segera mempunyai kerajaan yang stabil, kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang ‘revolutionary’. 

"Pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi terus pegun dan terencat sebegini," katanya.

Drama politik negara bermula sejak penghujung Feb apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad selepas memenangi Pilihan Raya Umum pada 2018, tumbang.

Ini selepas Mahathir meletakkan jawatan kerana tidak setuju dengan tindakan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengeluarkan Bersatu daripada PH melalui "Langkah Sheraton", yang turut mendapat sokongan sebahagian pemimpin Bersatu dan beberapa pemimpin PKR yang diketuai Azmin Ali.



Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dan menubuhkan kerajaan bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam masa sama, ekonomi diburukkan dengan wabak Covid-19 yang melanda negara, menyaksikan perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac.

Kerajaan hari ini juga dilihat tidak stabil dengan Muhyiddin memiliki majoriti tipis di Dewan Rakyat. Keadaan ini diburukkan lagi apabila Umno dan Bersatu yang berada dalam PN dilihat tidak sehaluan.

Terbaru, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu digulingkan apabila gagal mendapat sokongan menerusi undi percaya yang dikemukakan terhadapnya dalam Dewan Undangan Negeri.

https://www.malaysiakini.com/news/554061

Tiada ulasan:

Catat Komen

Terbaru! DAP namakan Adly calon Ketua Menteri Melaka

 Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pak...