Isnin, 9 November 2020

Betul ke? Muhyiddin lebih teruk rakyat balun berbanding Najib menurut portal Malaysia Dateline

 Hari demi hari yang berlalu, Muhyiddin Yassin kini bukannya makin disukai, tetapi nampaknya semakin dibenci dan dihamburkan kata-kata nista terhadapnya.

Jika selepas pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat, 6 November lalu, beliau lebih teruk dikecam daripada Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri, terutama berkaitan isu KWSP dan moratorium pinjaman bank, semalam pula ketika muncul dalam wawancara Astro Awani, keadaannya jauh lebih parah lagi.



Dalam semua platform media sosial yang berkongsi siaran langsung tersebut, boleh dikatakan lebih 90 peratus yang memberi komen telah meluahkan kata-kata kecaman, kebencian dan nistaan terhadapnya.

Malah, dalam Facebook Muhyiddin sendiri yang turut berkongsi wawancara itu, ia penuh dengan komen-komen yang bernada kebencian dan gambaran meluat kepadanya.

Di laman Facebook beberapa penyokong Muhyiddin yang cuba memuji Perdana Menteri berikutan wawancara tersebut, turut dijadikan sasaran kecaman netizen dengan kata-kata makian dan serangan.

Pendek kata, apa saja berkaitan Muhyiddin sekarang ini, lebih banyak atau lebih 90 peratus akan dibalas dengan nada kebencian berbanding suka kepadanya.

Baru lapan bulan jadi Perdana Menteri, kenapa keadaan ini berlaku?

Tidak dinafikan, semua keadaan ini bermula dengan kedudukan Muhyiddin sendiri yang naik jadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan atau pintu belakang dan bukan melalui pilihan raya.

Pada mulanya, hanya penyokong Pakatan Harapan (PH) yang banyak mengkritik dan membalunnya, tetapi lama-kelamaan ia merebak kepada rakyat biasa, mereka yang berkecuali dan penyokong Perikatan Nasional (PN) sendiri, khususnya daripada Umno.

Selain beberapa tindakan dan pendekatannya sendiri yang menyumbang ke arah itu, ia kemudian diperkukuhkan lagi apabila beliau sendiri sebagai Perdana Menteri dilihat tidak mesra kepada kehendak rakyat, terutama dalam isu pengeluaran Akaun 1 KWSP berjumlah RM10,000 dan lanjutan tempoh moratorium pinjaman bank ketika PKPB terus dipanjangkan lagi tempohnya.

Satu dua perkara lagi yang dilakukannya sebelum itu seperti melindungi Azmin Ali dan dikatakan hanya mendengar nasihat beberapa menteri serta orang kanan di sekelilingnya.

Kata-kata tidak berpolitik di musim PKP hanya ungkapan tak serupa bikin, menekan serta membuli rakan sendiri iaitu Umno, memberi peruntukan besar untuk unit propaganda Jasa.

Semua itu secara tidak langsung telah menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap Muhyiddin yang sejak dalam Umno lagi memang diketahui tidak mesra alam, sejuk dan lebih banyak masam daripada senyum yang dipapar di wajahnya.

Jika Najib Razak sebelum PRU14 begitu dibenci oleh rakyat dan netizen, kebencian mereka terhadap Muhyiddin sekarang ini, jika diteliti, jauh lebih parah daripada itu.

Najib sekurang-kurangnya dibenci ke tahap itu setelah lapan tahun menjadi Perdana Menteri, namun Muhyiddin menerima keadaan yang sama hanya dalam lapan bulan saja tempohnya.

Apa mesti Muhyiddin lakukan sekarang?

Muhyiddin boleh saja mengabaikan semua luahan hati netizen itu, tetapi suatu perkara yang harus disedarinya ialah jika Najib yang lebih kuat kedudukannya pun boleh dijatuhkan oleh suara keramat rakyat, tentu tidak mustahil beliau yang berada di dahan rapuh sekarang ini untuk ditumbangkan sama.

Hanya masa dan ketikanya saja lagi belum tiba, tetapi ibarat durian yang sudah masak – lambat atau cepat, Muhyiddin tetap akan ke tanah akhirnya.

Untuk itu, jika beliau ada masa meneliti komen-komen netizen terhadapnya atau isterinya sendiri menyampaikan perkara itu kepadanya, keinsafan dan penyesalan pasti menerpa ke lubuk jiwanya sekarang.

Apa guna jadi ketua jika hanya 10 peratus saja yang ternampak suka?

Yang terbaik ialah beliau memilih jalan sejahtera seperti Pak Lah dahulu yang cepat-cepat berhenti sebelum kebencian makin melaut terhadapnya.

Apa lagi, jika menjadi Perdana Menteri melalui jalan pengkhianatan, lebih terpuji jika segera kembali ke pangkal jalan dan mengembalikan hak itu kepada yang berhak dan sepatutnya.

https://malaysiadateline.com/muhyiddin-lebih-teruk-rakyat-balun-berbanding-najib/

Semua menteri Umno kekal dalam Kabinet, kata Zahid

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua menteri daripada parti itu akan kekal dalam Kabinet pimpinan Perikatan Nasional diketuai Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ketika timbul spekulasi mereka akan diminta meletak jawatan.

Zahid dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi Umno hampir 5 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi berkata, parti itu juga memutuskan pilihan raya umum perlu diadakan selepas pandemik Covid-19 dapat dikawal.

Beliau turut mengulangi kepentingan melaksanakan gencatan politik dan perdamaian nasional demi memerangi Covid-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

Katanya, Umno menyokong titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu untuk terus memastikan negara ditadbir dengan baik berpandukan undang-undang. 

Zahid berkata, Umno akan memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat untuk Belanjawan 2021, termasuk lanjutan tempoh moratorium pembayaran balik pinjaman, bantuan sara hidup kepada pekerja hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bayaran khas kepada petugas barisan depan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Umno akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan,” katanya.

Beliau kesal dengan pihak yang mempersoalkan keputusan parti itu menyokong titah Agong dan raja-raja Melayu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya pendirian Umno dalam perkara ini masih dipersoalkan, Umno tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas demi menjaga kedaulatan raja-raja dan kepentingan rakyat.

Antara ahli MKT yang hadir ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin, Abdul Rahman Dahlan, Noh Omar, Shahidan Kassim, Razali Ibrahim, Tajuddin Abdul Rahman, Ahmad Shabery Cheek, Ahmad Said dan Jalaluddin Alias

Isnin lalu, mesyuarat diadakan untuk memutuskan hala tuju Barisan Nasional selepas Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Ahad lalu memutuskan tiada keperluan mengisytiharkan darurat bagi membendung Covid-19.

Semalam, seorang pemimpin kanan Umno dilaporkan berkata, parti itu perlu mempunyai kata putus berhubung individu yang mahu dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri.

Menjelang mesyuarat malam tadi, timbul spekulasi mengatakan Umno akan mendesak rombakan Kabinet diadakan.

Orang dalam parti memberitahu FMT, ada isu dengan kumpulan menteri sedia ada daripada Umno kerana pelantikan tidak mengikut hierarki parti.

FMT

MB Perak selamba 'sound' Bersatu, jangan curi ahli dan bertanding tempat UMNO

 UMNO Perak akan mempertahankan kerusi-kerusi tradisi miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sambil mengharapkan gandingan d...