Selasa, 12 Januari 2021

PKP lebih lama akan cetus kekecohan, kata pemimpin perniagaan

PETALING JAYA: Dua pemimpin perniagaan memberi amaran terhadap lanjutan penutupan dua minggu di beberapa negeri yang akan berkuat kuasa pada Rabu.

Koay Chiew Guan, bekas presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berkata: “Dua minggu masih okey, harapnya mereka tidak melanjutkannya. Kalau mereka buat, itu akan lebih merisaukan, seluruh negara akan kucar-kacir.”

Semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), hanya perkhidmatan penting dan lima sektor ekonomi yang akan dibenarkan beroperasi: pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi. Pekerja dalam perkhidmatan tidak penting perlu bekerja dari rumah.



Sekatan itu dikenakan ke atas Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor, dan Sabah dari 13 Januari hingga 26 Januari.

Koay berkata subsidi kerajaan untuk sewa dan upah atau moratorium pinjaman, akan disambut baik untuk menampung pengurangan pendapatan yang bakal dialami oleh banyak perniagaan.

“Paling parah terkesan adalah syarikat kecil dan perniagaan, seperti restoran, mereka tidak mempunyai pelanggan yang makan di premis, jadi bagi mereka itu akan lebih menyusahkan.”

Katanya, keadaan tidak sepatutnya menjadi terlalu mengerikan sekiranya PKP tidak dilanjutkan.

Seorang lagi pemimpin perniagaan kecil, William Ng, berkata kerajaan perlu segera memberikan lanjutan automatik untuk semua syarat berkanun seperti pembaharuan lesen perniagaan dan penyerahan pulangan tahunan.

Lanjutan subsidi untuk upah dan sewa perlu diberikan sekiranya PKP dilanjutkan melebihi dua minggu.

Ng adalah pengerusi pusat rantau Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia.

PKP tidak akan tamatkan krisis Covid-19, kata persatuan

Beliau berkata persatuan itu lebih memilih untuk pendekatan yang bersasar bagi menguruskan jumlah jangkitan Covid-19 dan bukannya PKP menyeluruh.

Tahun lalu, kerajaan persekutuan memperuntukkan bantuan RM10 bilion untuk membantu perusahaan kecil ketika PKP pada Mac hingga Julai.

Michael Kang, presiden Persatuan PKS Malaysia, berkata beliau berharap kerajaan dapat memberikan subsidi upah dan sewa yang berkesan.

Kang meramalkan sebanyak 30-40% PKS di negara ini “akan lenyap” sekiranya PKP dilanjutkan untuk lagi dua bulan.

Beliau berkata perniagaan mengalami kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari selama PKP tahun lalu dan PKS sudah semestinya perlu berdepan kehilangan “tunai yang banyak” sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berharap kerajaan akan mencari penyelesaian jangka panjang untuk krisis Covid-19 dan bukannya terus melanjutkan penutupan.

“Kita memerlukan penyelesaian untuk hidup bersama Covid-19. Bukan PKP,” katanya. “Bukannya Covid-19 akan hilang dengan PKP.”

Sokongan kerajaan sangat penting untuk kelangsungan syarikat, kata MEF

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula program pengekalan pekerjaan, program subsidi upah dan moratorium pinjaman, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman berkata, kemampuan untuk terus bertahan bagi kebanyakan syarikat bergantung pada sokongan yang diterima daripada kerajaan.

Syed Hussain berkata langkah-langkah yang diperkenalkan pada Mac 2020 perlu diperkenalkan semula, kerana program subsidi upah sekarang hanya boleh diguna pakai untuk sektor hotel dan peruncitan.

Tidak akan seburuk tahun lalu, kata MTUC

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Ghani berkata, penutupan separa hanya di beberapa negeri, dan kawasan lain tidak akan merasakan impak sebesar dirasai seperti ketika penutupan seluruh negara pada Mac tahun lalu.

“Berbanding PKP pertama, ketika semuanya berhenti, sekurang-kurangnya beberapa sektor dibenarkan untuk terus beroperasi, yang akan lebih baik untuk pekerja dan ekonomi.”

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/12/pkp-lebih-lama-akan-cetus-kekecohan-kata-pemimpin-perniagaan/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Terbaru! DAP namakan Adly calon Ketua Menteri Melaka

 Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pak...