Selasa, 10 Mac 2020

Kabinet Muhyiddin 'terdesak' sangat, kata Anwar

Presiden PKR Anwar Ibrahim menyifatkan kabinet baru diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai 'terdesak'.

Anwar berkata demikian sebagai merujuk 70 anggota yang dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri semalam.

"Kabinet ini dilihat terdesak (kerana) dengan memberikan jawatan dengan mudah kepada seramai kira-kira 70 orang menteri dan timbalan menteri berbanding PH.




"Kabinet yang dipilih bukan dengan restu serta mandat rakyat kerana rakyat tidak memilih kerajaan ini," katanya dalam klip video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan 31 menteri dan 39 timbalan menteri akan membarisi kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Rata-rata pemimpin PH mengkritik kabinet Muhyiddin sebagai terlalu ramai, dengan membandingkan kabinet di bawah kerajaan sebelum ini yang hanya mempunyai 56 ahli.


Dalam hantaran Facebook berasingan, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mempersoalkan dakwaan yang mengatakan kabinet PN sebagai "bersih".

"Saya nak tanya ini, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mana yang kata dan jelaskan barisan ini bersih?

"Apakah aspek dan sisi yang diambilkira oleh SPRM dengan mengisytiharkan kabinet ini ‘bersih’?

"[...] Yang helikopter hilang itu, besar kes dia. Yang lain semua terpalit," katanya, dipercayai merujuk kepada Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein.

Media sebelum ini melaporkan pembelian helikopter tentera bernilai RM300 juta yang dibuat ketika pentadbiran BN yang masih belum diterima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga kini.


Sebanyak enam buah helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan syarikat gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat, McDonnel Douglas dipesan ketika Hishamuddin menjadi menteri pertahanan.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 9 Mac lalu mendedahkan bahawa beliau dimaklumkan barisan baru menteri hanya terdiri dari individu yang melepasi tapisan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Asri menjelaskan bahawa makluman itu diberitahu oleh Muhyiddin sendiri, sewaktu perbualan makan malam di rumah presiden Bersatu itu.

https://www.malaysiakini.com/news/514059

Anwar yang akan mengetuai PH selepas ini, bukan Mahathir kata Wan Azizah

Anwar Ibrahim dan bukannya Dr Mahathir Mohamad yang akan mengetuai PH dalam pilihan raya akan datang, kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam wawancara bersama Bloomberg.

Bagaimanapun bekas timbalan perdana menteri itu berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama parti komponen PH terlebih dahulu.




"Kita akan adakan mesyuarat, tetapi saya fikri kemungkinan besar Anwar (yang akan dicalonkan)," kata Wan Azizah seperti dipetik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan siapakah yang akan mengetuai PH - sama ada Anwar atau Mahathir - jika dan apabila pilihan raya diadakan.

Antara kritikan utama pemimpin PH selepas Muhyiddin menjadi perdana menteri baru adalah jumlah sebenar anggota parlimen yang menyokongnya.

Pilihan raya mengejut mungkin boleh dilakukan jika Muhyiddin tidak mendapat sokongan yang cukup jika ada usul undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen, yang dijadual mula bersidang 18 Mei ini.


Mengambil kira perkembangan semasa, Wan Azizah yang juga pengerusi Majlis Penasihat PKR, berkata PH bersedia dengan sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya mengejut.

"Kita perlu tunggu dan lihat perkembangan.

"Kerana semua kelihatan tak menentu, begitu rapuh," katanya, sambil menambah beliau tidak menyimpan harapan tinggi terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar menjadi isu politik utama sepanjang kira-kira 22 bulan pentadbiran PH yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya.

Mahathir membayangkan beliau akan meletakkan jawatan selepas sidang Apec pada November ini, manakala penyokong Anwar menggesa ia dilaksanakan pada Mei.


Bagaimanapun terdapat beberapa pihak dalam gabungan itu - termasuk timbalan presiden PKR Azmin Ali - yang menggesa Mahathir memegang jawatan itu sehingga tamat penggal.

Azmin dan sejumlah anggota parlimen PKR yang menyokongnya serta Bersatu akhirnya keluar PH dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri.


Dalam wawancara yang disiarkan hari ini, Wan Azizah turut ditanya sama ada beliau terbuka untuk menerima kembali mereka yang keluar daripada PH.

Wan Azizah menjawab: "Dalam sebarang keadaan, pengkhianatan sukar diterima. Pengkhianatan tetap pengkhianatan."

https://www.malaysiakini.com/news/514062

Saya masih sabar, nak kutuk saya lagi buat apa, soal Anwar kepada Mahathir

Presiden PKR Anwar Ibrahim mempersoalkan keperluan untuk terus mengkritiknya, dipercayai ditujukan kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata demikian ketika mengimbas kembali keruntuhan kerajaan PH dan apa yang berlaku selepas itu, dalam satu majlis di rumahnya di Bukit Segambut, Kuala Lumpur semalam.


Foto - FB Anwar Ibrahim


Beliau berkata, terdapat banyak dakwaan berkenaan siapa yang patut dipersalahkan atas apa yang berlaku, antaranya yang mengatakan beliau tergesa-gesa untuk memegang jawatan perdana menteri.

"Saudara tahu perjanjian (peralihan kuasa antara Mahathir dan Anwar) dibuat pada 2018. Sudah tandatangan semua.Ia tak ditunaikan (tetapi) saya tak bantah, terus sabar.

"Ada kawan cadang kalau boleh saya (dilantik) timbalan perdana menteri. (Mahathir jawab) 'Tak boleh'. Tak apa kita teruskan.

"Nak kutuk saya lagi buat apa?" kata Anwar.

Semalam The Sun melaporkan Mahathir berkata Anwar mencadangkan beliau menjadi timbalan perdana menteri jika Mahathir berjaya membentuk kerajaan baru.


Mahathir berkata cadangan itu dinyatakan dalam mesyuarat PH yang bersedia sekali lagi untuk menyokong pengerusi Bersatu itu, dalam usaha menggagalkan Muhyiddin Yassin daripada membentuk gabungan baru, yang kini dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Bagaimanapun Mahathir berkata beliau menolak cadangan Anwar dan mahukan Dr Wan Azizah Wan Ismail kembali menjadi timbalannya.

Baca seterusnya https://www.malaysiakini.com/news/513903

Hannah Yeoh, Marina bidas lantikan baru kementerian wanita kerajaan Perikatan

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh membidas lantikan baru untuk memimpin kementerian tersebut.

Dalam satu hantaran di Twitter, beliau berkata, bagaimanakah negara boleh membendung gejala perkahwinan bawah umur jika timbalan menterinya datang daripada parti Islam, PAS.



Petang tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumunkan pembentukan 26 kementerian termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.


Senarai Kabinet kali ini menyaksikan menteri pembangunan luar bandar dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Rina Harun dilantik sebagai menteri di Kementerian Wanita dan Keluarga bagi menggantikan KPWKM, sementara timbalan beliau adalah Siti Zailah Mohd Yusoff yang merupakan ahli Parlimen wanita kanan dari Rantau Panjang mewakili PAS.

Isu perkahwinan bawah umur hangat dibincangkan sejak Jun 2018, apabila seorang lelaki di Kelantan berusia 41 tahun mengahwini seorang budak perempuan berusia 11 tahun.

Di sebalik perdebatan itu, rata-rata pemimpin PAS tidak bersetuju dengan gesaan untuk menaikkan had umur minimum berkahwin kepada 18 tahun yang semakin mendapat sokongan susulan beberapa kes kanak-kanak dan remaja perempuan dikahwinkan dengan lelaki yang usianya 2 atau 3 kali ganda lebih tua daripada mereka.


Dalam perkembangan sama, aktivis masyarakat Marina Mahathir turut membidas lantikan Rina dan Siti Zailah.

“Kita boleh melupakan kemungkinan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh wanita,” katanya di Twitter.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/09/hannah-yeoh-marina-bidas-lantikan-baru-kementerian-wanita/

[Hot!] Jangan anggap PN kerajaan yang lemah – Razali

 KUALA LUMPUR – Jangan menganggap Perikatan Nasional (PN) sebagai satu kerajaan yang lemah atau tidak berwibawa. Ini kerana kerajaan PN tela...