Rabu, 16 Disember 2020

Mustahil UMNO-DAP bekerjasama sekarang kata penganalisis

 PETALING JAYA: Seorang penganalisis menolak kemungkinan wujud UMNO dan DAP akan menjalin kerjasama politik rasmi dalam masa terdekat.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia percaya tidak akan ada kerjasama seperti itu, walaupun terdapat pertukaran kepimpinan dalam salah satu atau kedua-dua parti itu.

Beliau berkata, salah satu alasan UMNO menolak kerjasama dengan DAP kerana ia tidak boleh bersama Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan pemimpin tertinggi lain dari parti yang dikuasai orang Cina itu.



Beliau berkata, pertukaran kepimpinan mungkin hanya dapat meredakan ketegangan.

“Saya tidak melihat kemungkinan kerjasama politik antara parti ini dalam waktu terdekat, sekurang-kurangnya tidak dalam lima tahun ini.”

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Puad Zarkashi baru-baru ini menggesa partinya tidak perlu terlalu “rigid” dalam menolak kerjasama dengan parti lain, termasuk DAP dan ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, slogan “No Anwar, no DAP” mungkin tidak relevan sepanjang masa kerana senario politik boleh berubah.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, gesaan Puad itu berisiko mendapat kecaman ahli UMNO.

“Ahli UMNO didoktrin dengan pemikiran DAP anti-Melayu sejak DAP ditubuhkan pada 1966. Mereka juga didoktrin dengan pemikiran Anwar ialah pengkhianat perjuangan Melayu sejak beliau dipecat UMNO pada 1998.”

Bekas ahli akademik, Azmi Hassan berkata, UMNO menolak kerjasama dengan Anwar kerana presiden PKR itu terlalu bergantung kepada sokongan DAP untuk bertahan dalam politik.

“Bekerjasama dengan Anwar umpama menyokong DAP.”

Namun, beliau bersetuju dengan Puad yang saat-saat luar biasa memerlukan tindakan luar biasa.

“Siapa sangka 10 bulan lalu UMNO dan PPBM akan bekerjasama, selepas saling bersaing dalam kempen pilihan raya umum ke-14?

“Jadi, mengapa mengehadkan diri untuk bekerjasama dengan DAP, terutama ketika tiada siapa yang boleh meramalkan keputusan PRU15? Yang pasti, tiada parti dapat membentuk sebuah kerajaan tanpa gabungan.”

FMT https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/16/umno-dap-mustahil-bekerjasama-sekarang-kata-penganalisis/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Shahril Hamdan tegur Bersatu, usahlah pusing cerita dakwa Umno pula yang cetus masalah

 PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan meminta Bersatu tidak menuduh Umno mencetuskan masalah, sebaliknya beliau mempersoalka...