Khamis, 31 Disember 2020

Tanpa saya, PH takkan dapat sokongan Melayu, kata Dr M

 Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mendakwa blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) mungkin tidak dapat menarik sokongan Melayu sekiranya tidak bekerjasama dengannya pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau mengambil contoh pembabitannya dengan PH pada 2018, yang katanya membantu menguatkan sokongan orang Melayu kepada pembangkang, lalu membawa kepada kemenangan ke atas Barisan Nasional.

“Saya bantu pembangkang menang (pada PRU-14) kerana saya tarik sokongan orang Melayu. Anda tahu DAP, yang tidak pernah peroleh lebih daripada 18 kerusi, dapat 42 kerusi disebabkan sokongan orang Melayu yang saya tarik itu.



“Jadi, kalau saya diketepikan, anda akan mengetepikan sokongan orang Melayu. Anda akan kalah,” katanya dalam temubual dengan China Press.

Pakatan Rakyat (PR) memenangi 89 kerusi pada PRU-13 dengan 38 daripadanya dimenangi DAP. Namun, dengan penyertaan PPBM, gabungan itu menang 113 kerusi Parlimen dalam kempen 2018.

Walaupun sokongan orang Melayu kepada PH membantu parti-parti komponennya bersaing di kawasan-kawasan ramai pengundi Melayu, ia tidak dapat menembusi sepenuhnya nusa teras Melayu, dengan PPBM hanya menang 13 kerusi.

Sementara itu, Mahathir berkata mahu bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, tetapi ketua pembangkang itu menolak senua cadangannya, walaupun DAP dan Amanah menunjukkan minat.

“Apa yang saya lakukan padanya? Saya yang membebaskannya (dari penjara), malah melepaskan jawatan walaupun belum tiba masanya.

“Saya tidak menghalangnya, saya mahu bekerjasama dengannya. Saya beritahu: ‘Baiklah, jika anda tidak sukakan saya, beri tempoh enam bulan kerana tanpa sokongan Melayu, pembangkang tidak boleh menang.’”

Kerajaan PH tumbang selepas hanya 22 bulan pada awal 2020 selepas Mahathir meletak jawatan perdana menteri, yang membawa kepada PPBM keluar daripada gabungan itu, selain beberapa ahli politik berhijrah ke parti lain.

Mahathir akhirnya disingkirkan dari parti itu sebelum membentuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Mahathir berkata, Anwar mesti dapatkan sokongan secukupnya terlebih dahulu jika mahu menjadi perdana menteri.

“Namun lihatlah pada rekod, berapa kali beliau dakwa ada sokongan? Sebaliknya, beliau tidak mempunyai sokongan,” kata Mahathir.

Beliau berkata, walaupun Anwar mendakwa mempunyai bilangan mencukupi untuk membentuk kerajaan pada September, Ahli Parlimen Port Dickson itu jelas berkata tidak akan menerimanya.

Desas-desus mengenai gabungan parti pembangkang yang besar kembali diperkatakan sejak beberapa minggu ini.

Amanah menyeru suatu pakatan yang menggabungkan semua pembangkang, manakala Pemuda PKR Selangor terbuka membincangkan kemungkinan itu, dengan syarat tidak termasuk Mahathir.

Anak Mahathir, Mukhriz, yang juga presiden penaja Pejuang, pada Selasa berkata ahli politik muda patut ditampilkan pada pilihan raya umum akan datang, bukannya bekas perdana menteri berusia 95 tahun itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/31/tanpa-saya-ph-takkan-dapat-sokongan-melayu-kata-dr-m/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gempar] DAP pecat Adun Malim Nawar

 DAP hari ini memecat salah seorang wakil rakyatnya di Perak. Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Ch...