Khamis, 12 November 2020

Guan Eng kesal Azhar mahu panggil polis untuk keluarkan Lip Eng

 PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, kesal Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun, mahu memanggil polis bantuan untuk mengeluarkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dari Dewan Rakyat.

Katanya, ia “agak keras” walaupun Lip Eng akhirnya akur dengan arahan Azhar.



“Panggil polis adalah perkara yang tidak harus berlaku kerana ia mencemar dan mencabar keunggulan Parlimen. Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Lip Eng diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung 5 hari daripada sidang Parlimen, selepas menyifatkan keputusan Timbalan YDP Azalina Othman Said berkenaan komen Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sebagai “bodoh”, dan mendakwa Azhar bersekongkol dengan Tiong.

Lim mahu Azhar membuat keputusan baharu berkenaan komen Tiong, mengatakan Azalina membuat keputusan “bodoh” kerana tidak minta Tiong menarik balik komen mendakwa Hisham “takut mati” kerana tidak turun padang melawat hospital.

“Kamu keluar sekarang. Anda keterlaluan, saya panggil polis. Setiausaha Dewan Rakyat, sila panggil polis. Saya ada kuasa untuk panggil polis,” kata Azhar ketika kejadian.

Sementara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata pihaknya menyokong gesaan mengkaji semula keputusan Azalina berkenaan komen Tiong.

“Satu usul akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer… Kita minta Bintulu menarik balik ungkapan, celaan dan penghinaan terhadap Noor Hisham,” katanya.

Sebelum ini, Azalina membenarkan Tiong menjelaskan komennya atau memohon maaf.


Baginya, Azhar dan timbalannya membiarkan Hisham dimalukan Tiong.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/12/guan-eng-kesal-azhar-mahu-panggil-polis-untuk-keluarkan-lip-eng/

Aktivis mahasiswa mohon maaf kepada Agong berhubung kenyataan kontroversi

 PETALING JAYA: Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (Umany) memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung kenyataan kontroversinya yang menyebabkan beberapa orang pemimpinnya disiasat oleh polis.

Dalam kenyataan, Umany berkata, ia juga menarik balik kenyataan tersebut selepas berunding dengan beberapa orang pakar perlembagaan.



“Kami ingin menegaskan bahawa kami mematuhi sistem Raja berperlembagaan di Malaysia serta menghormati peranan Agong dalam perlembagaan persekutuan..

“Kami secara khususnya ingin mengemukakan permohonan maaf dan memohon ampun kepada Tuanku atas kekurangan pemahaman kami terhadap perlembagaan persekutuan,” katanya.

Selain memohon maaf, Umany menekankan bahawa kenyataan berkenaan adalah untuk tujuan perbincangan akademik dan tidak berniat untuk menghasut.

Badan mahasiswa itu juga menggesa polis menghentikan siasatan yang dijalankan ke atas pemimpinnya dan meminta kerajaan memansuhkan undang-undang “zalim” seperti Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia.

Umany juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan semasa siasatan polis berjalan dan berkata ia akan terus mempertahankan kebebasan dan demokrasi di negara ini.

Badan mahasiswa itu mencetus kontroversi susulan kenyataan bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong should not Interfere in national affairs” yang disiarkan di Facebook kumpulan itu minggu lalu.

Presidennya Robin Yap Wen Qing dan naib presiden Tan Li Yuan disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta komunikasi dan Multimedia berhubung kenyataan itu.

Bekas presiden Umany Wong Yan Ke juga ditahan kerana merakam serbuan polis di kediaman Yap dan menyiarkannya di Facebook. Beliau dilepaskan selepas itu dengan jaminan polis.

Kumpulan peguam dan hak asasi manusia mempertahankan Umany dengan berkata, tindakan polis tidak adil.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/12/aktivis-mahasiswa-mohon-maaf-kepada-agong-berhubung-kenyataan-kontroversi/

[Gempar] Belanjawan akan dipinda, penuhi kemahuan BN, kata penganalisis

 PETALING JAYA: Penganalisis sosiopolitik meramalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tunduk kepada tuntutan Barisan Nasional (BN) berhubung pindaan terhadap cadangan belanjawan yang dibentangkan minggu lalu.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, majoriti tipis PN dalam Dewan Rakyat menjadikan ia terlalu berisiko bagi Putrajaya untuk menolak permintaan itu.



Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak dalam kapasitinya sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, BN tidak akan menyokong belanjawan itu jika kerajaan menolak untuk melanjutkan moratorium bayaran pinjaman bank selama 6 bulan dan mengabaikan permintaan untuk pengeluaran RM10,000 secara “one-off” Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Awang Azman berkata, majoriti kecil PN menjadikan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sukar untuk meluluskan belanjawan tanpa sokongan bukan sahaja BN malah Pakatan Harapan (PH).

PH mengancam akan menolak belanjawan itu jika peruntukan RM85.5 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) tidak ditarik balik.

“Jika belanjawan ditolak, perdana menteri perlu meletak jawatan,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan sebab itu PN tidak boleh mengabaikan permintaan itu.

Beliau berkata, BN mengambil langkah bijak dengan melantik Najib sebagai pengerusi kelab penyokong BN kerana beliau boleh menggunakan pengalamannya sebagai bekas menteri kewangan. “Beliau akan mendapat kredit jika kerajaan meminda belanjawan.”

Awang Azman turut berkata, PN berisiko hilang sokongan rakyat jika 2 tuntutan BN ditolak kerana ia mewakili permintaan yang popular..

Jeniri Amir, felo Majlis Profesor Negara memberitahu FMT, beliau tidak percaya ada pihak yang mahu melihat belanjawan itu ditolak, tetapi memaklumkan peringatan Najib meletakkan PN dan Muhyiddin dalam keadaan yang “sangat sukar”.

“Saya rasa cadangan kerajaan sedia ada yang membenarkan pengeluaran KWSP hanya berjumlah RM500 sebulan bertujuan memastikan kelangsungan dana persaraan,” katanya sambil menambah Najib sebagai bekas menteri kewangan sedar perkara itu tetapi mungkin berkeras mahu memperoleh manfaat politik bagi pihak BN.

“Bagaimanapun, PN tidak boleh menolak tuntutan itu secara langsung kerana ia terlalu berisiko. Muhyiddin mesti mendahului BN atau bertolak ansur, yang saya rasa pasti akan berlaku.”

Jeniri turut berkata, PN harus mendengar permintaan Najib supaya mengurangkan peruntukan kepada Jasa kerana ia tiada sebarang justifikasi untuk memberikan peruntukan yang banyak kepada jabatan itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/11/belanjawan-akan-dipinda-penuhi-kemahuan-bn-kata-penganalisis/

MB Perak selamba 'sound' Bersatu, jangan curi ahli dan bertanding tempat UMNO

 UMNO Perak akan mempertahankan kerusi-kerusi tradisi miliknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti sambil mengharapkan gandingan d...