Selasa, 24 Mac 2020

'Bukan masa untuk kedekut, beri setiap keluarga RM1,500 sebulan'

Pemuda Amanah mencadangkan supaya kerajaan memberikan bantuan RM1,500 sebulan kepada setiap isi keluarga, memandangkan terdapat ramai yang pendapatan mereka terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19.




Menurut timbalan ketuanya Shazni Munir Mohd Ithin, RM1,500 tersebut adalah jumlah minimum yang diperlukan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan jarak dekat dan bil utiliti.


“Seperti yang ditegaskan oleh pakar ekonomi, ini bukan masa untuk kedekut kerana kos kemelesetan dan ketiadaan punca pendapatan adalah lebih besar lagi.

“Kerajaan boleh pertimbang untuk dibuat agihan semula Belanjawan 2020 dan meletakkan prioriti belanja di sektor kritikal ketika ini.


“Ini boleh dilakukan dengan menyalurkan keluar belanja kementerian yang tidak utama kepada kementerian paling kritikal iaitu kementerian kesihatan dan juga kepada sektor-sektor penting yang dapat membantu rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Shazni juga mengingatkan supaya kerajaan tidak melupakan mereka yang berada dalam kumpulan ekonomi gig seperti pemandu e-hailing, pekerja sendiri (freelancer) dan mereka yang terdiri daripada peniaga kecil-kecilan di kaki lima.

Menurutnya, fokus kerajaan juga perlu diberikan kepada mereka tidak mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan juga tidak layak memohon Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).


“Kumpulan ‘gig economy’ seperti pemandu e-hailing misalnya, adakah berbaloi risiko yang perlu ditanggung penunggang Food Panda walaupun penghantaran makanan masih dibenarkan ketika ini?


“Itu tidak termasuk peniaga kecil-kecilan di kaki lima jalan serta di pasar-pasar malam. Ibarat telah jatuh ditimpa tangga, sekiranya tiada suntikan langsung daripada kerajaan dalam beberapa minggu ke depan, keadaan yang telah sedia buruk pastinya akan lebih menyukarkan kehidupan sehari-hari,” katanya.

Malaysiakini

Pecah-belahkan perpaduan Melayu, Islam kerja syaitan

 KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar pihak yang cuba memecah-belahkan perpadua...