Sabtu, 11 April 2020

[Tak Jelas Pula] 'Takrifan berita palsu oleh k'jaan mengelirukan, tak jelas'

Beberapa kumpulan yang menyokong kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar menyatakan kebimbangan mengenai takrifan 'berita palsu' yang dikeluarkan Jabatan Penerangan.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Article 19 berkata takrifan seperti "menanam kebencian terhadap kerajaan dan pemimpin" sebagai berita palsu sebagai "tidak jelas" dan "mengelirukan".


"Berita palsu tidak boleh melindungi kerajaan dan pemimpin daripada kritikan kerana ia akan akan menghakis kebebasan berekspresi dan kritikan.

Foto - The Star

"Tambahan pula, kerajaan dan pemimpinnya mempunyai akses kepada cara yang lain, seperti memberi respon terhadap kritikan melalui media atau saluran rasmi," kata pengarah eksekutifnya, Nalini Elumalai kepada Malaysiakini.


Jabatan Penerangan semalam berkongsi tweet dari Cyber Security Malaysia, yang menyenaraikan enam kategori maklumat yang diklasifikasikan sebagai "berita palsu" dan kesannya jika tidak dikawal terutamanya ketika negara sedang menghadapi wabak Covid-19.

Nalini menegaskan pentingnya wacana awam dalam memantau tindak tanduk kerajaan ketika menangani krisis kesihatan.

"Tidak ada sesiapa sepatutnya dihukum kerana semata-mata menyatakan pandangan kritikal terhadap kerajaan dan pemimpin," katanya.

Sementara itu, kumpulan Gerakan Media Merdeka (Geramm) berkata penerangan kerajaan mengenai berita palsu adalah "tidak jelas dan mengelirukan".

"Keterangan seperti itu boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan pelbagai pihak kepada definisi sebenar berita palsu.

"Kekeliruan ini boleh membawa kepada tindakan yang tidak munasabah oleh mana-mana pihak terutamanya pihak berkuasa, dalam menguruskan penyebaran maklumat yang dianggap palsu, "kata Geramm dalam satu kenyataan.

Jabatan Penerangan menyenaraikan enam kategori "berita palsu", antaranya fahaman ajaran ektrim, menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman, , pornografi atau perjudian dalam talian.


Geramm berkata tidak semua perkara yang "menjatuhkan maruah dan imej individu, reputasi organisasi atau negara" boleh diklasifikasikan sebagai berita palsu.

"Malah, 'mencemarkan reputasi dan imej' adalah perkara yang subjektif  bergantung kepada bagaimana individu atau organisasi  melihat reputasi peribadi mereka," kata kumpulan itu yang menjalankan kempen menolak Akta Antiberita Palsu pada 2018.

"Geramm juga berpendapat bahawa sesuatu perkara yang 'menyentuh sensitiviti kaum dan agama' tidak boleh ditakrifkan sebagai berita palsu.


"Dalam sebuah negara berbilang kaum dengan latar belakang budaya yang berbeza-beza seperti Malaysia, sensitiviti kaum dan agama mesti dilihat dengan kewarasan dan kematangan.

"Bukan mustahil untuk sesuatu yang diterima sebagai norma oleh agama atau kumpulan etnik, akan dianggap sensitif oleh kumpulan lain," katanya.

Bertentangan dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kesedaran, Geramm berkata mesej mengelirukan Jabatan Penerangan boleh menjejaskan usaha membendung maklumat palsu atau maklumat yang salah.

https://www.malaysiakini.com/news/520081

Pecah-belahkan perpaduan Melayu, Islam kerja syaitan

 KETUA Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar pihak yang cuba memecah-belahkan perpadua...