Sabtu, 24 Oktober 2020

Darurat hanya beri lebih kuasa kepada Muhyiddin – Tun M

 KUALA LUMPUR – Segala tindakan yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selama ini tidak dapat mengurangkan masalah politik, ekonomi dan sosial di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah mewujudkan darurat di negara ini hanya akan menambahkan kuasa seorang Perdana Menteri.

“Isu Covid-19 telah digunakan untuk menangguhkan sidang Parlimen, pendekkan dan mengelak daripada sebarang perdebatan.



“Sekarang ia digunakan untuk membenarkan darurat berlaku. Tetapi kuasa dan pemerintah pada hari ini sudah cukup untuk menangani wabak tersebut.

Mahathir berkata demikian mengulas mengenai Mesyuarat khas Kabinet yang berlangsung kira-kira tiga jam di Perdana Putra dikatakan membuat keputusan untuk menggantung sidang Parlimen yang dijadual pada 2 November ini bagi membolehkan usaha menangani pandemik Covid-19 dilaksanakan sepenuhnya.

Langkah bersifat darurat itu diputuskan berikutan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 yang sehingga semalam masih melebih paras 800 kes, malah setiap hari ada sahaja kluster baharu dikenal pasti.

Hari ini, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan Istana Negara akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu bagi membincang dan memperhalusi cadangan dikemukakan Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Mahathir berkata, sekiranya darurat ini tetap dilaksanakan, ia akan memberi kesan kepada pasaran saham Malaysia dan ekonomi negara.

Malah katanya pasaran saham negara akan merudum kerana pelaksanaan darurat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Para pelabur tidak percaya Perdana Menteri dapat menguruskan ekonomi negara. Dia mengacau-bilau keadaan Covid-19 dengan cuba merebut Kerajaan Sabah. Lonjakan kes positif Covid-19 sekarang disebabkan sepenuhnya oleh Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Disebabkan itu, kerajaan Sabah telah diubah. Apa kebaikan yang dibawa ke Sabah.

“Negara-negara dengan masalah Covid-19 yang lebih parah belum mengisytiharkan darurat untuk seluruh negara tetapi hanya untuk kawasan yang terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette

Darurat jalan terbaik bendung Covid-19, tangani gegak-gempita politik

 KUALA LUMPUR – Majoriti tipis, undi tidak percaya dan kekalutan pembentangan Bajet 2021 yang bakal dihadapi oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta ditambah cabaran getir penularan wabak getir Covid-19 menjadi faktor-faktor yang mendorong kepada cadangan mengisytiharkan darurat.

Ini kerana, keadaan-keadaan tersebut telah mengundang kekeliruan yang berpotensi menimbulkan kekacauan awam.



Lantaran itu, Prof Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, jika benar kerajaan bercadang untuk mengisytiharkan darurat, ia adalah jalan terbaik dalam usaha mententeramkan keadaan rakyat yang bimbang dan gusar dengan penularan pandemik itu.

“Jadi, kalau kerajaan mengutamakan rakyat, darurat adalah penyelesaian paling sesuai untuk mententeramkan keadaan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditanya mengenai ura-ura kerajaan mahu mengisytiharkan darurat.

Ditanya mengenai kritikan ahli-ahli politik yang menyifatkan cadangan kerajaan ini adalah alasan dangkal yang tidak dapat meyakinkan rakyat, Dr Shamsul Amri menambah, kalau kita fikirkan politik, sudah pasti yang sinis akan menyatakan darurat ini akan menguntungkan Perikatan Nasional.

”Sayangnya fikiran ahli-ahli politik ini langsung tidak memberi pertimbangkan keadaan rakyat, tetapi lebih memberi keuntungan peribadi dan kuasa ahli-ahli politik.

‘Sedangkan, kalau pemimpin politik mengutamakan rakyat, maka darurat paling sesuai demi mententeramkan keadaan,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, dari segi politik memang secara kebetulan kedudukan kerajaan di Parlimen seperti telur dihujung tanduk.

”Majoriti tipis. Bajet 2021 harus dibentang pada 6 November, dengan cabaran undi tidak percaya. Suasana politik suspen ini juga kalau digabung dengan Covid-19 boleh menyebabkan kekacauan awam.

”Tambahan pula Pilihan Raya Kecil Batu Sapi mesti diadakan Disember ini dan Pilihan Raya Sarawak selewa-lewatnya Jun 2021.

”Berasaskan pengalaman di Sabah sebarang perhimpunan besar dan pergerakan besar-besaran rakyat, seperti mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 kalau diadakan, memudahkan Covid-19 memuncak dan boleh menggugatkan keselamatan rakyat.

“Maka daruratlah boleh menyelesaikan kedua-dua situasi ini,” katanya. – MalaysiaGazette

PRU15 boleh memudaratkan, kata Hamzah

 PETALING JAYA: Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainudin berkata, desakan pembangkang supaya kerajaan mengadakan pilihan raya umum ketika situ...