Jumaat, 27 Mac 2020

Pakej rangsangan RM250 bilion bagus, tapi mahu bahas di Parlimen kata Anwar

GEORGE TOWN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim gembira dengan pakej rangsangan ekonomi terbaru berjumlah RM250 bilion untuk memerangi Covid-19, tetapi mahu ia diperhalusi di Parlimen.

Beliau berkata, ini bagi memastikan tiada kerugian atau ketirisan dan dana untuk golongan memerlukan itu diuruskan “orang jujur” yang mempunyai rekod bersih.



Katanya, di negara maju, pakej rangsangan ekonomi dibentangkan di Parlimen supaya ia dipantau, termasuk membincangkan bagaimana dana itu akan diperolehi dan hutang dilangsaikan.

“Persoalannya adakah wang itu akan sampai (kepada rakyat yang memerlukannya)? Adakah pembaziran atau ketirisan atau rompakan kecil-kecilan akan berlaku?

“Dana itu tidak patut dikendalikan ahli politik atau mereka yang mempunyai rekod buruk,” kata bekas menteri kewangan itu dalam video yang dimuat naik ke Facebooknya hari ini.


Anwar memuji pakej rangsangan yang menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Kesihatan sebanyak RM1 bilion dan insentif lain untuk petugas barisan depan seperti petugas kesihatan dan pasukan keselamatan.

Beliau berkata, ramai yang kecewa dengan secebis pakej rangsangan terdahulu yang disifatkannya dirangka secara tergesa-gesa dan tidak meliputi semua aspek.


Anwar berkata moratorium 6 bulan untuk pembayaran pinjaman juga dialu-alukan tetapi merasakan pembayaran kadar faedah tertangguh boleh dihapuskan.

“Bayangkan perniagaan yang mengalami kerugian. Selepas 6 bulan, mereka perlu membayar tunggakan pinjaman dengan faedah tambahan. Bank Negara mesti melakukan sesuatu untuk menghapuskan faedah dalam tempoh ini.”


Petang tadi, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat bagi mengurangkan kesan Covid-19 yang jumlahnya 10 kali ganda lebih banyak berbanding RM20 bilion yang disediakan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad bulan lalu.

Pakej terbaru itu terdiri daripada RM128 bilion untuk kebajikan rakyat, RM100 bilion bagi perniagaan dan PKS serta RM2 bilion untuk memperkukuhkan ekonomi negara, selain RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej terdahulu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/03/27/anwar-puji-pakej-rangsangan-rm250-bilion-tapi-mahu-bahas-di-parlimen/

[Mulianya] Mujahid keluar simpanan RM50,000 bantu penduduk Parit Buntar

Anggota Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof memperuntukan gaji dan wang simpanannya sebanyak RM50,000 kepada penduduk miskin yang terputus bekalan makanan di kawasan parlimennya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).


Bekas menteri agama berkata, wang tersebut akan diberi kepada peniaga kecil, nelayan miskin pesisir pantai yang terputus bekalan makanan ekoran pandemik Covid-19 serta petugas barisan hadapan yang sedang berkhidmat.



“Segala peruntukan bagi membantu mereka yang memerlukan ini telah bermula sejak 23 Mac lalu dan akan diteruskan sehingga 14 April depan.


“Bekalan keperluan asas makanan seperti beras akan disalurkan melalui wakil Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan akan diagihkan ke kawasan bandar, separa bandar dan kampung-kampung.


“Kita mensasarkan 2,000 keluarga yang akan menerima bantuan keperluan asas ini. Semoga ia membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” kata Mujahid dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merayu bantuan kepada pusat khidmatnya dengan menghubungi talian 05-7166 520 (pejabat).

https://www.malaysiakini.com/news/517219

[Hot!] Jangan anggap PN kerajaan yang lemah – Razali

 KUALA LUMPUR – Jangan menganggap Perikatan Nasional (PN) sebagai satu kerajaan yang lemah atau tidak berwibawa. Ini kerana kerajaan PN tela...