Khamis, 24 Disember 2020

Puad Zarkashi gesa MP BN tarik sokongan terhadap Muhyiddin

 Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menggesa ahli parlimen partinya dan Barisan Nasional (BN) melakukan tindakan berani dengan menarik semula sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad berkata cadangan beliau itu susulan kegagalan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengotakan janji.



Ini terutamanya dalam mempermudahkan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemberian enam bulan moratorium secara automatik.

“Muhyiddin memang lega kerana Bajet 21 telah lulus. Tetapi rakyat belum lega.

“Janji mempermudahkan i-Sinar KWSP dan moratorium automatik belum ditunaikan sepenuhnya. Terdapat bank-bank yang liat.

“Tarik sahaja sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM. Nampak macam kamikaze. Tetapi apa salahnya, demi rakyat,” katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Menurut bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu, rakyat masih terbelenggu dengan kriteria kategori kedua pengeluaran i-Sinar KWSP manakala pemberian moratorium automatik hanya diberi kepada golongan B40, M40 dan peniaga kecil.

Justeru, Mohd Puad berkata, BN perlu lebih tegas melalui Kelab Penyokong Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) jika kerajaan PN masih berdolak dalik untuk menyelesaikan dua perkara utama yang dituntut BN pada Belanjawan 2021 itu.

“Datuk Seri Najib (Razak) Pengerusi BNBBC berkata, akan terus menuntut kerajaan PN menepati janji sehingga dua isu ini diselesaikan sepenuhnya.

“Najib jelaskan, Bajet terpaksa disokong kerana tinggal dua minggu lagi sebelum tahun 2021 bermula. Jika bajet tidak lulus kerajaan sukar berfungsi untuk tempoh dua minggu lagi.

“Tetapi menurut Najib, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak,” katanya.

Belanjawan 2021 diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Oktober lalu menerusi undian belah bahagi.

Kerajaan hanya mendapat tiga majoriti dengan sokongan 111 undi berbanding 108 undi tidak menyokong, manakala satu undi tidak dikira kerana tidak hadir.

“Betul, MP akan dipertanggungjawabkan. Mereka sahaja yang boleh mengundi. Harga seorang MP memang mahal. Lebih mahal jika mereka melakukan “keberanian politik”.

“Mungkin tidak semua MP BNBBC sanggup.  Lima tarik sokongan pun Alhamdulillah. Tiga pun ok. Gunakan hati nurani,” katanya lagi.

https://suara.tv/24/12/2020/puad-zarkashi-gesa-mp-bn-tarik-sokongan-terhadap-muhyiddin/

'DAP perlu jelaskan jika mahu kerjasama dengan Umno'

 DAP akan menerima kecaman sekiranya bekerjasama dengan Umno, berikutan beberapa kes rasuah melibatkan pemimpin parti itu selain kerap memainkan isu perkauman dan agama, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen. 

Chong berkata, DAP juga perlu menjelaskan mengenai syarat kerjasama tersebut dan bagaimana dapat dipastikan parti itu boleh mengawasi Umno sekiranya mereka menjalinkan hubungan politik.



Chong berkata demikian ketika mengulas kemungkinan DAP dan Umno bekerjasama susulan krisis politik di Perak, yang menyaksikan pemimpin kedua-dua parti itu berbaik-baik dan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan syarat tertentu.

“Kita perlu lihat masa depan negara, kita tidak boleh pentingkan diri dan menyerah kepada kemungkinan (kerjasama politik) semata-mata untuk menang pilihan raya negeri ,” jelasnya dalam satu wawancara dengan Malaysiakini.

Merujuk krisis politik yang berlaku di Perak itu, Chong berkata DAP tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk memastikan layanan sama rata kepada semua kaum, sekiranya mereka bekerjasama dengan Umno.

“Ini adalah prinsip asas DAP. Jika mereka (Umno) setuju (kelak) saya rasa kita boleh terima,” katanya.

Untuk rekod, Umno bekerjasama dengan PH untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Bagaimanapun, Umno kemudian mencapai kata sepakat dengan PAS dan Bersatu untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Chong berkata dia yakin jika DAP benar-benar akan bekerjasama dengan Umno, parti itu boleh memainkan peranan dalam mengawasi kerajaan, tidak seperti SUPP dan MCA.

Bagaimanapun, dia turut menyatakan kerjasama antara DAP dan Umno tidak mungkin terjadi dalam masa terdekat kerana wujud persepsi bahawa kedua-dua parti saling bermusuhan.

“Ia perlukan sekurang-kurangnya tiga ke lima tahun untuk buktikan bahawa gabungan itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Berbanding dengan Umno, Chong berkata, rakyat Sarawak mempunyai tanggapan lebih buruk terhadap PAS meskipun parti itu tidak bertanding di sana.

Katanya, PAS, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PN dikuasai oleh mereka yang “fanatik agama” dan berluba-lumba untuk menonjolkan diri mereka 'lebih Melayu dan Islamik'.

“Lebih 10 peratus populasi Sarawak daripada tiga juta atau 400,000 rakyat Sarawak tinggal dan berkerja di semenanjung. Mereka secara umumnya juga terkesan dengan dasar PAS.

“Meskipun Sarawak meraih autonomi dalam pendidikan, perubatan, pertahanan dan keselamatan, tetapi dengan PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bersaing dengan Umno untuk menjadi lebih Melayu dan Islamik, ia akan memberi kesan kepada dasar kerajaan persekutuan," katanya.

Tambahnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang membentuk kerajaan negeri juga perlu dipersalahkan kerana membenarkan Umno dan PAS membentuk kerajaan PN bersama Bersatu.

https://www.malaysiakini.com/news/556398

Pelik! Muhyiddin kata kerajaan sudah dah tak banyak duit, tetapi timbalan menteri pelancongan baru tetap akan dilantik hari ini

 Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Dee Koh Hoi dilapor akan mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri pelancongan, ke...