Selasa, 5 Januari 2021

‘Serang’ Zeti, pendakwa desak Mahkamah Tinggi beri amaran keras kepada Najib

 KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan kes 1MDB membabitkan Najib Razak mendesak Mahkamah Tinggi memberi amaran keras kepada bekas perdana menteri itu kerana “melancarkan serangan” terhadap saksi pendakwaan, Zeti Akhtar Aziz.

Pendakwa Ad hoc Gopal Sri Ram memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah, bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu tersenarai sebagai seorang daripada saksi pendakwaan.

“Kami tidak boleh menerima perbuatan ini. Dan kenyataan tertuduh di Facebook turut mendesak (Zeti) untuk menjawab.

“Kami sudah mengemukakan senarai saksi kepada pihak tertuduh pada Ogos 2019, dan tertuduh tahu dia akan dipanggil sebagai saksi,” kata Sri Ram, sambil menggesa mahkamah untuk memberi amaran kepada Najib menghentikan semua “serangan” terhadap Zeti.

Peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, pihak tertuduh mahu memberi maklum balas yang sewajarnya berhubung isu itu.

“Saya hanya menerima notis pihak pendakwaan pagi tadi. Saya akan meneliti undang-undang berhubung isu ini,” katanya sambil meminta mahkamah memberi tempoh sehari.

Sequerah berkata, pihaknya akan mendengar penjelasan kedua belah pihak pada Khamis.

Baru-baru ini, blog MalaysiaToday kendalian Raja Petra Kamarudin mendakwa beberapa ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya, menerima lebih RM100 juta daripada Jho Low, yang didakwa mendalangi skandal 1MDB.

Menurut portal itu, keluarga Zeti didakwa menandatangani akuan berkanun (SD) sekali gus mengaku menerima jutaan ringgit di bank Singapura, wang yang didakwa datang dari syarikat yang ada kaitan dengan Low.



Najib mendesak Zeti menjawab segala dakwaan, selepas mengeluarkan kenyataan pada Mei 2018 menyatakan beliau (Zeti) tidak tahu mengenai kewujudan dana atau transaksi di akaun bank Najib.

Najib mendakwa dia terkejut dengan kenyataan itu, sedangkan Zeti adalah orang yang menasihatinya untuk membuka akaun menggunakan namanya sendiri.

“Macam mana seorang gabenor BNM boleh tidak tahu menahu mengenai berbilion wang asing yang masuk ke dalam akaun perdana menteri, walhal setiap transaksi membabitkan jumlah yang besar dari luar negara perlu mendapat kelulusan BNM?” katanya.

Dalam kenyataan, Zeti menafikan semua dakwaan dan enggan mengulas lanjut kerana ia akan menjejaskan kredibiliti sebagai antara saksi dalam perbicaraan 1MDB Najib.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/05/serang-zeti-pendakwa-desak-mahkamah-tinggi-beri-amaran-keras-kepada-najib/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Shahril Hamdan tegur Bersatu, usahlah pusing cerita dakwa Umno pula yang cetus masalah

 PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan meminta Bersatu tidak menuduh Umno mencetuskan masalah, sebaliknya beliau mempersoalka...