Ahad, 6 Disember 2020

[Menakutkan] Covid-19 di Malaysia diramal teruk

 MINGGU lalu, rakyat di negara ini menerima khabar menggembirakan apabila Malaysia dilaporkan akan mendapat bekalan sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.

Vaksin tersebut difahamkan akan melalui penghantaran pertama sebanyak sejuta dos yang akan dibuat pada suku pertama tahun hadapan.

Bekalan vaksin itu akan diperoleh daripada syarikat farmaseutikal, Pfizer melalui perjanjian pembelian awal yang ditandatangani kerajaan pada 24 November lalu dan akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.



Ketika semua orang begitu teruja menantikan kemunculan vaksin Covid-19, ramalan daripada seorang pakar dari China pula amat mengejutkan.

“Menurut pakar epidemiologi merangkap penasihat perubatan kerajaan China, Zhong Nanshan, jumlah kes penularan Covid-19 di Malaysia dijangka menjadi lebih serius pada tahun hadapan.

“Dijangkakan pada 25 Januari 2021, jumlah kes Covid-19 di Malaysia akan mencecah sehingga 187,997 kes,” kata Zhong seperti dilaporkan dalam Sin Chew Daily.

Zhong, seorang pakar yang dikenali dunia kerana kejayaannya memerangi wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003 dan kecemerlangannya menghadapi beberapa wabak yang serius seperti H1N1, H5N6, H7N9 serta MERS.

“Kita harap kerajaan memandang serius kenyataan Zhong walaupun berbentuk ramalan. Sudah banyak kritikan dan saranan dibuat supaya pihak berkuasa menangani masalah penularan dalam kalangan pekerja warga asing.

“Segala sumber yang terhad itu perlu ditumpukan pada kluster yang berisiko tinggi ini,” tulis Sin Chew Daily.

Sebagai contoh, kata akhbar Cina itu lagi, Kluster Teratai yang berlaku di tempat tinggal pekerja kilang Top Glove di Meru, Klang, Selangor sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Begitu juga tapak projek pembinaan yang telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan yang boleh menular wabak Covid-19 dengan mudah.

“Kerajaan telah melakukan banyak pemeriksaan terhadap pekerja di kawasan berkenaan tetapi belum menampakkan satu sistem yang menghasilkan keberkesanan yang diharapkan,” kata akhbar tersebut.

Bagi mengelak kes penularan lebih serius, Malaysia seharusnya mengambil pendekatan sama seperti China, Taiwan, Thailand dan Vietnam yang berjaya mematikan rantaian wabak dengan berkesan.

“Begitu juga dengan negara lain seperti Korea, Singapura, New Zealand dan Australia yang berjaya melandaikan lekuk jangkitan dalam tempoh yang pendek. Peraturan kuarantin yang dilaksanakan terhadap pesakit juga membawa hasil diharapkan.

“Menurut data dikeluarkan Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat, sehingga kini jumlah kes Covid-19 sudah mencatat lebih 63 juta kes di seluruh dunia. Berbanding pada 14 Jun lalu, jumlahnya hanya lapan juta kes. Kadar peningkatannya sebanyak 7.85 kali ganda hanya dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

“Di Malaysia, jumlah kes ketika ini lebih 68,000 kes. Sekiranya dalam tempoh dua bulan akan datang, jumlahnya meningkat hampir 190,000 kes seperti diramalkan Zhong, jumlah kadar peningkatan adalah hanya lebih kurang 2.95 kali ganda.

“Oleh itu, perangkaan sehingga 190,000 kes di Malaysia pada hujung Januari 2021 mungkin agak munasabah. Pakar dari China itu bukan cakap sembarangan, sebaliknya memberikan nasihat secara ikhlas,” tulis Sin Chew Daily.

Usaha mematikan rantaian dan menerima suntikan vaksin adalah antara cara paling berkesan untuk melawan penularan Covid-19.

“Akhirnya, vaksin tetap menjadi penyelamat kepada kita semua. Kita tidak perlu memikirkan keselamatan vaksin ini kerana selain vaksin, seluruh dunia mungkin sudah tiada cara yang lebih berkesan lagi untuk membunuh Covid-19,” jelas akhbar tersebut.

https://www.sinarharian.com.my/article/113482/KOLUMNIS/Covid-19-di-Malaysia-diramal-teruk?fbclid=IwAR1fVZouna1LMfa2-QGebEuXW-yY9AB3H_Cvrd6u4uNCYeO4Mb0OPJBukZA

Tiada ulasan:

Catat Komen

Melampau tuduh Umno derhaka kepada Raja, adakah Annuar memang berniat jahat?

 Annuar Musa menuduh Umno menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu dinyatakan dalam suratnya kepada Setiausaha Agung Umno. Annua...