Khamis, 2 April 2020

Kerajaan digesa tubuh 'war room', elak bidang kuasa bertindih kata PH

KUALA LUMPUR - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan segera 'war room' atau bilik perang yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri setiap hari bagi memastikan penyelarasan keputusan dapat dibuat sekali gus merungkai pertindihan bidang kuasa.

Majlis pakatan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mendapati beberapa pengumuman dan tindakan kerajaan baru-baru ini seakan tidak diselaraskan di antara anggota Jemaah Menteri.




Sebagai contoh, Majlis Setiausaha PH merujuk isu pengumuman harga penutup muka (face mask), isu keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan bantuan di lapangan, isu sanitasi dan operasi nyah kuman di kawasan awam, apatah lagi isu penambahbaikan pakej rangsangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ini.

"Semua jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menangani permasalahan yang timbul hasil ancaman Covid-19 mesti dipantau perjalanannya oleh Perdana Menteri melalui bilik perang (war room) yang ditubuhkan pada setiap hari.

"Ini akan menentukan keputusan dibuat melalui Jawatankuasa ini termasuk jawatan kuasa khas Kabinet akan dilaksanakan dengan berkesan kerana mendapat kelulusan daripada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan Majlis Setiausaha PH itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Liew Chin Tong.

Majlis Setiausaha PH turut memandang serius pengumuman Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan penubuhan jawatankuasa Kabinet khas bagi menambah baik pakej rangsangan khusus bagi membantu PKS.

"Pada hemat kami, sewajarnya isu bantuan buat PKS ini telah diperinci lebih awal sebelum pengumuman Perdana Menteri pada 27 Mac lalu.

"Ini kerana PKS memainkan peranan amat penting dalam ekonomi negara di mana hampir tujuh daripada 10 pekerjaan disediakan PKS dan lebih satu pertiga KDNK dijana melalui aktiviti ekonomi oleh PKS.


"Majlis Setiausaha PH kekal berpendirian bantuan subsidi gaji pekerja swasta perlu ditambah sekurang-kurangnya dua kali ganda dari RM5.9 bilion kepada hampir RM12 bilion bagi membayar RM1,200 gaji minimum kepada 3.3 pekerja untuk jangka masa tiga bulan," katanya.

Majlis Setiausaha PH turut berpendapat mewujudkan suatu lagi jawatankuasa seperti jawatankuasa Kabinet khas tentunya menambahkan lagi karenah birokrasi selain menampakkan kegagalan kerajaan memfokuskan aspek penting sepanjang tempoh mencabar pandemik Covid-19 ketika ini.

"Selain daripada masalah bidang kuasa, masalah utama lain adalah di mana letaknya fokus dan keutamaan kerajaan Muhyiddin? Apakah ekonomi atau kesihatan?


"Kami mengulangi penegasan kedua-dua aspek ini penting dan perlu ditekuni dengan mendalam dengan semua tindakan serta arahan mesti berpaksikan kefahaman jelas mengenai apa perlu dan ingin dilakukan kerajaan," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/76992/BERITA/Nasional/Kerajaan-digesa-tubuh-war-room-elak-bidang-kuasa-bertindih

[Panas] Vivy mohon maaf secara terbuka

KUALA LUMPUR: Usahawan, Datin Vivy Yusof menafikan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan langkah kerajaan memberi bantuan kepada golongan B40 dan M40 seperti tular dalam media sosial, sejak dua hari lalu.

Tampil memberi penjelasan menerusi Instagram (IG) Story, kira-kira sejam lalu, Vivy mendakwa tidak pernah terfikir mengeluarkan kenyataan seperti itu, malah tidak menyangka masyarakat mempercayainya.



“Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya. Saya tiada akaun FB, tetapi saya menonton ‘live’ itu.


“Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.

“Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu,” katanya menerusi video berdurasi 7 minit 41 saat.

Vivy turut memohon maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya.

Beliau berkata, tohmahan dilemparkan terhadapnya melampau, sejak tiga hari lalu.

“Ibu bapa dan suami terkesan dengan kecaman netizen. Ia amat berat untuk ditanggung kerana dikecam pada peringkat nasional.

“Saya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan dan melancarkan petisyen minta saya meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.

Katanya, dia tak pernah memandang rendah kepada golongan B40 dan M40 seperti didakwa. Malah, dia tidak akan mengambil tahu nasib golongan berkenaan jika tidak menyayangi mereka.

“Saya tak akan ambil peduli atau menghulurkan bantuan sekiranya memandang rendah kepada golongan ini. Saya juga tidak akan mewujudkan tabung untuk mereka.


“Saya risau dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.

“Saya banyak bermuhasabah sepanjang tiga hari ini. Saya akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,” katanya.

Vivy berkata, insiden berkenaan menjadi pengajaran terbesar buatnya.

“Cuma agak kecewa kerana netizen mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di laman Twitter. Tak pasal mereka mengutip dosa.


“Saya pernah melakukan perkara sama apabila tidak memeriksa fakta sebelum berkongsi di laman sosial. Sejak itu, saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Biarpun dihentam teruk, Vivy berkata, dia akan bangkit dengan semangat baharu, apatah lagi banyak pihak masih mempercayai dan memberikan semangat buatnya.

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/04/671934/vivy-mohon-maaf-secara-terbuka?fbclid=IwAR0nSKVKpAwCkhxYRmhi8xUqq6tp321tdZvGgzSWI_0ZNWNscMJytYNBpxw

Pecah-belahkan perpaduan Melayu, Islam kerja syaitan

 KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar pihak yang cuba memecah-belahkan perpadua...